11 August 2007

Perspektif: Kategori kerja awam kena relevan

Berita Harian


Hubungan erat sektor kerajaan, masyarakat sivil bantu kecemerlangan prestasi

PADA 2 Ogos lalu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan menyuarakan perkara yang amat penting iaitu kemungkinan kerajaan meniru sektor swasta dengan memperkenalkan Skim Pemisahan Sukarela (VSS) bagi ‘melepaskan’ kakitangan awam yang tidak menunjukkan prestasi sepatutnya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalannya, Datuk Seri Najib Razak memberikan reaksi positif terhadap saranan itu.

Selama ini, kakitangan awam yang melakukan kesalahan kelakuan dan tatatertib memang boleh diberhentikan, tetapi mereka yang tidak menunjukkan prestasi cemerlang, masih kekal dalam perkhidmatan.

Mohd Sidek juga menyarankan agar sektor awam belajar daripada sektor swasta berhubung pengambilan pelajar cemerlang untuk berkhidmat dalam organisasi masing-masing. Tidak ramai pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) yang baru mempunyai ijazah kelas pertama atau graduan universiti terkemuka.

Pandangan beliau amat penting dan perlu sokongan sepenuhnya. Tidak ada maknanya merancang modal insan kelas pertama kalau masih terpaksa menyimpan mereka yang tidak menunjukkan prestasi sepatutnya yang boleh melambat atau membantutkan kerja.

Pada masa sama, Unit Perancang Ekonomi (EPU) sedang menjalankan kajian mengenai keperluan guna tenaga negara, iaitu kategori dan jumlah pekerjaan yang diperlukan sehingga 2020 serta kemahiran yang berkaitan. Ini mengambil kira perubahan struktural yang berlaku dalam ekonomi, terutama dengan kemunculan golongan baru, iaitu k-pekerja (pekerja berasaskan ilmu).

Dari 2002 hingga 2006, kira-kira 10,500 pegawai kerajaan dikenakan tindakan tatatertib. Kumpulan yang paling ramai, iaitu 92 peratus, ialah pegawai sokongan.

Persoalannya, apakah tidak mungkin yang kumpulan ini menimbulkan banyak masalah kerana pada hakikatnya pekerjaan yang mereka lakukan itu sebenarnya tidak relevan lagi sehingga menyebabkan mereka jadi begitu bermasalah?

Tetapi, persoalan yang lebih penting ialah, adakah sektor awam perlu mengekalkan kategori pekerjaan yang ada kini kerana k-ekonomi hari ini memerlukan kategori pekerjaan yang baru, bukan saja bagi sektor awam, malah sektor lain.

Kategori mengikut kumpulan pekerjaan utama kita hari ini, iaitu pegawai kanan dan pengurus, profesional, juruteknik dan profesional bersekutu, pekerja perkeranian, perkhidmatan, kedai, jurujual, pertanian, perikanan dan pertukangan, operator loji, mesin dan pemasangan dan pekerjaan asas, mungkin tidak sesuai lagi.

Kita memerlukan kategori pekerjaan baru. Dalam konteks ini, tidak salah jika kita melihat cadangan bekas Setiausaha Buruh Pentadbiran Clinton, Robert B Reich (1992) dalam bukunya The Works of Nations, yang membariskan tiga jenis kategori pekerjaan baru sesuai dengan dunia hari ini, iaitu perkhidmatan simbolik-analitik, perkhidmatan personal (in-person) dan perkhidmatan produksi rutin.

Perkhidmatan simbolik-analitik merujuk memahami masalah, mencari penyelesaian dan merancang pelaksanaan. Ia dapat dikategorikan sebagai k-pekerja dan adalah yang paling mahal gajinya.

Contohnya penyelidik, saintis, jurutera, pegawai perhubungan awam, pegawai bank, peguam, pemaju hartanah, akauntan, konsultan, perancang strategik, pencari pekerja (headhunter), penganalisis sistem, pegawai pengiklanan dan pemasaran, pengarah seni, arkitek, sinematografer, editor filem, pereka cipta produksi, penerbit buku, penulis, editor, wartawan, ahli muzik, penerbit tv dan filem serta profesor dan pensyarah.

Perkhidmatan personal pula memerlukan penampilan diri yang menyenangkan. Ia kategori sedang bercambah pesat. Contohnya ialah jurujual, pekerja restoran dan hotel, atendan hospital, jururawat, pekerja taman asuhan kanak-kanak, pemandu teksi, setiausaha, pramugari dan pramugara, mekanik, tukang bersih dan pengawal keselamatan.

Perkhidmatan produksi rutin mengikut prosedur tetap dan kod peraturan. Ia kategori semakin mengecil. Contohnya foreman, kerani dan ketua seksyen dalam barisan produksi kilang.

Pokoknya, sektor awam perlu mengambil dan melaksanakan amalan terbaik daripada mana-mana sumber. Di samping sektor swasta, sektor awam juga wajar belajar daripada sesetengah organisasi masyarakat sivil (CSO).

Tetapi, ini akan hanya dapat dilakukan jika hubungan antara sektor awam dengan sektor masyarakat sivil diperbaiki terlebih dulu.

Berbanding hubungan antara sektor awam dengan sektor swasta yang akrab, hubungan antara sektor awam dengan sektor masyarakat sivil tidak begitu.

Dalam keadaan tertentu, hubungan sektor awam dan masyarakat sivil dimendungi sikap sektor awam yang daripada atas ke bawah. Dalam konteks rakan pembangunan, ada tanda tanya, iaitu siapa sebenarnya inginkan konsep rakan pembangunan yang tulen? Yang kelihatan lebih ingin menjadi rakan ialah sektor masyarakat sivil, manakala sektor awam lebih ingin menjadi tuan.

Ada sesetengah bidang sektor awam dan masyarakat sivil bekerjasama. Contohnya, pembangunan belia, kepenggunaan dan alam sekitar.

Masalahnya ialah apabila berlaku pertembungan idea, mentang-mentanglah sektor awam memiliki kuasa eksekutif, idea daripada masyarakat sivil yang lebih baik daripada idea sektor awam sering dipinggirkan.

Perlu diinsafi bahawa selalu kelihatan unsur takut yang selanjutnya terjelma dalam bentuk terlalu menjaga sempadan atau wilayah kuasa atau mempertahankan (defensive), malah penafian (denial) oleh sektor awam.

Unsur takut ini muncul mungkin akibat kekurangan ilmu dalam hal dan isu yang kompleks di mana pemimpin dan aktivis masyarakat sivil biasanya lebih berilmu daripada sesetengah pegawai dan kakitangan awam yang tidak mengkhusus dalam sesuatu bidang akibat berpindah-pindah antara organisasi.

Keengganan atau kelemahan sektor awam memenuhi secara tulen konsep rakan pembangunan menyebabkan sesetengah anggota masyarakat sivil berasa shut out atau shut up, tersisih atau kecewa dan terpinggir hingga perkhidmatan yang diberikan kurang memuaskan. Manifestasi terakhirnya mungkin menjelma dalam bentuk penentangan dan pembangkangan atau anti-establishment.

Sesetengah bidang pembangunan negara lebih awal dipelopori sektor masyarakat sivil sebelum sektor awam menubuhkan organisasi berkaitan. Dalam sejarah, gerakan masyarakat sivil memberikan pelbagai sumbangan, sama ada dari segi kegiatan, bakti ataupun advokasi. Sektor awam boleh belajar daripada kekuatan mereka.

Antaranya ialah idealisme, aktivisme dan intelektualisme di kalangan kepemimpinan dan anggota; budaya merit, demokrasi dan keterbukaan; hubungan dan citra antarabangsa; pembangunan manusia berdaya sumber (bukannya sumber manusia); pemasaran sosial; doing more with less; pengurusan sukarela dan pendekatan turun padang.

Semua pihak mesti berjiwa besar, berlapang dada, bersedia dan berani menggunakan keazaman politik untuk meningkatkan prestasi sektor awam.

Datuk Saifuddin Abdullah ialah Pengerusi Akademi Belia yang juga bekas Presiden Majlis Belia Malaysia (1998-2002)

No comments: