Puasa: Ulama tolak wanita kerja setengah hari
Utusan Online
KUALA LUMPUR 4 Ogos – Golongan ulama menolak saranan Kongres Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) supaya kerajaan memendekkan waktu bekerja kakitangan wanita kepada setengah hari sepanjang bulan Ramadan.
Rata-rata mereka berpendapat cadangan itu menyusahkan dari segi membantutkan urusan kerja malah ada yang melihatnya sebagai helah untuk mengeksploitasi bulan yang mulia itu dengan ‘curi tulang’.
Alasan CUEPACS bahawa cadangan itu memberi peluang kepada kakitangan wanita terutama yang tinggal di Lembah Klang pulang ke rumah lebih awal untuk menguruskan rumah tangga termasuk juadah berbuka puasa, juga bagi mereka, tidak boleh dipakai langsung.
Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainal Abidin berkata, cadangan itu amat tidak praktikal dan berharap kerajaan mengambil pandangan pelbagai pihak sebelum mempertimbangkannya.
‘‘Tiada ajaran yang menyatakan perlu menangguhkan kerja hanya untuk berbuka puasa sebaliknya terdapat penekanan kepada pentingnya mengutamakan amal ibadat,’’ katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Tambahnya, lebih elok jika diberi saranan untuk membaca kitab suci al-Quran sekali gus dapat menambah pahala dan terus bekerja untuk meningkatkan produktiviti.
Semalam, Presiden CUEPACS, Omar Osman menyarankan supaya kerajaan memendekkan waktu bekerja kakitangan wanita kepada setengah hari sepanjang Ramadan yang dijadualkan bermula 14 September ini.
Alasannya, keadaan lalu lintas yang sesak ketika bulan puasa mendedahkan mereka dengan risiko kemalangan selain bebanan tanggungjawab mengurus anak serta persiapan menyediakan juadah berbuka.
Sementara itu, Timbalan Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Osman berkata, agama tidak pernah membezakan cara bekerja sepanjang Ramadan dan bulan-bulan lain.
‘‘Tiada dalil di dalam Islam yang menyatakan perlu memendekkan masa bekerja semasa bulan puasa semata-mata untuk menyiapkan juadah berbuka.
‘‘Cuma ada hadis yang membolehkan seseorang itu meringankan sedikit beban tugas tetapi tidaklah sehingga menyukarkan pihak lain,’’ jelasnya.
Beliau berkata, pendekatan seharusnya dibuat dengan memendekkan sedikit masa bekerja untuk golongan wanita.
‘‘Kalau kelepasan selama satu atau dua jam itu bolehlah tetapi tidaklah sampai setengah hari.
‘‘Tetapi waktu mereka ini perlu diganti dengan masuk kerja lebih awal,’’ katanya.
Pendakwah bebas Mohd. Daud Che Ngah pula menyamakan cadangan itu dengan cubaan ‘melarikan’ golongan wanita dari ‘medan perang’.
‘‘Mengapa hendak diberi kelonggaran pulang awal kepada mereka dengan alasan menyiapkan juadah berbuka puasa dan meninggalkan golongan lelaki bekerja keras di pejabat,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment