‘JPJ perlu diberi kuasa tangkap pesalah lalu lintas’
Berita Harian
KUALA LUMPUR: Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang akan dipinda perlu juga menimbangkan pemberian kuasa kepada anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk menangkap pesalah lalu lintas.
Pengarah Penguat kuasa JPJ, Salim Parlan, berkata langkah pindaan itu perlu berikutan halangan perundangan menyukarkan JPJ membantu pihak penguat kuasa lain seperti polis untuk menangkap pesalah lalu lintas.
“Buat masa sekarang JPJ hanya ada kuasa menangkap ‘ulat’ tiket dan teksi haram selain dari itu kami memerlukan bantuan polis sekiranya berdepan dengan penjenayah lalu lintas.
“Sekiranya berhadapan situasi tidak dijangka, sesetengah pegawai saja diberikan senjata api dan itu pun hanya digunakan untuk mempertahankan diri,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, di sini, semalam.
Beliau berkata demikian mengulas cadangan Kesatuan Pengawai Pengangkutan Jalan Semenanjung Malaysia (KPPJSM) supaya kerajaan diminta mempertimbangkan pemberian kuasa kepada penguat kuasa JPJ untuk menahan individu yang melanggar undang-undang negara.
Presiden KPPJSM, Hamzah Masri berkata cadangan itu bagi membolehkan JPJ membantu agensi penguat kuasa seperti polis, kastam dan imigresen menjalankan tugas terutama ketika di jalan raya.
Ditanya sama ada JPJ mempunyai cukup anggota penguat kuasa, Salim berkata, keadaan pengguna dan kenderaan di jalan raya semakin bertambah setiap tahun dan kekurangan anggota penguat kuasa menyukarkan JPJ melakukan operasi berterusan.
Katanya, JPJ sedang berbincang dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk penambahan anggota penguat kuasa.
“Sekarang JPJ hanya mempunyai 800 pegawai penguat kuasa di seluruh negara, memang tidak cukup untuk melaksanakan operasi berterusan, kerana itu perbincangan dilakukan dengan JPA untuk mempertimbangkan penambahan anggota.
“Satu mesyuarat akan diadakan pada 14 September ini antara JPA dengan JPJ dan agensi penguat kuasa lain termasuk Polis, Lembaga Perlesenan dan Kenderaan Perdagangan (LPKP) dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya bagi membincangkan perkara ini,” katanya.
Mengulas mengenai cadangan pemberian kuasa kepada penguat kuasa JPJ, Timbalan Ketua Pengarahnya, Solah Mat Hassan, berkata satu kajian menyeluruh sedang dilakukan KPPJSM untuk melihat keperluan pemberian kuasa berkenaan sebelum cadangan dikemukakan kepada kerajaan.
Sementara itu, Majlis Peguam tidak bersetuju kuasa diberikan kepada penguat kuasa JPJ untuk menahan individu yang melanggar undang-undang negara.
Presidennya, Ambiga Sreenevasan, berkata kuasa yang diberikan kepada polis sudah mencukupi dan tidak perlu diberi kepada JPJ.
No comments:
Post a Comment