07 September 2007

Cuti bersalin tanpa gaji tidak jejaskan sektor awam

Utusan Online

PUTRAJAYA 4 Sept. – Langkah kerajaan membenarkan cuti bersalin tanpa gaji bagi kakitangan awam daripada 90 hari kepada lima tahun tidak akan menjejaskan operasi pentadbiran kerajaan, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Perdana Menteri berkata, tidak semua kakitangan awam akan memohon cuti bersalin maksimum selama lima tahun dan dalam hal ini ketua-ketua jabatan mesti bijak mengurus perkara itu.

“Saya tidak fikir 200 hingga 300 orang ambil cuti (sampai) lima tahun.

“Ia berhubung kait dengan penjagaan anak. Kita nak bagi kesempatan kepada mereka beri perhatian kepada usaha mendidik dan membesarkan anak-anak. Dan tidak semestinya mereka hendak ambil cuti sampai lima tahun,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan e-Merah dan Portal I Cerve U di sini hari ini.

Semalam, kerajaan bersetuju melanjutkan cuti bersalin tanpa gaji bagi kakitangan sektor awam daripada 90 hari sekarang kepada had maksimum lima tahun berkuat kuasa serta-merta.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkan peraturan baru itu berkata, keputusan tersebut dibuat sejajar dengan hasrat kerajaan supaya anak-anak menerima pendidikan awal yang sempurna.

Keputusan yang dibuat Kabinet dalam mesyuarat mingguan Rabu lalu akan memberi kemudahan tambahan kepada seramai 563,000 wanita yang bekerja dalam sektor awam daripada keseluruhan 1.3 juta kakitangan kerajaan.

Menurut statistik Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, sebanyak 10 peratus atau 24,300 daripada 243,000 kakitangan sektor awam berusia antara 18 hingga 39 tahun melahirkan anak setiap tahun.

Menurut Abdullah, beliau yakin semua ketua jabatan boleh mengurus perkara berkenaan kerana jika 10 orang dari jabatan yang sama mahu mengambil cuti bersalin tanpa gaji sudah tentu ia menjejaskan sedikit kerja-kerja di jabatan berkenaan.

Tetapi, katanya, jika ketua-ketua jabatan tahu menguruskannya menerusi pertukaran-pertukaran tertentu ia sudah tentu tidak akan menjejaskan operasi jabatan.

Perdana Menteri berkata, tidak semua kakitangan awam mengambil cuti bersalin kerana sesetengahnya mengambil cuti tanpa gaji kerana mengikuti suami bertugas di luar negara.

“Mungkin ada antara mereka berkahwin dengan diplomat yang berkhidmat di luar negara dan dia serta anak-anak ingin ikut suami ke luar negara,” katanya.

Menjawab satu soalan Abdullah berkata, kerajaan akan terus menambah bilangan anggota pentadbiran awam di sektor-sektor yang memerlukan.

“Ini suatu perkara yang akan berlaku. Di mana yang tak perlu ditambah, tak perlu tambah,” katanya.

No comments: