05 September 2007

Kementerian sokong NUTP

Berita Harian


Tindakan saman ibu bapa buat laporan palsu bela nasib guru


GEORGETOWN: Kementerian Pelajaran menyokong tindakan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menyaman ibu bapa yang membuat laporan palsu terhadap guru.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata tindakan NUTP itu dapat membela guru dan mengelakkan mereka daripada terus teraniaya berikutan sikap segelintir ibu bapa.

Katanya, guru tidak harus bersikap bertahan saja, sebaliknya ada hak dan kebebasan untuk menyaman kembali ibu bapa yang mengemuka laporan palsu terhadap mereka.

“Ada segelintir ibu bapa menyerang guru hingga disiarkan dalam media berikutan pertelagahan peribadi atau bersandarkan emosi semata-mata, hingga menjejas kerjaya seseorang guru.

“Memang wajar tindakan NUTP itu. Ada segelintir ibu bapa yang sengaja menimbulkan masalah, membuat susah kepada sekolah sedangkan tanggungjawab guru banyak.

“Dengan tindakan ini, ibu bapa akan fikir dua tiga kali sebelum mengambil tindakan terhadap guru. Kita bukan sekat tapi kena berasaskan fakta,” katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis sambutan ulang tahun ke-40 South East Asian Ministers of Education Organisation (Seameo)-Regional Centre for Education in Science and Mathemathics (Recsam) di sini, semalam.

Mengenai hukuman rotan pelajar di khalayak ramai, Hishammuddin berkata, cadangan menggubal semula undang-undang dan peraturan itu bertujuan membolehkan guru melaksanakan tugas tanpa perasaan bimbang dan ragu-ragu serta melindungi mereka daripada disaman.

Bagaimanapun, katanya, kementerian masih mengkaji peruntukan yang sedia ada bagi melihat kesesuaiannya.

No comments: