09 August 2007

Umur persaraan diumum bila-bila masa

Berita Harian

KUALA LUMPUR: Kerajaan dijangka membuat pengumuman, sama ada akan melanjutkan umur persaraan melebihi 56 tahun pada bila-bila masa.

Ketua Unit Komunikasi Korporat Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Hasniah Rashid, berkata JPA sudah menyerahkan hasil kajian mengenai cadangan itu kepada kerajaan.

“Terpulang kepada kerajaan membuat keputusan dan mengumumkan perkara itu,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

JPA membuat kajian itu, termasuk melihat amalan peringkat antarabangsa berikutan cadangan Cuepacs supaya usia pesara dilanjutkan melebihi 56 tahun, berbanding sekarang.

Umur persaraan wajib mengikut undang-undang pencen bagi pegawai perkhidmatan awam, pekerja pihak berkuasa berkanun atau tempatan ialah 55 tahun, tetapi dilanjutkan kepada 56 tahun pada Mei 2001.

Difahamkan, kajian itu turut mengambil kira jangka hayat sekarang dan implikasi kewangan pada negara.

Ia dibuat bagi mengekalkan kepakaran anggota terlatih dan pengalaman sedia ada dalam sektor awam, bertujuan memastikan pulangan maksimum daripada perbelanjaan besar yang dibiayai bagi melatih tenaga kerja berkualiti.

Bagaimanapun, lanjutan umur persaraan wajib memerlukan pindaan kepada Akta Pencen 1980 (bagi anggota perkhidmatan awam) dan Akta Pencen Pihak-pihak Berkuasa Berkanun Dan Tempatan 1980 (bagi pekerja badan berkanun dan kuasa tempatan).

No comments: