18 July 2007

Berita Nasional: Hishammuddin minta guru sabar

Berita Harian



Kementerian dengan kerjasama JPA, SPP tangani masalah 8,000 guru DGA41

KUALA KANGSAR: Kementerian Pelajaran akan menggunakan ‘pendekatan khas’ bagi menangani masalah guru bukan siswazah yang mendakwa menerima gaji lebih rendah apabila dinaikkan ke gred DGA41 selepas menamatkan pengajian pada peringkat ijazah.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata kementerian kini bekerjasama rapat dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) untuk menangani masalah 50,000 guru terbabit.

Beliau meminta semua guru terbabit bersabar kerana isu itu memerlukan perbincangan dan penelitian oleh ketiga-tiga pihak berkaitan serta tidak mungkin dapat diputuskan dalam tempoh terdekat.

"Isu ini agak unik kerana ia hanya berlaku terhadap segolongan guru yang berada dalam tempoh peralihan iaitu daripada skim diploma kepada skim siswazah, justeru memerlukan pendekatan unik juga untuk diselesaikan.

"Kita tidak pernah menolak keinginan guru yang ingin terus belajar dan bagi mereka yang sudah memperoleh kejayaan lebih besar, takkanlah kita mahu menidakkannya.

“Justeru, dakwaan mengatakan guru terbabit tertindas atau teraniaya selepas pengumuman kenaikan gaji kakitangan awam oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, baru-baru ini, adalah tidak berasas," katanya kepada pemberita selepas mengiringi lawatan Perdana Menteri New Zealand, Helen Clark ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Perempuan Kelsom di sini, semalam.

Kelmarin, akhbar ini dalam laporan khasnya menyiarkan kekecewaan guru yang berkhidmat hampir 10 tahun dan menyambung pelajaran pada peringkat ijazah mendapat gaji lebih rendah berbanding guru bukan graduan yang dinaikkan ke gred DGA32 secara ‘time based’ (tempoh masa) selepas 10 tahun perkhidmatan.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Anuar Ibrahim, dilaporkan berkata kira-kira 50,000 guru dilantik dalam skim DGA41 (Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah) menerima gaji jauh lebih rendah berbanding guru yang tidak menyambung pelajarannya tetapi mendapat kenaikan gred secara ‘time based,’ sedangkan tempoh perkhidmatan kedua-duanya sama.

Hishammuddin berkata, maklumat yang beliau peroleh menunjukkan jumlah guru terbabit hanya 8,000 dan bukan 50,000 seperti dakwaan NUTP.

“Walaupun bilangannya tidak sebesar yang didakwa NUTP, kita tetap prihatin dan meneliti kaedah terbaik agar masalah teknikal itu dapat ditangani,” katanya.

Sementara itu, Hishammuddin berkata, pihaknya membuat keputusan pegawai Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PTD) yang sudah ditempatkan di semua Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dikekalkan sementara waktu sehingga keputusan muktamad berhubung kedudukan mereka dapat dicapai.

“Saya prihatin dengan rayuan NUTP dan kerajaan membuat keputusan kemasukan pegawai PTD ke Kementerian Pelajaran ditangguhkan sementara waktu,” katanya.

Akhbar semalam melaporkan NUTP menolak sama sekali langkah Kementerian Pelajaran meletakkan pegawai PTD bagi semua gred dalam JPN.

No comments: