04 September 2007

IPT perlu tingkat potensi

Utusan Online

PETALING JAYA 3 Sept. – Institusi pengajian tinggi tempatan perlu mempertingkatkan potensi dan kekuatan masing-masing serta memanfaatkan langkah pengantarabangsaan universiti seberang laut yang melebarkan sayap mereka ke Malaysia, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Beliau berkata, kini banyak universiti, terutama dari United Kingdom, Amerika dan Australia, mengubah kedudukan mereka menjadi peserta global, dengan menubuhkan kampus baru dan mengeksport program pendidikan masing-masing.

“Usaha pengantarabangsaan ini memberi manfaat kepada Malaysia dalam banyak cara. Ia menyediakan pendidikan berkualiti tinggi di negara ini pada kos yang efektif untuk anak muda kita, di samping menarik kehadiran pelajar antarabangsa ke negara kita.

“Kewujudkan kampus asing sepatutnya memberi ilham kepada institusi pengajian tinggi tempatan untuk meningkatkan potensi serta kekuatan masing-masing serta kewibawaan pelajar mereka,” katanya semasa merasmikan Kampus Sunway Monash University di sini.

Najib berkata, pembangunan pengajian tinggi bergerak maju melalui persekitaran yang semakin bersifat global dan sekali gus menampilkan peluang serta cabaran baru kepada semua negara dalam landskap pengajian tinggi yang lebih luas.

Menurut beliau, antara cara untuk menghadapi cabaran berhubung peningkatan permintaan terhadap pendidikan ialah menggalakkan dan memajukan penswastaan pendidikan.

“Oleh kerana kami hanya boleh tubuhkan universiti awam dengan jumlah tertentu sahaja, maka kami perlu sokong dan galakkan pertumbuhan institusi pengajian tinggi swasta.

“Permintaan terhadap pendidikan tinggi berkembang secara luar biasa dan ini memerlukan kami berbuat sesuatu mengenainya, jika tidak, kami akan gagal dalam menunaikan tanggungjawab sebagai kerajaan,” katanya.

Bagi Monash University sendiri, sepertiga daripada 3,000 pelajarnya berasal dari 50 negara luar Malaysia dan ia boleh memainkan peranan penting dalam membantu Kementerian Pengajian Tinggi mencapai sasarannya untuk mempunyai 100,000 pelajar asing yang melanjutkan pelajaran di negara ini pada 2010, kata beliau.

– Bernama

No comments: