05 September 2007

Cuepacs terkejut cuti bersalin

Berita Harian

IPOH: Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) terkejut keputusan Kabinet melanjutkan cuti menjaga anak tanpa gaji sehingga lima tahun kerana kesatuan itu tidak pernah diajak berbincang sebelum ini.

Presidennya, Omar Osman, berkata kesatuan itu akan membincangkan perkara berkenaan dalam mesyuarat Majlis Kongres Cuepacs di Kuala Lumpur, Ahad ini sebelum membuat sebarang keputusan.

Beliau berkata, Cuepacs lebih suka Kabinet memanjangkan cuti bersalin dengan gaji penuh daripada 60 hari sekarang kepada 90 hari.

"Jika wanita bersalin diberi cuti bergaji tiga bulan, saya yakin mereka akan bekerja dengan lebih baik," katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Omar berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan Kabinet Rabu lalu yang melanjutkan cuti tanpa gaji untuk menjaga anak daripada tiga bulan kepada had maksimum lima tahun.

Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata cuti panjang itu boleh diambil beberapa kali dengan tidak melebihi lima tahun dan kakitangan berkenaan masih layak menerima kenaikan gaji secara bersyarat selepas kembali bekerja.

Omar berkata, Cuepacs yakin kemudahan itu tidak akan dimanfaatkan oleh kumpulan kakitangan sokongan 1 dan 2.

Beliau berkata, kira-kira 85,000 daripada lebih sejuta kakitangan awam adalah dari kumpulan sokongan 1 dan 2, iaitu dua kumpulan yang menerima gaji terendah.

"Kebanyakan wanita bekerja untuk menambah pendapatan isi rumah dan jika mereka mengambil cuti secara berterusan selama dua hingga tiga tahun, pendapatan keluarga akan terjejas dengan ketara.

"Tambahan pula, 65 peratus daripada perkhidmatan awam terutama di Kementerian Pelajaran, Kementerian Kesihatan dan agensi lain adalah wanita.

"Bayangkan beberapa guru di satu sekolah atau sejumlah jururawat di satu klinik dan hospital mengambil cuti dua hingga tiga tahun. Apa akan jadi pada agensi ini.

"Ketua jabatan tentu tidak akan mengambil kakitangan baru kerana jawatan kakitangan yang bercuti sudah diisi tetapi penjawatnya tiada kerana bercuti panjang," katanya.

Omar berkata, Cuepacs juga akan meminta penjelasan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berhubung syarat kenaikan gaji tahunan kakitangan yang mengambil cuti tanpa gaji itu.

No comments: