03 September 2007

Tidak perlu mekanisme baru tangani pekerja bermasalah – JPA

Utusan Online

Oleh Zabry Mohamad

KUALA LUMPUR 2 Sept. – Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tidak berhasrat memperkenalkan mekanisme baru bagi menangani pekerja bermasalah dalam perkhidmatan kerajaan setelah cadangan untuk melaksanakan Skim Pemberhentian Sukarela (VSS) ditolak.

Menurut Ketua Pengarah JPA, Tan Sri Ismail Adam, peraturan-peraturan di bawah Akta Pencen 1980 dilihat sudah memadai untuk mengatasi masalah tersebut.

‘‘Tidak ada pendekatan baru bagi menggantikan VSS. Segala perkara berkaitan pekerja bermasalah akan kita atasi mengikut peraturan sedia ada,’’ katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan muka depan Mingguan Malaysia hari ini mengenai pembatalan cadangan pelaksanaan VSS oleh JPA bagi menangani pekerja bermasalah.

Laporan itu yang memetik kenyataan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Omar Osman menyebut Ismail telah bersetuju membatalkan cadangan itu dalam pertemuan dengan kepimpinan CUEPACS di Putrajaya Rabu lalu.

Saranan supaya Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) memperkenalkan VSS pernah disuarakan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan sebelum ini.

Cadangan mewujudkan skim itu dibuat bertujuan melepaskan daripada perkhidmatan awam pekerja-pekerja bermasalah, kakitangan yang prestasinya tidak cemerlang dan mereka yang tidak berdisiplin.

Menurut Mohd. Sidek, langkah itu bukan perkara baru di negara ini kerana VSS telah lama diamalkan oleh sektor swasta.

Bagaimanapun, cadangan tersebut mendapat bantahan daripada CUEPACS.

Omar menegaskan, cadangan itu sekiranya dilaksanakan akan menyebabkan sektor perkhidmatan awam di negara ini menjadi ‘kelam-kabut’ kerana VSS yang cuba diperkenalkan oleh kerajaan amat berbeza dengan sistem VSS sektor swasta.

Katanya, dalam sektor swasta, VSS ditawarkan kepada semua pekerja dengan memberi penekanan terhadap unsur sukarela dan bukannya sebagai satu kaedah membuang pekerja bermasalah.

Sementara itu, Mohd. Sidek ketika dihubungi enggan memberikan sebarang komen.

No comments: