Laporan Khas: Guru sambung belajar minta dibela
Berita Harian
Dakwaan teraniaya kerana tak terima ganjaran setimpal perlu diselesai segera
DILEMA dihadapi kerajaan setiap kali mengumumkan sesuatu ialah ada pihak yang pasti tidak puas hati. Namun, hakikatnya bukan mudah untuk memuaskan hati semua pihak. Diberi salah, tidak diberi lagilah heboh satu Malaysia melabel kerajaan sebagai tidak prihatin dan kurang memberi pertimbangan terhadap sumbangan rakyat dalam membangunkan negara.
DILEMA dihadapi kerajaan setiap kali mengumumkan sesuatu ialah ada pihak yang pasti tidak puas hati. Namun, hakikatnya bukan mudah untuk memuaskan hati semua pihak. Diberi salah, tidak diberi lagilah heboh satu Malaysia melabel kerajaan sebagai tidak prihatin dan kurang memberi pertimbangan terhadap sumbangan rakyat dalam membangunkan negara.
tulah persoalannya apabila membicarakan isu pelarasan gaji diumumkan kerajaan baru-baru ini dan ia mula dinikmati semua kakitangan awam pada akhir bulan ini. Perkara dikhuatiri kerajaan kini dibangkitkan pula oleh kelompok paling besar dalam sektor perkhidmatan awam iaitu guru.
Perdebatannya membabitkan guru siswazah yang mendakwa teraniaya kerana dikatakan tidak menerima ganjaran sewajarnya, malah menikmati gaji lebih kecil berbanding guru bukan siswazah. Konflik menjadi lebih tegang apabila kelompok itu mendakwa pelarasan gaji menyebabkan mereka lebih jauh kerugian berbanding mereka yang tidak menyambung pelajaran.
Apabila diamati isu ini, ada beberapa perkara yang perlu diberi perhatian kerana hakikatnya jika guru melenting memarahi kerajaan, bagai terkena tempias sendiri, sudahnya mereka pula menggigit jari. Kerajaan pula, jika hendak membela diri dengan menyalahkan guru, bagai ayah marahkan anak belajar membaca sedangkan ayah juga yang menggalakkan anaknya membaca.
Apa tidaknya, guru yang mendakwa dalam kelompok teraniaya ini sebenarnya perlu melihat dan memahami dengan lebih terperinci kaedah skim digunakan dalam perkhidmatan pendidikan. Mereka tidak boleh menyamakan skim gred perlantikan dengan skim gred kenaikan pangkat.
Adalah sangat wajar jika mereka yang menerima kenaikan pangkat diberi gaji lebih tinggi berbanding mereka yang dilantik.
Itulah isunya diperjuangkan kelompok guru ini. Gaji mereka bergred DGA41 (gred untuk guru yang baru dilantik dalam skim siswazah) lebih rendah berbanding guru gred DGA32 (gred bagi guru bukan siswazah yang naik pangkat secara Time Based).
Memang nampak seakan tidak adil guru bukan siswazah menerima gaji lebih tinggi berbanding guru siswazah. Namun, soalnya DGA32 ialah kenaikan pangkat. Jadi, tidak ada yang tidak adil.
Justeru, ada suara sumbang dalam kerajaan yang membidas kelompok guru ini. Kenapa menyambung pelajaran? Kerajaan tidak suruh, tidak paksa atau mewajibkan mereka berbuat demikian. Jangan salahkan kerajaan jika apa yang diharapkan tidak diperoleh kerana hasrat menyambung pelajaran diputuskan guru sendiri.
Jika jawapan itu yang menjadi hujah, pastinya guru juga berhak bangun bertikam lidah. Memang kerajaan tidak paksa, tetapi kerajaan juga yang menggalakkan guru menyambung pelajaran untuk menyahut seruan kerajaan supaya semua guru di sekolah menengah dan separuh guru sekolah rendah bersiswazah menjelang 2010.
Jadi, tindakan guru menyambung pelajaran adalah salah satu daripada tanda mereka positif menyahut seruan kerajaan.
Justeru, apabila guru sudah sanggup mengorbankan segala wang ringgit, masa dan keringat, malah ada yang sanggup berhutang demi memiliki segulung ijazah, wajarlah mereka diberi pengiktirafan dan mendapat pembelaan setimpal dengan apa yang sudah mereka lakukan.
Sesuatu yang tidak boleh diterima akal apabila seseorang guru yang menyambung pelajaran menerima gaji lebih rendah, sedangkan rakan seusianya dan dalam tahun perkhidmatan sama, tetapi kekal mengajar dalam skim bukan siswazah, boleh tersenyum bangga dengan kenaikan pangkat selain gaji jauh lebih tinggi. Logiknya, lebih baik jangan belajar!
Apabila diajukan soalan kepada beberapa pihak berwajib dalam Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) atau Kementerian Pelajaran, jawapan yang sedikit melegakan ialah faedah yang bakal diperoleh guru siswazah lebih tinggi, malah ada yang berpeluang menjawat pelbagai jawatan besar selain naik pangkat sehingga ke Jawatan Utama Sektor Awam C (Jusa C).
Namun, apabila dirujuk kepada kalangan bekas pengetua sekolah yang sudah berbelas, malah ada berpuluh tahun berkhidmat dalam skim siswazah, kata mereka: “Berapa kerat sangatlah yang dapat naik pangkat sampai peringkat itu. Kebanyakannya akan hanya mampu capai DGA44, jauh sekali mengimpikan Jusa C.”
Sukar sekali membicarakan isu ini kerana semua pihak sebenarnya amat bersimpati kepada nasib kelompok guru terbabit tetapi hendak menyalahkan wujudnya sistem ‘Time Based’ (sistem yang hanya ada dalam sektor perguruan) yang menjadi punca semua ini tidak wajar pula.
Pastinya semua guru akan rasa lebih menyesal jika kerajaan menarik balik kelebihan itu yang selama ini menjadi hadiah berharga kepada sektor perguruan.
Mujurlah khabarnya ada perbincangan aktif yang membabitkan pelbagai pihak termasuk JPA, kementerian dan kesatuan guru bagi mencari penyelesaian positif terhadap semua permasalahan ini.
Pastinya harapan semua pihak adalah melihat dilema ini dihuraikan segera supaya perkhidmatan guru bukan lagi menjadi medan perdebatan yang mendorong kepada perkhidmatan tidak ikhlas, lantaran berasa diri teraniaya dan akhirnya pelajar juga menjadi mangsa keadaan.
Apapun pendekatannya, tarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berselerak.
6 comments:
Dulu guru DGA29 yang tak puas hati dengan guru DG41. Guru DGA29 pun sambung belajar dengan harapan untuk dapat DG41. Tapi bila dah dapat DG41 kawan sekerja dah dapat DGA32 tanpa perlu sambung belajar.. hehehe.. sekarang guru DG41 yang asalnya di convert dari DGA29 tak puas hati pula dengan guru DGA32... hmmm sampai bila budaya tak puas hati dan hasad dengki ni nak abis ?
sy dan isteri memiliki master..tolong la kami setelah kami berhabisan menimba ilmu pengetahuan..tidak ada apa yg kami dapat..lihatlah,lihatlah
bukan hasad dengki tp hak yang sepatutnya diterima..itu jer, jangan nak mengapi-api pula..hak mesti dituntut..itu jer
GURU YANG SAMBUNG BELAJAR DAN PPPS SEHARUSNYA DIBERI GAJI YANG LEBIH ATAS SEBAB TERPAKSA MENANGGUNG BEBAN HUTANG BLAJAR. BERBANDING LEPASAN MAKTAB YANG DIBERI DUIT POKET SEMASA BELAJAR.BSEPERTI KATA DIATAS,,BUKAN IRI HATI..HASAD DENGKI TP MENUNTUT HAK. HARUS DIINGAT..GURU GAJINYA SELALU AKAN DIGUNAKAN UNTUK MURIDNYA SAMA.
macam-macamlah
selagi jadi manusia
semua tak kena
itu tak kena ini tak kena
redhalah apa yang ada
kalau tidak redha sampai bila
tak puasa hati
jangan ikut nafsu
walau memang ada hak
tapi bukan semestinya kita dapat
Post a Comment