07 August 2007

Dasar angkasa akhir tahun ini

Berita Harian


Garis panduan dirangka tentukan hala tuju, perancangan negara secara holistik

PUTRAJAYA: Dasar Angkasa Negara dijangka diperkenalkan akhir tahun ini bagi menggariskan hala tuju dan perancangan Malaysia dalam bidang aeroangkasa melalui pendekatan lebih holistik.

Ketua Pengarah Agensi Angkasa Negara (Angkasa), Datuk Dr Mazlan Othman, berkata proses mengenalpasti inti pati, visi dan matlamat dasar itu sedang dilakukan dan akan melalui pelbagai peringkat kelulusan.

Katanya, kumpulan kerja menggubal dasar sedang mengenal pasti pelbagai elemen dalam dasar yang lain untuk diselaraskan dengan dasar baru itu, termasuk aspek pertahanan.

“Kita mahu tahu di mana tahap kita sekarang sama ada dari aspek industri dan dasar lain seperti pendidikan dan penyelidikan. Kita mestilah fokus kepada arah yang hendak dituju.

“Selepas itu, baru kita boleh membuat keputusan mengenai hala tuju industri angkasa lepas dan ia memerlukan perdebatan, perbincangan dan percambahan fikiran kerana sumber tenaga dan kewangan kita terhad,” katanya selepas membentangkan kertas kerja mengenai dasar sains angkasa negara.

Dr Mazlan berkata, amat penting dasar angkasa negara diselaraskan dengan dasar lain kerana bidang pertahanan umpamanya membabitkan soal kerahsiaan yang menuntut negara membangunkan teknologi dan kefahaman sendiri.

Beliau berkata, Dasar Angkasa Negara juga perlu bersifat fleksibel dengan mengambil kira keperluan bidang lain seperti pertanian dan alam sekitar serta kesediaan kerajaan berbelanja sehingga berbilion ringgit untuk melancarkan roket sendiri.

"Semua elemen perbezaan perlu digabungkan bagi memastikan dasar itu diterima pada peringkat antarabangsa, tidak ketinggalan zaman, boleh dicapai dan mempunyai penanda aras," katanya.

Ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Dasar Kerajaan Dalam Sains Angkasa dan Pembinaan Keupayaan, Dr Mazlan berkata kerajaan bercadang melancarkan satelit komunikasi dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10).

Beliau juga menasihatkan saintis tempatan terus melakukan penyelidikan sains angkasa walaupun negara mungkin tidak lagi menghantar angkasawan selepas misi sulung Oktober ini.

"Kita masih boleh melakukan banyak penyelidikan mikro graviti dan kajian boleh dihantar ke angkasa lepas melalui bantuan pelbagai agensi angkasa lepas di Amerika Syarikat, Russia, China, Jepun dan India.

"Ini termasuk misi ke bulan kerana Malaysia sudah membentuk rangkaian kerjasama dan mendapat kepercayaan oleh semua pemain dalam bidang aeroangkasa," katanya.

No comments: