08 August 2007

Perkhidmatan awam kelam-kabut jika VSS dilaksana

Utusan Online

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD

KUALA LUMPUR 7 Ogos – Rancangan kerajaan mewujudkan Skim Pemberhentian Sukarela (VSS) bagi melepaskan pekerja bermasalah akan menyebabkan sistem sektor perkhidmatan awam di negara ini menjadi lebih ‘kelam-kabut’.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Omar Osman berkata, ini kerana VSS yang cuba diperkenalkan oleh kerajaan itu amat berbeza dengan sistem VSS swasta.

Katanya, dalam sektor swasta, VSS ditawarkan kepada semua pekerja dengan memberi penekanan terhadap unsur sukarela dan bukannya sebagai satu kaedah membuang pekerja bermasalah.

Beliau berkata, apa yang sebenarnya cuba dilakukan oleh kerajaan itu hanya akan membuatkan lebih banyak berlaku kezaliman, penganiayaan, ketidakadilan dan ketidaksamaan.

“Bagi CUEPACS, VSS ini perlu ditawarkan kepada semua kakitangan yang mahu berhenti secara sukarela. Mungkin ada antara mereka yang tidak mahu lagi berkhidmat sebagai kakitangan awam kerana berminat dalam bidang keusahawanan.

“Golongan ini boleh ditawar menamatkan perkhidmatan melalui kaedah VSS. Konsep asal VSS yang menjadi amalan dalam sektor swasta langsung tidak boleh diubah.”

“Sebarang perubahan boleh mengakibatkan kacau-bilau,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Sebelum ini Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan menyarankan supaya Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) mewujudkan VSS bagi melepaskan pekerja bermasalah daripada terus berkhidmat dalam perkhidmatan kerajaan.

Mohd. Sidek berkata, langkah itu bukan perkara baru di negara ini kerana VSS telah lama diamalkan oleh sektor swasta.

Bagaimanapun CUEPACS dalam reaksi terhadap kenyataan itu membantah cadangan tersebut dan ia tidak seharusnya dilakukan oleh pihak SPA.

Mengulas lanjut Omar berkata, pelbagai persoalan dan kekeliruan ekoran timbulnya rancangan tersebut terutama dalam konteks perlaksanaannya.

“CUEPACS tidak pasti bagaimana rancangan ini akan dilaksanakan kerana amalannya adalah amat bertentangan dengan amalan pihak swasta,” katanya.

No comments: