05 September 2007

BPR buka semula kes Penjara Kuching

Berita Harian


KUCHING: Badan Pencegah Rasuah (BPR) masih meneruskan siasatan penyelewengan projek pembinaan Penjara Baru Kuching di Padawan bernilai RM165 juta, yang terbengkalai sejak sembilan tahun lalu, dengan fokus kini terarah kepada kontraktornya.

Pengarah BPR Sarawak, Mohamad Yusoff Akope, berkata pihaknya sudah membuka kertas siasatan pertama berkaitan kes berkenaan, namun ia gagal kerana kekurangan bukti kukuh serta saksi berkelayakan.

"Kita terpaksa membuka semula kertas siasatan selepas siasatan peringkat pertama gagal mengaitkan mana-mana pihak dengan penyelewengan walaupun beberapa individu tertentu sudah dipanggil membantu penyiasatan.

"Setakat ini, pegawai dari Jabatan Penjara sudah memberi kenyataan ketika dipanggil tahun lalu, namun kita masih gagal untuk mengaitkan mana-mana pihak dengan penyelewengan," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis penutupan 'Seminar Pencegahan Rasuah Bagi Badan Berkanun dan Syarikat Kerajaan Negeri Sarawak' di sini, semalam.

April tahun lalu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mengadakan lawatan mengejut bagi meninjau masalah kelewatan pembinaan mengarahkan BPR menyiasat dakwaan berlaku penyelewengan hingga menyebabkan projek pembinaan Penjara Baru Kuching di sini, terbengkalai sejak sembilan tahun lalu.

Projek pembinaan Penjara Kuching, adalah antara 'projek sakit' yang gagal disiapkan kontraktor sejak 1997, walaupun sebuah syarikat pembinaan baru sudah dilantik tahun lalu untuk menyiapkannya, namun ia belum dapat digunakan.

Yusoff berkata, siasatan peringkat kedua dilakukan Jun lalu lebih bertumpu kepada pihak kontraktor bagi mendapatkan penjelasan mereka mengenai status projek berkenaan.

"Pada peringkat pertama siasatan, kontraktor terbabit tidak dipanggil bagi memberi kenyataan kerana kita memberi fokus kepada aspek lain dengan pihak penjara sahaja dipanggil pegawai penyiasat.

"Siasatan lebih menyeluruh akan dilakukan dengan kita berharap kes ini dapat diselesaikan akhir tahun ini sebelum kertas laporan diserahkan kepada Peguam Negara untuk proses pendakwaan," katanya.

Mengulas mengenai penahanan atau tangkapan individu berkaitan kes itu, Yusoff berkata, siasatan mengenainya masih berjalan, namun tidak menolak kemungkinan ada pihak akan ditahan.

"Semuanya masih pada peringkat awal dengan siasatan baru dimulakan Jun lalu, tiada tangkapan dibuat setakat ini. Namun kita berharap ada perkembangan lanjut mengenai kes ini kerana siasatan mengenainya diarahkan sendiri oleh Perdana Menteri.

"Saya berkeyakinan kes ini dapat diselesaikan dengan cepat kerana sehingga kini ia sudah mencapai 40 peratus dengan tangkapan hanya dapat dilakukan selepas semuanya selesai," katanya.

No comments: