02 September 2007

JPA tolak VSS -- Guna mekanisme baru tangani pekerja bermasalah

Utusan Online

Oleh: ZULKIFLI ABDULAH

KUALA LUMPUR 1 Sept. - Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) membatalkan hasratnya untuk melaksanakan Skim Pemberhentian Sukarela (VSS) bagi menangani pekerja-pekerja bermasalah dalam perkhidmatan kerajaan.

Perkara itu dinyatakan oleh Ketua Pengarah JPA, Tan Sri Ismail Adam dalam pertemuan dengan kepimpinan Kongres Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) di Putrajaya Rabu lalu.

Sebaliknya, jabatan itu akan menggunakan mekanisme baru yang lebih telus berbanding skim tersebut agar semua pekerja bermasalah ditangani secara lebih adil.

Menurut Presiden CUEPACS, Omar Osman, JPA tidak akan menggunakan VSS dalam sektor awam sebaliknya merujuk kepada Akta Pencen 1980 yang dianggap begitu sempurna dalam menangani masalah tersebut.

‘‘Pihak CUEPACS sendiri tidak setuju digunakan VSS untuk mengambil tindakan terhadap pekerja yang bermasalah kerana ini dikhuatiri menimbulkan masalah dari segi keadilan dan kemungkinan ada pekerja dianiaya nanti,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini, hari ini.

Sebelum ini, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan menyarankan supaya Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) mewujudkan VSS bagi melepaskan pekerja-pekerja bermasalah daripada terus berkhidmat dalam perkhidmatan kerajaan.

Menurut Mohd. Sidek, langkah itu bukan perkara baru di negara ini kerana VSS telah lama diamalkan oleh sektor swasta.

Omar memberitahu, pihaknya telah mencadangkan kepada JPA agar kakitangan yang bermasalah diberi kaunseling dalam latihan ke arah meningkatkan kesedaran mereka untuk meningkatkan kualiti kerja.

Tambahnya, jika pekerja awam terbabit masih tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap, pihak jabatan perlu menyerahkan kepada JPA untuk mengambil tindakan lanjut dan bukannya ketua jabatan terbabit.

‘‘Pendekatan ini dibuat kerana CUEPACS mahukan seseorang pekerja sektor awam diberi peluang secara lebih adil dan saksama sebelum dikenakan tindakan,” ujarnya.

Ditanya maksud pekerja yang bermasalah, Omar memberitahu, pada kebiasaannya mereka terbabit mempunyai masalah dari segi prestasi, tidak cemerlang dan tidak berdisiplin, sering tukar tempat kerja serta soal kesihatan.

No comments: