17 July 2007

Guru DGA41 patut belajar bersyukur

Berita Harian

SAYA merujuk kepada Laporan Khas Berita Harian semalam bertajuk Guru DGA41 dakwa dianiaya serta pendapat lain mengenai polemik perbezaan gaji antara guru siswazah dan lepasan maktab. Anda sepatutnya bersyukur berbanding dengan pegawai sokongan (Gred 17) yang bertahun-tahun mempunyai ijazah tetapi masih pada takuk lama. Kami juga terpaksa menghabiskan wang ringgit, masa, tinggalkan keluarga semata-mata untuk segulung ijazah.


Bezanya guru seperti anda dijanjikan kenaikan pangkat iaitu DGA41 tanpa perlu bersaing dengan graduan baru dan sudah menikmatinya tetapi kami tidak. Walaupun ketika permohonan melanjutkan pelajaran secara jarak jauh (PJJ), kami terpaksa mendapat kelulusan jabatan tanpa dijanji apa-apa kenaikan pangkat atau imbuhan.

Untuk kenaikan pangkat kami terpaksa bersaing. Permohonan kami dikategorikan bersama graduan baru dan dianggap lantikan baru. Tiada keistimewaan walaupun rata-rata daripada kami sudah berkhidmat berbelas-belas tahun sebagai kakitangan awam, lulus cemerlang Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) dan pelbagai anugerah perkhidmatan.

Anda beruntung kerana mempunyai Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) sendiri berbanding dengan kami terikat dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA). Untuk temu duga pun terpaksa melepasi tapisan dan dalam keadaan tertentu Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) diambil kira.

Bagi Mahasitua seperti kami, ia antara kekangan yang menjadikan kami layak memohon tapi tak layak dipanggil temu duga�. Anda juga beruntung kerana mempunyai Kesatuan Perguruan Kebangsaan (NUTP) yang kuat dengan ratusan ribu ahli yang sentiasa membela nasib guru.

Namun kami akur, segulung ijazah bukan semata-mata untuk menagih imbuhan lebih besar. Pada kami ia adalah kebanggaan, kepuasan dan pencapaian peribadi. Yang penting, kami berjaya menyelesaikan apa yang belum selesai.

Sekurang-kurangnya menjadi contoh kepada anak kami. Walaupun masih pada takuk lama, kami tetap bangga kerana dari segi kelulusan, kini kami setaraf dengan pegawai atasan. Hanya ruang, waktu dan peluang yang membezakan kami.

Ingatlah anak yang sihat dan rumah tangga yang aman juga rezeki Tuhan. Jadi kalau kenaikan gaji hendak dijadikan polemik, golongan kamilah yang lebih kecewa, tertekan dan terkilan kerana gaji tak setimpal dengan kelulusan (bertahun-tahun) tetapi Alhamdulillah dari segi motivasi kerja, kami pertahankan.

Saya bukan mempertikaikan hak guru. Anda memang berhak kerana berusaha, tetapi sebagai renungan, betapa beruntungnya anda jika hendak dibandingkan nasib kami dan rakan kita yang berstatus kontrak.

MAHASITUA PJJ,
Pelabuhan Klang, Selangor.

No comments: