04 September 2007

Belum tiba masa laksana VSS – Najib

Utusan Online

KUALA LUMPUR 3 Sept. – Kerajaan belum bersedia untuk melaksanakan kaedah lain yang tidak terdapat dalam Akta Pencen 1980 bagi menangani para pekerja bermasalah dalam perkhidmatan awam, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Perdana Menteri berkata, sektor perkhidmatan awam tidak boleh menerima bulat-bulat kaedah yang diamalkan oleh pihak swasta termasuk Skim Pemberhentian Sukarela (VSS) kerana ia dilihat tidak sesuai.

‘‘Tidak seperti yang diamalkan dalam sektor swasta, perkhidmatan awam ada kaedahnya sendiri.

‘‘Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sedang kaji kaedah yang sesuai... biarlah ia diperhalusi sebelum ketetapan dibuat,’’ katanya selepas merasmikan Persidangan Perkhidmatan Awam Ke-12 di sini hari ini.

Najib mengulas kenyataan Ketua Pengarah JPA, Tan Sri Ismail Adam semalam bahawa jabatannya tidak berhasrat memperkenalkan mekanisme baru setelah cadangan untuk melaksanakan VSS ditolak.

Terdahulu dalam ucapannya, Najib berkata, fleksibeliti seharusnya menjadi panduan utama dalam mengurus tenaga kerja perkhidmatan awam termasuk pengambilan kakitangan baru, kenaikan pangkat dan pertukaran lokasi kerja.

Katanya, syarat-syarat pengambilan kakitangan awam yang lebih fleksibel mampu menarik minat ramai pekerja yang cemerlang untuk menyertai sektor kerajaan.

‘‘Fleksibeliti juga diperlukan dalam memindah atau menukar kakitangan awam ke sektor swasta supaya lebih banyak kemahiran serta pengalaman dapat diperoleh tanpa menjejaskan kerjaya mereka,’’ katanya.

No comments: