Isu cuti bersalin 5 tahun - Tumpuan penuh kepada anak -- Setuju
Utusan Online
PUTRAJAYA 4 Sept. – Kakitangan awam menyifatkan keputusan kerajaan melanjutkan cuti bersalin tanpa gaji bagi sektor itu daripada 90 hari kepada had maksimum lima tahun adalah wajar khususnya bagi ibu bapa yang mempunyai anak bermasalah kesihatan atau pergaulan dengan rakan sebaya.
Rata-rata mereka yang ditemui di sini hari ini, berpendapat tempoh cuti tersebut sesuai bagi membolehkan pasangan berkenaan memberi tumpuan sepenuhnya kepada anak yang menghadapi masalah sedemikian.
Anon Zainuddin, 48, berkata, keputusan kerajaan itu sekurang-kurangnya memberi kelegaan kepada ibu bapa yang berhadapan dengan masalah seperti itu.
Ini kerana, katanya, mereka tidak perlu lagi bimbang atau risau dengan prestasi atau mutu kerja masing-masing.
‘‘Walaupun ibu anak itu ambil cuti tanpa gaji sehingga dua tahun tetapi dalam tempoh itu, mereka boleh memberi tumpuan sepenuhnya kepada anak masing-masing sebelum menghantar ke taska atau rumah pengasuh,” katanya.
Kerajaan bersetuju melanjutkan cuti bersalin tanpa gaji bagi kakitangan sektor awam daripada 90 hari sekarang kepada had maksimum lima tahun berkuat kuasa serta-merta.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkan peraturan baru itu berkata, keputusan tersebut dibuat sejajar dengan hasrat kerajaan supaya anak- anak menerima pendidikan awal yang sempurna.
Aidil Abdullah, 40, berkata, keputusan itu sudah pasti akan melegakan wanita yang mempunyai anak.
‘‘Saya percaya dengan keputusan itu, pekerja wanita berkenaan tidak akan berada dalam dilema antara tekanan untuk meningkatkan mutu kerja dan pada masa yang sama, terpaksa menjaga anak yang bermasalah,” katanya.
Bagi Siti Hatijah Md. Ali, 36, keputusan tersebut tidak akan menjejaskan produktiviti negara kerana ia mampu mengelakkan wujudnya suasana yang kurang selesa di jabatan berkenaan.
‘‘Dengan kata lain, pihak pengurusan sudah boleh membuat perancangan awal bagi mengisi kekosongan sementara yang ditinggalkan oleh pekerja wanita yang mengambil cuti tanpa gaji,” katanya.
Bagaimanapun bagi Safina Yusof, 31, keputusan kerajaan itu tidak seharusnya disalahgunakan oleh pekerja wanita yang bersalin.
‘‘Saya anggap ia sesuai bagi wanita yang mempunyai anak yang benar-benar bermasalah sahaja kerana setiap kementerian mempunyai taska sendiri dan setiap pekerja boleh datang lihat anak masing-masing pada bila-bila masa,” katanya.
No comments:
Post a Comment