04 September 2007

Kecekapan asas naik pangkat

Berita Harian


Kakitangan awam wajar diberi imbuhan, pupuk pembelajaran berterusan: Najib


KUALA LUMPUR: Kriteria kenaikan pangkat sektor awam harus berasaskan kecekapan, prestasi, potensi perkembangan, sifat bertanggungjawab dan kesungguhan kakitangan tanpa hanya mengutamakan tempoh perkhidmatan seseorang, kata Datuk Seri Najib Razak.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kakitangan awam juga seharusnya diberi imbuhan atau balasan mengikut sumbangan kepada kerajaan, selain memupuk pembelajaran berterusan, latihan dan kemahiran baru bagi memastikan mereka kekal berkhidmat dalam sektor terbabit.

“Cabaran alaf baru menuntut sektor awam bersifat lebih anjal bagi memastikan pengagihan tenaga kerja, pemilihan kakitangan dan proses kenaikan pangkat dapat menarik minat calon berkemahiran atau berkepakaran terbaik dalam pasaran kerja.

“Kakitangan awam perlu berupaya meramalkan keperluan masa depan orang ramai dan kerajaan serta bertindak proaktif merangka strategi dan membuat penyesuaian terhadap sistem penyampaian sedia ada selaras perkembangan semasa yang mengutamakan teknologi komunikasi maklumat (ICT).

“Agensi kerajaan tidak boleh lagi terikat dengan kerenah birokrasi, sebaliknya mereka harus berubah dengan melakukan penstrukturan semula berdasarkan keperluan orang ramai,” katanya dalam ucap tama pada Persidangan Perkhidmatan Awam Ke-12 di sini, semalam.

Seminar dua hari bertema ‘Meningkatkan Persaingan Negara Melalui Keberkesanan Pelaksanaan’ yang dianjurkan bersama Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) dan PPTD itu, dihadiri kira-kira 600 peserta, termasuk dari Australia, Brunei, Filipina, Singapura dan Tanzania.

Najib berkata, daya saing kini menjadi tumpuan kerajaan serta sektor perniagaan di setiap negara dan kesungguhan kerajaan membantu sektor swasta dalam aspek itu menjadi asas menentukan kejayaan pada peringkat global.

Dari segi keupayaan menarik pelaburan asing terus (FDI), Malaysia berada di tangga ke-19 sebagai negara perdagangan serta pengeksport dan pada kedudukan ke-23 selaku pengimport.

Laporan tahunan Institut Pembangunan Pengurusan Antarabangsa mengenai daya saing peringkat antarabangsa berdasarkan prestasi ekonomi, kecekapan kerajaan dan sektor perniagaan serta infrastruktur, pula meletakkan Malaysia di tangga ke-23 tahun ini berbanding tempat ke-28 pada 2005.

Najib berkata, sebagai negara perdagangan, Malaysia bernasib baik kerana menikmati kestabilan politik, dasar ekonomi mikro dan makro yang kukuh serta kemantapan asas perundangan, tetapi masih memerlukan sektor awam yang cekap bagi memberi kelebihan peringkat global.

“Kerenah birokrasi yang ketinggalan zaman tidak boleh lagi diguna pakai dalam perkembangan ICT sekarang. Orang ramai kini mahu urusan dengan agensi kerajaan dipermudahkan. Rakyat mahukan perkhidmatan menerusi internet yang tidak memerlukan mereka beratur di pejabat kerajaan.

“Semua ini memerlukan perubahan budaya dan etika kerja. Kakitangan awam harus mengubah pendekatan dan kaedah melaksanakan tugas bagi menepati cita rasa pelanggan masa kini,” katanya.

Sementara itu, pada pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM), Najib berkata, kerajaan komited memastikan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencapai angka enam peratus tahun ini dan bukan sekadar sasaran atas kertas semata-mata.

“Jentera kerajaan perlu digerak dan digembleng bagi memastikan sasaran pertumbuhan KDNK tahun ini tercapai.

“Kita mesti menggembleng dan menggerakkan jentera supaya sasaran dapat dipenuhi dan tidak ada sebab mengapa ia tidak boleh dicapai,” katanya.

No comments: