06 August 2007

Sektor awam berkesan tak perlu VSS

Berita Harian


SEJAK memegang jawatan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan, memperkenalkan beberapa idea radikal dan inovatif untuk meningkatkan kecemerlangan perkhidmatan awam. Terbaru, Skim Pemisahan Sukarela (VSS) bagi ‘melepaskan’ kakitangan awam bermasalah dan tidak berdisiplin.

Cadangan beliau menarik perhatian banyak pihak termasuk Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri supaya satu kajian terperinci dilakukan sebelum ia dikemukakan kepada kerajaan untuk pertimbangan dan kelulusan.

Model atau kaedah VSS yang digunakan sektor swasta tidak semua boleh diaplikasikan kepada sektor awam dan mendatangkan hasil yang sama, lebih-lebih lagi mengenai VSS. Tujuan sektor swasta memperkenalkan VSS adalah untuk mengecilkan organisasi, mengurangkan kos, meningkatkan kecekapan dan produktiviti.

Dalam pelaksanaan VSS oleh swasta, pekerja pada semua peringkat tanpa mengira cemerlang atau tidak akan ditawarkan VSS. Sebaliknya VSS yang dicadangkan KSN lebih tertumpu kepada ‘pekerja bermasalah’ dengan mengadakan ‘exit policy’ yang mudah untuk mereka berhenti.

Adakah ini bermakna mereka akan menerima pencen dan imbuhan RM50,000 hingga RM300,000 seperti diamalkan dalam sektor swasta? Jika kaedah ini digunakan sudah pasti pegawai cemerlang yang sudah sampai umur persaraan pencen penuh akan memohon VSS.

Jika tidak diluluskan mereka secara tiba-tiba menjadi ‘pekerja bermasalah’. Apakah jaminan KSN dengan pelaksanaan VSS, sistem penyampaian perkhidmatan awam di pusat dan negeri akan bertambah cemerlang?

Sebenarnya perkhidmatan awam boleh bertindak ke atas ‘pegawai bermasalah’ tanpa VSS kerana Perintah Am Bab D dan Pindaannya amat menyeluruh menggariskan tindakan tatatertib yang boleh diambil.

Masalah dalam perkhidmatan awam hari ini sebenarnya ialah kelemahan penyeliaan berkesan dan bertindak di mana yang perlu. Buat masa ini hanya Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengamalkan secara konsisten pembuangan anggota bermasalah.

Begitu juga Jabatan Kastam mengamalkan pembuangan pekerja, tetapi bagaimana dengan jabatan lain? Ini yang sepatutnya difikirkan KSN kerana kebanyakan ketua jabatan lebih suka mengambil jalan mudah iaitu tutup sebelah mata kerana prosedur membuang kerja terlalu leceh dan tidak membawa sebarang erti kepada jabatannya.

Lagipun bos takut kena ‘busung’ atau menjejaskan nama baiknya bila anak buah yang dibuang kerja mendapatkan khidmat bomoh! Saya puji pandangan radikal dan inovatif KSN dan berharap beliau tidak menganggap cadangannya itu sebagai satu arahan di mana Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) terpaksa menerimanya.

Kita tidak mahu lihat sesuatu idea dilaksanakan secara terburu-buru kerana bila sudah dilaksanakan dan merugikan kerajaan idea itu dengan selamba ditarik balik.

Jika VSS itu disebabkan terlalu banyak kakitangan kerajaan atau terlebih kakitangan dalam sesuatu jabatan, cara terbaik ialah pengambilan pekerja baru dikurangkan.

HASSAN TALIB,
Gombak, Selangor.

No comments: