07 September 2007

Syor BPR dijadikan suruhanjaya

Utusan Online

PUTRAJAYA 6 Sept. – Konvensyen Integriti Nasional yang berakhir hari ini mengesyorkan agar Badan Pencegah Rasuah (BPR) dijadikan sebuah suruhanjaya.

Badan itu perlu menjadi sebuah badan bebas dan diberi kuasa untuk melakukan penyiasatan dan pendakwaan.

Perkara tersebut merupakan antara 21 resolusi yang diputuskan oleh lebih 1,200 peserta yang mewakili pelbagai sektor masyarakat pada konvensyen berkenaan.

Resolusi berkenaan dibacakan oleh Ahli Dewan Negara, Tan Sri Jins Shamsuddin di hadapan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada sesi petang konvensyen itu.

Turut hadir Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan dan Presiden Institut Integriti Malaysia, Datuk Dr. Mohd. Tap Salleh.

Selain itu, konvensyen yang sama juga mencadangkan diwujudkan Akta Pelindungan Saksi untuk menggalak dan melindungi pemberi maklumat tampil ke hadapan membuat satu-satu pengaduan.

Resolusi-resolusi lain termasuk:

* Mempergiatkan kempen melalui media cetak dan elektronik dari semasa ke semasa untuk memberi kefahaman kepada orang awam tentang integriti.

* Sistem penyampaian perkhidmatan awam perlulah jelas dan tidak menjadi bahan eksklusif sesebuah agensi atau individu serta ia perlu dikongsi bersama.

* Pemimpin yang dipilih dan bakal menerajui sesebuah agensi kerajaan mestilah dipilih berdasarkan kriteria-kriteria seperti berkarisma, telus, jujur, amanah, berintegriti dan bersikap acuh tak acuh.

* Mewujudkan sebuah unit yang berperanan untuk melihat dan mencari jalan penyelesaian kepada masyarakat yang tidak terlibat dalam proses atau peluang-peluang yang diwujudkan oleh kerajaan. Ini bagi memastikan semua kelompok masyarakat terlibat dalam proses penambahbaikan perkhidmatan awam.

* Pembentukan sikap integriti perlulah bermula daripada akar umbi masyarakat atau bangsa dan bukannya bersifat ad hoc iaitu menanti keadaan untuk bantu merubah.

* Dasar memberi kuasa dalam perkhidmatan awam perlu diteruskan kepada para pegawai bawahan.

* Memastikan wujud budaya `hands on' atau `walk-the-talk' dalam memastikan penyampaian awam berkesan.

* Jabatan atau agensi kerajaan perlu mengubah struktur organisasi dari semasa ke semasa untuk memastikan kesesuaian dengan keadaan semasa.

* Badan kawal selia serta dewan perniagaan perlu menggalakkan lebih banyak syarikat mewujudkan kod etika perniagaan masing-masing dan pada masa sama syarikat-syarikat di negara ini perlu digalakkan untuk mengguna pakai Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia serta Rukun Niaga Malaysia bagi meningkatkan tahap amalan etika perniagaan dan tanggungjawab sosial.

* Menerima pakai Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia serta Rukun Niaga Malaysia serta pensijilan standard perlu dijadikan sebagai salah satu daripada syarat untuk mendapatkan tender atau projek kerajaan. Cara ini boleh dijadikan sebagai insentif untuk syarikat-syarikat meningkatkan tahap amalan etika perniagaan masing-masing.

No comments: