07 August 2007

RM20.5 juta bayar elaun Rela

Utusan Online

Oleh WAN RAMLI WAN MUHAMAD

KUALA TERENGGANU 6 Ogos – Lebih 100,000 anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) bakal mendapat durian runtuh apabila kerajaan meluluskan peruntukan RM20.5 juta bagi pembayaran elaun khas terhadap penglibatan mereka dalam operasi membanteras jenayah dan pendatang asing tanpa izin (PATI) tahun ini.

Setiausaha Parlimen Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Abdul Rahman Ibrahim berkata, di bawah peruntukan itu setiap anggota biasa yang terbabit dalam operasi berkenaan akan dibayar mengikut kadar yang ditetapkan sebelum ini iaitu RM4 sejam dengan maksimum pembayaran lapan jam sehari.

Menurutnya, pegawai atau ketua platun bagi mukim-mukim pula, mereka akan dibayar elaun sebanyak RM5.80 sen sejam dengan maksimum pembayaran lapan jam sehari.

“Dengan pembayaran elaun ini diharap setiap anggota Rela akan lebih aktif membantu kerajaan membanteras PATI dan jenayah di kawasan masing-masing,” katanya selepas menghadiri perjumpaan dengan anggota Rela Terengganu di Kompleks Seri Iman di sini, hari ini.

Terdahulu dalam ucapannya, Abdul Rahman berkata, Rela juga bercadang mewujudkan 3,000 jawatan baru termasuk pegawai perisik dan pengarah latihan di pelbagai peringkat ke arah memastikan organisasi itu lebih mantap bagi menghadapi cabaran akan datang.

Jelasnya, langkah itu jika menjadi kenyataan akan melibatkan penambahan peruntukan sebanyak RM80 juta untuk membayar gaji kakitangan dan pegawai terbabit.

Dalam pada itu beliau memberitahu, Rela juga akan mempunyai ibu pejabat sendiri di Putrajaya tidak lama lagi apabila kerajaan meluluskan peruntukan RM40 juta untuk membina bangunan tersebut.

Selain itu jelasnya, Rela juga merancang untuk menambah pusat latihan di seluruh negara berbanding empat buah yang ada sekarang iaitu termasuk sebuah yang baru siap di Sabah.

No comments: