04 September 2007

Guru mahu saman 3 ibu bapa

Berita Harian


NUTP dakwa keluarga murid sebar fitnah salah laku pendidik di sekolah kepada media

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) akan memfailkan saman terhadap tiga ibu bapa yang didakwanya membuat laporan palsu mengenai salah laku guru terhadap murid di sekolah kepada media.

Tindakan drastik itu, yang pertama seumpamanya diambil oleh NUTP, bertujuan memelihara maruah dan imej profesion keguruan di negara ini daripada cuba dicemari perbuatan pihak tidak bertanggungjawab sehingga menimbulkan keresahan masyarakat.

Presiden NUTP, Anuar Ibrahim (gambar), berkata saman yang akan difailkan selewat-lewatnya dua minggu lagi itu, diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja NUTP minggu lalu. Mesyuarat itu mahu langkah segera dibuat terhadap ibu bapa berkenaan, yang disifatkan sebagai memfitnah.

“Kami sudah melantik peguam untuk memfailkan notis saman berkenaan serta meneliti dan mengumpul pelbagai bukti termasuk laporan polis berhubung isu terbabit bagi menyokong kes ini apabila ia dibawa ke mahkamah.

“Selepas berpuas hati dengan persediaan itu, arahan akan dikeluarkan kepada peguam untuk mula membawa kes ini ke mahkamah,” katanya kepada Berita Harian semalam.

Anuar berkata, saman yang akan dikemukakan itu ialah berhubung tiga kes dakwaan salah laku guru oleh ibu bapa murid, yang disifatkan NUTP sebagai palsu dan dilaporkan media sejak beberapa bulan lalu.

Katanya, siasatan dalaman yang dibuat NUTP mengenai ketiga-tiga dakwaan yang dilaporkan di Kedah itu mendapati ia tidak berasas, serta boleh memberi kesan buruk terhadap kewibawaan guru serta profesion terbabit.

Tiga kes itu masing-masing dilaporkan berlaku di Sekolah Menengah (SM) Bakar Arang; Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SRJKT) Tun Sambanthan, Bukit Lembu dan SRJKT Kalaimagal, Matang Gedung, semuanya di Sungai Petani.

Dalam kes di SRKJT Kalaimagal pada Julai lalu, ibu seorang murid Tahun Satu mendakwa anaknya mengadu dirotan gurunya di kaki, perut, tangan dan belakang badan serta dicekik sebagai hukuman kerana tidak membaca dengan kuat.

Pada April lalu, bapa seorang murid Tingkatan 4 di SM Bakar Arang mendakwa anaknya mengalami retak tulang lengan dan lebam di badan kerana dipukul, ditendang serta ditolak ke meja oleh guru.

Anuar berkata, proses memfailkan notis saman di mahkamah terhadap tiga ibu bapa murid yang dikenal pasti NUTP sebagai membuat kenyataan palsu, akan dilakukan secara berperingkat bagi memastikan ia berjalan lancar.

Beliau bagaimanapun menegaskan, tindakan itu bukan bermaksud NUTP ingin memanjangkan kontroversi yang melanda guru sebelum ini, sebaliknya semata-mata bertujuan membela nasib guru, menegakkan kebenaran dan melindungi mereka daripada tuduhan tidak berasas.

“Ada guru yang terpaksa menanggung malu, malah keluarganya pun turut dibabitkan bersama. Perkara begini tidak sepatutnya berlaku hanya kerana tindakan segelintir ibu bapa yang membuat tuduhan palsu melalui media,” katanya.

Anuar berkata, NUTP berharap supaya tindakan tegas berhubung isu itu menjadi isyarat kepada ibu bapa supaya tidak terlalu dipengaruhi emosi dalam menangani setiap masalah berkaitan aduan yang dibuat anak mereka.

“Kena periksa dulu adakah ia betul atau tidak, kalau tidak mereka sendiri yang akan menerima akibatnya,” katanya sambil menjelaskan keputusan itu diambil selepas NUTP tiada menerima sebarang permohonan maaf daripada ibu bapa terbabit.

Beliau berkata, ibu bapa tiga pelajar terbabit juga langsung tidak datang menemui pihak NUTP untuk berbincang atau cuba menyelesaikan perkara itu dengan baik, menyebabkan pihaknya beranggapan mereka bersetuju untuk melawan kes ini di mahkamah.

No comments: