NUTP mahu sistem pelarasan gaji dinilai semula
Berita Harian
KESATUAN Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) pada hakikatnya cukup memahami situasi yang berlaku membabitkan gaji guru terutama di kalangan guru siswazah bergred DGA41 dan guru bukan siswazah yang menerima kenaikan pangkat secara ‘time based’.
NUTP mengakui perbezaan gaji antara dua gred itu tidak boleh dijadikan perbandingan lantaran kedua-dua skim itu amat berbeza iaitu membabitkan perlantikan dan kenaikan pangkat.
Namun, atas tuntutan rasa simpati dan desakan kelompok guru siswazah yang menganggap diri mereka teraniaya, NUTP berasakan ada kebenarannya nasib guru terbabit perlu dibela dan meminta kerajaan terutama Suruhanjaya Perkhidmatan Awam melihat semula sistem yang diguna pakai dalam kenaikan gaji seperti dinikmati kakitangan awam pada hujung bulan ini.
Presidennya, Anuar Ibrahim, berkata memang sudah ada pekeliling yang menjelaskan bahawa guru bukan siswazah akan secara automatik menukar gred mereka ke skim baru sekiranya memperoleh ijazah dan memohon memasuki skim perkhidmatan pendidikan siswazah.
“Justeru, golongan ini sepatutnya tidak perlu melenting sekiranya tidak memperoleh apa yang mereka inginkan kerana keputusan untuk menyambung pelajaran bukan atas desakan mana-mana pihak, tetapi keputusan guru itu sendiri.
“Tambahan pula, dalam situasi kerajaan kini yang menggalakkan dan memberi peluang terbuka kepada guru bukan siswazah menyambung pelajaran dengan pelbagai saluran menyebabkan terlalu ramai guru mengambil peluang itu tanpa sebelumnya memikirkan semua faktor yang mungkin berlaku kemudian,” katanya.
Namun, persoalan yang cuba dibangkitkan NUTP ialah jika dipandang dari sudut kemanusiaan dan ganjaran atas usaha gigih guru menyambung pelajaran, sewajarnya kerajaan mengambil kira dan memandang keluhan guru terbabit sebagai sesuatu yang serius dan perlu diberi perhatian.
“NUTP bersetuju atas tawaran gaji 35 peratus kepada Pegawai Kerajaan Sokongan Dua memandangkan keputusan ini adalah satu keadilan sosial yang perlu dilaksanakan dan membawa nafas baru kepada golongan berpendapatan rendah.
“Namun, pelaksanaan kenaikan gaji 25 peratus untuk guru bukan siswazah dan 15 peratus untuk guru siswazah menyebabkan skim gaji guru menjadi ‘huru-hara’. Guru siswazah menganggap mereka tertipu, teraniaya dan berasa sia-sia memegang segulung ijazah,” katanya.
Merujuk kepada kes guru yang sudah berkhidmat hampir 10 tahun dan belum dinaikkan pangkat secara ‘time based’ tetapi mengambil keputusan menyambung belajar, akan mendapati gaji mereka selepas memperoleh ijazah adalah lebih rendah berbanding rakan sejawatan sebelum ini yang dinaikkan pangkat secara ‘time based’.
Situasi ini berlaku kerana guru bukan siswazah yang sudah menjangkau 10 tahun perkhidmatan dalam skim itu akan menerima kenaikan pangkat ‘time based’ sekiranya lulus ujian penilaian tahap kecekapan (PTK) sedangkan guru yang menyambung belajar tidak akan mendapat kenaikan itu lantaran tidak berkhidmat di sekolah.
Situasi itu menjadi lebih kronik apabila guru yang menerima kenaikan pangkat ‘time based’ (DGA32) pada 2002 dan menerima gaji RM1,932.85 ketika itu, kini sudah memperoleh gaji sebanyak RM2,326.10, diberi pula kenaikan gaji sebanyak 25 peratus menjadikan mereka menerima sebanyak RM2,907.60.
Nasib berbeza diterima rakan mereka yang menyambung pelajaran dan dilantik dalam skim perkhidmatan pendidikan siswazah pada 2005, menerima gaji sebanyak RM2,103.85 pada tahun ini dan selepas kenaikan gaji sebanyak 15 peratus, gaji baru mereka hanya RM2,419.42, jauh lebih rendah berbanding rakan mereka sebelum ini dalam skim diploma.
Itu belum dikira pelbagai kerugian lain dialami guru yang menyambung pelajaran kerana turut berdepan dengan beban hutang ketika belajar, hilangnya status kekananan, masa yang terbuang dan tenaga dicurahkan ketika belajar.
“Guru yang baru dilantik dalam skim DGA41 (siswazah) terpaksa bermula dari bawah iaitu menunggu tiga tahun untuk disahkan jawatan, kembali menjadi seperti ‘orang baru’ dalam dunia pendidikan dan terpaksa bersabar sehingga 10 tahun jika ingin dinaikkan pangkat secara ‘time based’ ke gred DGA44.
“Semua keadaan inilah yang menyebabkan begitu ramai guru siswazah merungut dan menghantar e-mel kepada NUTP setiap hari dan meminta supaya nasib mereka dibela,” katanya.
Selain itu, NUTP mencadangkan supaya guru bukan siswazah yang memperoleh ijazah hasil usaha melalui pengorbanan guru itu sendiri ditetapkan gaji mengikut Syor Laporan Abdul Rahman Arshad (1996) yang menyatakan – “Bagi guru terlatih yang mendapat ijazah, tempoh perkhidmatan sebagai guru bukan siswazah hendaklah diambilkira dalam menetapkan gaji permulaan mereka dengan memberikan kenaikan gaji bersyarat. Adalah dicadangkan satu kenaikan gaji diberikan bagi setiap tiga tahun perkhidmatan sebelum mereka ke universiti tertakluk kepada syarat tidak melebihi tiga kenaikan gaji.”
NUTP juga berharap pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) dapat mengkaji semula sistem lantikan guru bukan siswazah yang melanjutkan pelajaran dan dilantik ke DGA41. Perkhidmatan guru bukan siswazah dalam perkhidmatan yang sama harus diambilkira secara Hadiah Pergerakan Gaji (HPG).
“Guru ijazah yang terbabit dengan situasi ini melebihi 50,000 orang. Sekiranya sistem ini tidak diperbetulkan pada peringkat awal, kelompok guru ini akan menghadapi kerugian seumur hidup dalam gaji dan pencen,” katanya.
No comments:
Post a Comment