IPTA mesti pilih naib canselor berwawasan
Berita Harian
NAIB Canselor adalah jawatan tertinggi dan cukup penting bagi sesebuah universiti kerana beliau yang menentu hala tuju mencapai kecemerlangan, terutama dari segi akademik dan mutu graduannya. Berdasarkan peraturan dan amalan sekarang, menteri mempunyai kuasa mutlak melantik mana-mana tokoh akademik yang dirasakan layak menduduki kerusi naib canselor dan rektor universiti di negara ini. Walaupun bakal naib canselor lazimnya dicalonkan oleh Lembaga Pengarah Universiti (LPU), kata pemutus adalah di tangan menteri kerana beliau mempunyai kuasa mutlak menerima atau menolak nama yang dicalonkan LPU. Pelantikan naib canselor, yang dianggap sebagai CEO kepada institusi pengajian tinggi awam (IPTA), sering dipertikai dan didakwa sebagai tidak telus. Ada sesetengah pihak mengaitkan pelantikan naib canselor di beberapa IPTA dipengaruhi kuasa politik pihak tertentu, walaupun pada hakikatnya mereka adalah kalangan tokoh akademik berkelayakan yang tidak harus dipertikaikan, sama ada dari segi akademik, pengalaman, pengaruh, komitmen dan kemampuan mentadbir. Pernah berlaku seorang naib canselor yang dihormati terpaksa dibersarakan kerana menteri tidak sukakannya.
Oleh itu, kita amat mengalu-alukan langkah Kementerian Pengajian Tinggi memberi kebebasan kepada setiap IPTA untuk memilih sendiri naib canselor. Kebebasan itu antara usaha terbaru kementerian yang kini diterajui Datuk Mustapa Mohamed, untuk meningkatkan mutu serta memperkasa pendidikan tinggi negara. Langkah itu juga dianggap permulaan kepada proses pemberian semula autonomi seperti terkandung dalam Pelan Strategik dan Pelan Tindakan Pengajian Tinggi Negara 2007-2010 yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Rabu lalu.
Oleh itu, kita amat mengalu-alukan langkah Kementerian Pengajian Tinggi memberi kebebasan kepada setiap IPTA untuk memilih sendiri naib canselor. Kebebasan itu antara usaha terbaru kementerian yang kini diterajui Datuk Mustapa Mohamed, untuk meningkatkan mutu serta memperkasa pendidikan tinggi negara. Langkah itu juga dianggap permulaan kepada proses pemberian semula autonomi seperti terkandung dalam Pelan Strategik dan Pelan Tindakan Pengajian Tinggi Negara 2007-2010 yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Rabu lalu.
Kita percaya langkah memberikan kebebasan kepada IPTA melantik sendiri calon naib canselor dapat menghakis tanggapan negatif bahawa politiking di menara gading tempatan kini hampir menyamai apa yang berlaku dalam parti politik. Dengan memberi kepercayaan kepada IPTA membuat pilihan sendiri bagi menghadapi cabaran kepemimpinan universiti dalam menentukan hala tuju dan wawasan masing-masing, kita berharap tokoh yang benar-benar layak dilantik. Untuk menyelaraskan dasar berkenaan, satu panel pemilih harus dilantik bagi memilih dan mencadangkan calon bagi jawatan berkenaan apabila penggal perkhidmatan seseorang naib canselor hampir tamat. Sistem pemilihan itu hendaklah diamalkan secara berperingkat ke arah pemilihan secara terbuka. Selain calon itu berkelayakan dari segi akademik, tidak kira dalam apa juga bidang, sama ada daripada kalangan orang dalam atau pun luar universiti, beliau juga perlu memiliki daya kepemimpinan yang tinggi, serta mampu membawa IPTA ke tahap paling cemerlang, lebih dinamik, kompetitif dan mampu bersaing dalam dunia semakin mencabar. Naib canselor juga hendaklah berkemampuan menarik dan mengekalkan ahli akademik yang berupaya menyumbang secara signifikan kepada kemajuan penyelidikan, seterusnya melahirkan graduan yang memenuhi kehendak pasaran serta mengaplikasikan ilmu dalam konteks masyarakat semasa. Beliau harus mempunyai wawasan, objektif serta strategi untuk mencapai wawasan yang digariskan. Kepentingan peribadi, fahaman politik haruslah diketepikan dan adalah penting seseorang naib canselor itu mendapat sokongan padu daripada semua kakitangan bawahan. Bersikap adil kepada semua kakitangan, memilih hanya mereka yang benar-benar layak memegang sesuatu jawatan serta bersedia memikul peranan lebih besar perlu sentiasa menjadi pegangan naib canselor, demi memastikan IPTA terus cemerlang.
No comments:
Post a Comment