03 September 2007

Kesatuan pegawai JPJ mohon kuasa tangkap pesalah

Utusan Online

PORT DICKSON 2 Sept. – Kesatuan Pegawai Pengangkutan Jalan Semenanjung Malaysia (KKPJSM) meminta kerajaan memberi kuasa kepada pegawai penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk menangkap pesalah undang-undang negara.

Presidennya, Hamzah Masri berkata, kuasa itu akan membolehkan pegawai penguat kuasa JPJ membantu agensi penguatkuasaan lain seperti polis, kastam dan imigresen sewaktu mengadakan tugasan rutin mereka di jalan raya.

Katanya, kuasa tangkapan itu juga dapat membantu JPJ melicinkan tugasan mereka sewaktu mengadakan operasi kerana terdapat pemandu kenderaan yang bertindak agresif dan enggan bekerjasama.

“Ada sesetengah pemandu terutama pemandu kenderaan perdagangan seperti lori dan treler yang agresif dan enggan bekerjasama apabila kita tahan mereka. Mereka tahu kita tiada kuasa untuk tangkap mereka melainkan keluarkan saman saja.

“Jika mereka melarikan diri, kita hanya catatkan nombor kenderaan untuk semakan namun jika pemandunya bersikap agresif, mereka ini biasanya melakukan kesalahan lain manakala nombor pendaftaran kenderaan pula dipalsukan,” katanya kepada pemberita.

Beliau ditemui selepas berakhirnya Mesyuarat Agung KPPJSM yang dirasmikan oleh Ketua Pengarah JPJ, Datuk Ahmad Mustapha Abdul Rashid di sini hari ini.

Dalam mesyuarat agung itu, Hamzah mempertahankan jawatan sebagai Presiden KPPJSM untuk tempoh dua tahun lagi.

Menjelaskan mengenai kuasa tangkapan itu, Hamzah berkata, ia tidak bermaksud JPJ mahu memainkan peranan seperti polis, kastam dan imigresen sebaliknya hanya membantu jika terserempak dengan pesalah.

Beliau berkata, sebagai agensi penguatkuasaan yang sentiasa memantau jalan raya, JPJ kerap bertembung dengan pesalah undang-undang namun penguat kuasa JPJ tidak dapat berbuat apa-apa.

“Jika kita menahan kenderaan curi ataupun yang membawa pendatang haram, JPJ perlu memaklumkan kepada polis atau imigresen. Sewaktu menunggu ketibaan mereka, pesalah terbabit mungkin melarikan diri,” katanya.

Sementara itu, KPPJSM turut berharap penggunaan senjata api sewaktu bertugas yang kini hanya digunakan oleh ketua operasi diperluaskan kepada penguat kuasa lain.

Katanya, langkah itu dapat mengelakkan keadaan kelam-kabut jika berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini terhadap ketua operasi terbabit kerana penguat kuasa lain tiada lesen dan kemahiran untuk menggunakan senjata api itu.

“Apabila kita memperkatakan mengenai agensi penguat kuasa, tiada satupun yang terkecuali daripada menerima pelbagai bentuk ancaman, begitu juga dengan JPJ.

“Oleh itu kami berpendapat penggunaan senjata api dan pemberian lesennya perlu diperluaskan bagi mewujudkan sokongan sekiranya ketua operasi ditimpa kejadian yang tidak diingini,” katanya.

No comments: