07 August 2007

JPA putuskan disiplin Pengarah JPJ Kedah

Utusan Online

KUALA LUMPUR 6 Ogos – Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan menentukan tindakan disiplin termasuk buang kerja terhadap Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah yang ditahan atas dakwaan cuba merasuah penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) kelmarin.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Ahmad Mustapha Abdul Rashid berkata, pihaknya tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan memandangkan lelaki yang ditahan tersebut seorang pegawai berpangkat tinggi.

‘‘Kita serah perkara ini kepada JPA kerana jabatan itu mempunyai kuasa untuk bertindak demikian termasuk membuang kerja, bukan JPJ,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam kejadian kelmarin, pengarah berkenaan dan pasangannya ditahan ketika cuba memberi rasuah kepada penguat kuasa Jawi dalam serbuan di salah sebuah hotel terkemuka di ibu negara.

Pengarah berusia 40-an itu dan pasangannya yang merupakan seorang penolong ketua setiausaha di sebuah kementerian, ditahan pada pukul 2.30 pagi ketika sedang berdua-duaan di salah sebuah bilik hotel berkenaan.

Penahanan itu dibuat oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) sebaik sahaja pengarah berkenaan cuba merasuah pegawai Jawi agar tidak melaporkan kesalahannya berkhalwat.

Pengarah JPJ Kedah itu dibebaskan oleh BPR dengan ikat jamin RM7,000.

Ahmad menambah, tempat Pengarah JPJ yang ditahan itu akan diambil alih buat sementara waktu oleh seorang Timbalan Pengarah Penguat Kuasa JPJ, Jaafar Mohamed bermula 13 Ogos ini.

No comments: