05 September 2007

Ancaman samseng -- Kerajaan didesak lindungi penguat kuasa yang kini takut bertugas

Utusan Online

Oleh Zaini Raban

IPOH 4 Sept. – Samseng-samseng kini semakin berani mengancam anggota-anggota penguat kuasa termasuk mengugut untuk menyerang, merosakkan rumah, harta dan mencederakan ahli-ahli keluarga mereka.

Sambil meminta kerajaan dan polis melakukan sesuatu untuk melindungi pasukan penguat kuasa yang menghadapi ancaman samseng dan tonto, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyifatkan ancaman tersebut kini berada pada tahap kritikal.

Presiden CUEPACS, Omar Osman berkata, anggota-anggota penguat kuasa yang memerlukan perlindungan polis daripada ancaman samseng ialah pasukan dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Empat pasukan lain ialah Kastam, Imigresen, Jabatan Pengangkutan Jalan dan pihak berkuasa tempatan.

“Insiden ugut dan calar kereta sudah menjadi perkara biasa berlaku ke atas penguat kuasa,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis taklimat CUEPACS anjuran Kesatuan Pegawai-Pegawai Penguat Kuasa Malaysia bersama pejabat KPDNHEP Perak di sini hari ini.

Omar membayangkan anggota penguat kuasa mungkin tidak akan berani lagi menjalankan tugas jika ancaman daripada samseng sampai ke tahap kritikal yang membahayakan nyawa diri dan keluarga.

Katanya: “Ada kes samseng membaling bom api ke rumah anggota penguat kuasa.”

Beliau mendakwa kira-kira 35,000 anggota penguat kuasa di seluruh negara terdedah kepada ancaman tersebut dan tidak dilindungi sepenuhnya.

Omar memberikan contoh kes-kes serangan terhadap penguat kuasa yang berlaku di Pulau Pinang.

“Daripada 50 kes serangan terhadap penguat kuasa KPDNHEP dari 2001 hingga tahun ini, hanya tiga kes dihadapkan ke mahkamah dan pesalah cuma dikenakan denda,” katanya.

Menurut beliau, memandangkan pasukan penguat kuasa akan dikerahkan menjalankan tugas tambahan semasa musim perayaan tidak lama lagi, sesuatu perlu dilakukan segera bagi menjamin keselamatan mereka.

“Kerajaan mesti memberi jaminan tentang keselamatan mereka,” ujarnya.

Sehubungan itu, Omar menggesa pihak polis memberi kerjasama kepada agensi-agensi penguat kuasa dengan menyertai setiap operasi yang mereka dijalankan.

Omar turut mempertikaikan ketegasan polis kerana daripada 202 kes ancaman ke atas pihak penguat kuasa KPDNHEP di seluruh negara sejak enam tahun lalu, hanya beberapa kes yang dibawa ke mahkamah manakala yang lain cuma dikenakan tindakan ringan.

‘‘Sepatutnya polis kena siasat habis-habisan dan tangkap semua dalang yang terlibat supaya masalah ancaman keselamatan ini selesai.

‘‘Saya akan berjumpa dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dalam tempoh terdekat bagi merayu polis memberi jaminan keselamatan kepada pihak penguat kuasa,” katanya.

Menurutnya, pihaknya juga berharap setiap kementerian yang terbabit dalam tugas-tugas penguatkuasaan menyediakan jaminan dari segi perlindungan insurans seperti yang diberikan kepada anggota polis dan tentera.

‘‘Perlindungan yang disediakan oleh kerajaan kepada anggota penguat kuasa pada masa ini adalah untuk kecacatan kekal sahaja.

‘‘Jika anggota penguat kuasa cedera, luka dan bengkak-bengkak kerana dibelasah samseng mereka tidak dapat apaapa bayaran kecuali derma atau sumbangan daripada rakan-rakan.

‘‘Jika rumah mereka dibom atau kereta mereka dirosakkan sekalipun mereka kena tanggung sendiri, jadi kerajaan kena cepat ambil tindakan supaya keselamatan mereka ini benar-benar terjamin.

‘‘Kita tidak mahu dengar apabila sudah ada penguat kuasa mati dibelasah oleh samseng barulah kerajaan bertindak,” ujarnya.

No comments: