05 September 2007

Syor geran R&D Mardi bertukar kementerian

Berita Harian

JOHOR BAHRU: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mahu peruntukan penyelidikan untuk Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) disalurkan menerusi kementerian itu dan bukan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti).

Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ketika ini, bukan saja peruntukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) Mardi disalurkan melalui Mosti, tetapi sejak Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dilancarkan, institut itu hanya memperoleh RM15 juta walaupun ia memerlukan RM200 juta.

Katanya, Mardi juga terpaksa membida peruntukan daripada Mosti bagi kegiatan penyelidikan.

"Mereka (Mardi) terpaksa bersaing dengan universiti tempatan serta agensi lain bagi mendapat peruntukan daripada kementerian itu (Mosti) sedangkan peranan Mardi penting dalam memastikan kelangsungan teknologi terkini bidang pertanian.

"Justeru, saya akan meminta kerajaan supaya Mardi diberi peruntukan terus melalui kementerian ini bagi menjalankan pelbagai penyelidikan sesuai dengan hasrat menjadikan pertanian enjin ketiga pertumbuhan negara," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama sempena Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Mardi serta Ekspo Sains dan Teknologi Mardi, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Johor (Persada) di sini, semalam.

Muhyiddin berkata, Malaysia perlu menghasilkan teknologi baru pertanian sama ada penghasilan benih atau tanaman selain mencipta jentera baru.

Beliau berkata, dalam RMK-8, 39 teknologi baru atau 7.9 peratus yang dihasilkan Mardi digunakan dalam pasaran komersial dan ia melebihi sasaran ditetapkan, iaitu 5.9 peratus.

"Dalam RMK-9, Mardi mensasarkan 14 peratus teknologi yang dihasil serta dibangunkan digunakan untuk pasaran komersial. Sudah tentu, mereka memerlukan peruntukan besar selain cepat bagi memastikan perkembangan teknologi berkenaan," katanya.

Muhyiddin juga berkata, Mardi perlu membangunkan modal insan supaya semua negara terus mempunyai saintis serta penyelidik tempatan dan sasarannya pada 2010, adalah melebihi 600 orang berbanding kira-kira 500 sekarang.

"Daripada 600 penyelidik serta saintis disasarkan itu, 25 peratus berkelulusan ijazah doktor falsafah (PhD) dan sudah tentu semua ini, memerlukan peruntukan besar," katanya.

No comments: