Guna akta sedia ada atasi kakitangan bermasalah
Utusan Online
Rencana Pengarang
POLEMIK mengenai cadangan melaksanakan VSS atau Skim Pemberhentian Sukarela dalam perkhidmatan kerajaan sampai ke penghujungnya apabila Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) membatalkan hasrat itu.
Berita pembatalan itu dimaklumkan sendiri oleh Ketua Pengarah JPA, Tan Sri Ismail Adam kepada Kongres Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dalam pertemuan di Putrajaya Rabu lalu.
Sebagai suara penjawat awam yang terus-menerus membantah saranan itu sejak ia dicetuskan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan – CUEPACS tentu sahaja menarik nafas lega dengan keputusan tersebut.
Ini kerana alasan cadangan itu dilontarkan iaitu untuk melepaskan ‘pekerja-pekerja bermasalah’ bertentangan dengan sifat skim tersebut yang memerlukan pemberhentian secara sukarela.
Memang betul VSS bukan baru dan telah lama dipraktikkan sektor swasta tetapi pelaksanaannya bukan dengan alasan sama yang dilontarkan Mohd. Sidek. Ia ditawarkan kepada kakitangan swasta sama ada kerana syarikat ‘benar-benar merudum’ atau mengalami kerugian besar.
Hakikatnya sektor swasta pun tidak mampu ‘menyingkirkan’ pekerja-pekerja bermasalah melalui VSS – kerana kerap kali yang memilih untuk berhenti di bawah skim itu ialah pekerja ‘tidak bermasalah’ yang mendapat tawaran lebih baik di tempat lain.
Dalam hal ini, kita lega JPA tidak melihat VSS sebagai ‘jalan keluar’ kepada penyelesaian masalah kakitangan sektor awam.
Jawapan bagi permasalahan ini sebenarnya sudah pun ada. Soal tatatertib dan disiplin di sektor awam ini ada kaedah lain yang boleh diuruskan - dan VSS bukanlah jawapannya.
Ini kerana, kakitangan awam mempunyai perintah am (general order) yang perlu dipatuhi selain surat pekeliling, peraturan dan akta berkaitan termasuk Akta Pencen 1980.
Hakikatnya, peruntukan sudah ada untuk menangani ‘‘pekerja-pekerja bermasalah’’ dan seperti biasa, masalah utama yang menjadi halangannya ialah pelaksanaan atau penguatkuasaan.
Sudah sampai masanya peruntukan sedia ada itu diguna pakai secara meluas bukan sahaja bagi melepaskan tetapi ‘menyusun atur’ kakitangan bermasalah.
Kita ada indeks pengukuran prestasi. Maknanya kita boleh melihat prestasi seseorang itu.
JPA sendiri sudah menyenaraikan tidak cemerlang, tidak berdisiplin, sering bertukar kerja dan soal kesihatan sebagai bermasalah dan ini memudahkan tugas jabatan itu mencari jalan mengatasinya.
No comments:
Post a Comment