Segelintir jururawat pemalas, celupar
Berita Harian
KERENAH kakitangan hospital terus menimbulkan rungutan kepada pelanggannya. Hal ini dialami keluarga saya ketika mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Star, Kedah. Perkhidmatan yang diberikan doktor begitu baik, malangnya sikap acuh tak acuh segelintir jururawat mencacatkan mutu perkhidmatan diberikan.
Pada 21 September lalu, adik saya dari Perlis disahkan mengalami kandungan luar rahim (ektopik) dan dirujuk kepada dua doktor pakar, Dr Ng K.H dan Dr Mohd Anwar yang melakukan tugas dengan penuh dedikasi dan berbudi bahasa.
Adik dimasukkan ke dewan pembedahan untuk menjalani laparoscopic pada keesokan harinya oleh kedua-dua doktor berkenaan. Pada 23 September, kira-kira jam 12 tengah hari, doktor dan beberapa jururawat yang melakukan pemeriksaan ke atas adik memaklumkan adik dibenarkan keluar hospital pada hari itu dan hanya perlu tunggu arahan jururawat.
Adik saya ditemani suami dan emak saya, bekas jururawat yang pernah 30 tahun berkhidmat dengan kerajaan. Keluarga saya menunggu kehadiran jururawat seperti dimaklumkan doktor, namun tidak tiba walaupun jam hampir 5 petang.
Emak kemudian pergi ke kaunter Wad Kenanga 2B dan menemui ketua jururawat untuk memaklumkan pesanan doktor yang membenarkan pesakit pulang.
Dengan selambanya jururawat itu menjawab "Jururawat takkan pergi bagi tahu, Mak cik sendiri kena datang tanya di kaunter, tetapi kalau sampai malam tidak datang, kami akan bagi tahulah supaya pulang,"
Sebagai keluarga pesakit, bolehkah jawapan seperti ini diterima?
Sedangkan untuk balik ke Perlis bukan mengambil masa yang singkat.
Sepatutnya jururawat yang bertugas itu memberitahu lebih awal, bukan hanya menunggu depan komputer macam penyambut tetamu.
Apabila dikatakan begitu, jururawat berkenaan menyalahkan doktor kerana tidak memberitahunya dan pelbagai lagi alasan tidak logik.
Emak saya yang berkhidmat selama 30 tahun sebagai jururawat memberitahu sepatutnya jururawat memudahkan pesakit bukan sebaliknya, malah pengunaan komputer menjadikan perkhidmatan lebih cekap.
Seorang jururawat berkata, "Sebab guna komputer jadi lambat sikit dan kalau hospital swasta kena tunggu lebih lama... jadi tak payah merungut". Jawapan itu memang menyakitkan hati.
Malangnya, pegawai perubatan di hospital berkenaan boleh memberi perkhidmatan terbaik untuk meningkatkan imej Hospital Bahiyah, kakitangan sokongan pula, yang mencetuskan rasa tidak senang pesakit.
SHAZ,
Beseri, Perlis.
