07 September 2007

Isu cuti bersalin 5 tahun - Tidak praktikal -- Tidak setuju

Utusan Online

IPOH 4 Sept. – Tidak praktikal, begitulah reaksi Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) terhadap keputusan kerajaan melanjutkan cuti bersalin tanpa gaji bagi kakitangan sektor awam kepada had maksimum lima tahun.

Presidennya, Omar Osman berkata, selain boleh menjejaskan prestasi kerja kakitangan awam yang mengambil cuti itu, ia juga akan membebankan petugas lain serta menjejaskan pendapatan sesebuah keluarga.

Menurut beliau, apa yang sebenarnya diinginkan oleh CUEPACS ialah kerajaan meluluskan permohonan cuti bersalin kepada 84 hari dengan gaji penuh berbanding 60 hari sekarang dan kemudian diikuti dengan cuti tanpa gaji selama tiga bulan.

“Sebenarnya cuti bersalin 84 hari dengan gaji penuh lebih dinantikan oleh 65 peratus kakitangan awam wanita kerana ia lebih praktikal, kalau cuti itu tidak cukup mereka boleh sambung cuti tiga bulan tanpa gaji.

“Cuti tiga bulan tanpa gaji itu pun tidak dapat sambutan apatah lagi lima tahun. Tambahan pula kalau cuti lama sangat hanya akan menjejaskan gratuiti mereka sendiri,” katanya di sini hari ini.

Omar memberitahu, CUEPACS sebenarnya agak terkejut dengan keputusan kerajaan itu kerana Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebelum ini tidak pernah berbincang mengenai perkara itu dengan pihaknya.

Jelas beliau, jika perkara itu dibincangkan terlebih dahulu sudah pasti banyak masalah yang mungkin timbul akan dapat diberi perhatian kerana ia melibatkan jumlah pekerja wanita yang sangat ramai.

“Cuba bayangkan kebanyakan kakitangan awam adalah dari kumpulan sokongan satu dan dua yang seramai 850,000 orang dan saya yakin tidak ramai yang akan mengambil cuti sampai lima tahun itu, walaupun JPA kata cuti itu demi mewujudkan sebuah keluarga penyayang dan bahagia.

“Kalau isteri sudah tidak bekerja sudah tentu ekonomi keluarga terjejas. Jadi hasrat kerajaan untuk melihat keluarga bahagia mungkin tidak kesampaian kerana keluarga tidak cukup duit,” tambahnya.

Pengarah Eksekutif Persatuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Shamsuddin Bardan pula berpendapat, kerajaan tidak sepatutnya terburu-buru melanjutkan cuti bersalin tanpa gaji kepada kakitangan awam daripada 90 hari sekarang sehingga had maksimum lima tahun kerana ia boleh menjejaskan ekonomi negara.

Beliau berkata, dasar membenarkan pekerja wanita untuk mengambil cuti bagi satu tempoh yang lama turut memberikan persepsi buruk kepada golongan itu.

Katanya, bukan mustahil jika selepas ini majikan mungkin mengelak daripada mengambil golongan wanita untuk bekerja dengan mereka.

“Sebagai jalan penyelesaiannya, saya percaya majikan akan mengambil buruh asing dan mengakibatkan pengaliran mata wang kita ke negara asing yang lebih banyak,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dalam hubungan ini Shamsuddin berkata, jika dasar sama dilaksanakan dalam sektor swasta, agak sukar bagi pihak majikan untuk memantau pekerja wanita sama ada mereka benar-benar menjaga anak atau mempunyai agenda untuk kepentingan diri.

No comments: