UTeM ingin muncul IPT berorientasi ‘kilang mengajar’
Berita Harian
MELAKA: Universiti Teknologi Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) ingin muncul sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) berorientasikan 'kilang mengajar’ yang terunggul di negara ini sebagai memberi pendedahan dan latihan kepada pelajarnya, sekali gus menjadikan mereka pilihan industri pada masa akan datang.
Naib Canselor UTeM, Datuk Prof Ismail Hassan, berkata menjadi hasrat universiti itu mahukan setiap lulusan UTeM layak memenuhi pasaran pekerjaan ketika ini dan pada masa akan datang, berdasarkan pendidikan serta latihan yang berkesan diterima mereka.
Naib Canselor UTeM, Datuk Prof Ismail Hassan, berkata menjadi hasrat universiti itu mahukan setiap lulusan UTeM layak memenuhi pasaran pekerjaan ketika ini dan pada masa akan datang, berdasarkan pendidikan serta latihan yang berkesan diterima mereka.
"Bagi merealisasikan hasrat berkenaan, UTeM sedang menggerakkan pembinaan kompleks pembuatan dan latihan di dalam kampus induknya di Durian Tunggal, apabila siap kelak pelajar akan dihantar menjalani latihan di situ bagi merasai suasana kilang yang sebenar.
"Kompleks itu dijangka siap pada pertengahan tahun depan dan ketika ini pelajar UTeM menjalani latihan di kampus industri di Ayer Keroh kerana ada kelengkapan bagi melaksanakan aktiviti pembuatan komponen serta produk berkaitan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Konvokesyen UTeM kali Ke-3 yang disempurnakan Tuan Yang Terutama Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob di Seri Negeri di sini, semalam.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran dan Pengajian Tinggi Negeri, Datuk Yaakob Md Amin yang mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Pengerusi Lembaga Pengarah UTeM, Tan Sri Dr Mohd Salleh Sulong.
Ismail berkata, bagi memantapkan kepakaran dan kemahiran pelajar, UTeM sudah menjalinkan hubungan dengan 12 rakan industri termasuk masing-masing satu syarikat di Jepun dan Jerman, manakala tiga lagi memorandum persefahaman bakal ditanda tangani sempena pameran penyelidikan IPTA pada 10 Ogos ini.
Sementara itu, pada majlis berkenaan seramai 1,347 graduan UTeM menerima ijazah, ijazah sarjana muda dan diploma daripada Mohd Khalil.
Anak pesara tentera, Norhazlina Bahari, 23, dari Kampung Air Limau, Masjid Tanah dan Elizabeth Lee Cheah Hui, 22, diumumkan sebagai penerima Anugerah Pelajaran Diraja, manakala, Mohd Faizal Basaruddin dan Lim Boo Eik sebagai penerima Hadiah Canselor UTeM.
Norhazlina yang juga penuntut Kejuruteraan Elektrik berkata, kejayaannya didorong dua saudara lelakinya yang sebelum ini berjaya di dalam bidang yang sama dan beranggapan ciri kewanitaan yang terdapat pada dirinya bukanlah penghalang untuk meraih kejayaan.
Bagi Elizabeth, pada awalnya beliau bercita-cita untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Sains Kesihatan, pada masa yang sama berminat dalam bidang komputer.
"Ketika menghantar permohonan, pilihan utama adalah di bidang Sains Kesihatan dan kedua, Sains Komputer, bagaimanapun sebaik saja diterima UTeM saya tidak berlengah untuk menjadi pelajar di sini," katanya.
No comments:
Post a Comment