09 August 2007

Kaji dulu VSS sebelum laksana

Utusan Online

Rencana Pengarang
APABILA Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan menyarankan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) melaksanakan Skim Pemberhentian Sukarela (VSS) pelbagai pihak tertanya-tanya apakah bentuk skim itu jika dilaksanakan.

Lebih-lebih lagi Mohd. Sidek berkata, skim itu bertujuan melepas pekerja-pekerja bermasalah daripada terus berkhidmat dalam perkhidmatan kerajaan.

Sedangkan VSS secara dasarnya sepertimana yang dilaksanakan oleh syarikat swasta ialah untuk mengurangkan jumlah kakitangan secara sukarela tanpa mengira siapa mereka dengan matlamat mengatasi masalah kewangan syarikat.

Oleh itu apabila Mohd. Sidek mencadangkan kerajaan juga perlu mengambil langkah yang sama, ia menimbulkan tanda tanya mengenai konsep dan pendekatan yang bakal diambil.

Jika skim itu ditujukan khas kepada mereka yang bermasalah sahaja atau tidak lagi produktif, ia sudah tidak lagi membawa maksud sukarela.

Mereka yang bermasalah boleh menolak daripada mengambil skim itu kerana ia adalah sukarela.

Sekiranya ini berlaku, matlamat VSS yang dihasratkan oleh Mohd. Sidek untuk ‘membersihkan’ perkhidmatan awam daripada kakitangan yang bermasalah tidak akan tercapai.

Sebaliknya dikhuatiri ada kemungkinan kerajaan akan kehilangan pakar dalam bidang tertentu yang akan tertarik dengan VSS dan membolehkan mereka menyertai sektor swasta.

Perkara itu tidak mustahil berlaku kerana VSS biasanya terbuka untuk semua kakitangan.

Bayangkan apa akan jadi jika golongan pakar ini juga memohon VSS. Ia boleh menyebabkan agensi-agensi kerajaan yang kritikal bakal berhadapan dengan masalah.

Sehubungan itu, jika VSS ini benar-benar mahu dilaksanakan di sektor awam, ia perlukan kajian terperinci.

Pengarah Eksekutif Persatuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) Shamsuddin Bardan melihat cadangan itu perlu dikaji dengan teliti bagi memastikan skim itu memberi kebaikan kepada majikan dan pekerja.

Walaupun Mohd. Sidek berkata perkara itu bukan baru di negara ini, kerana ia telah dilaksanakan oleh sektor swasta namun saiz kakitangan antara dua sektor itu berbeza.

Bagi syarikat swasta, kakitangan mereka hanya beberapa ribu orang sahaja berbanding kerajaan yang jumlahnya lebih sejuta orang.

Bayangkan beban kewangan yang bakal ditanggung oleh kerajaan jika ramai yang memilih VSS terutama dari kalangan mereka yang berjawatan tinggi. Sedangkan ada syarikat swasta yang terpaksa menanggung kos tambahan puluhan juta ringgit dalam bentuk pampasan kepada pekerja yang memilih VSS.

Sehubungan itu, jika kerajaan serius mahu melaksanakan skim ini, perlu ada kajian yang terperinci dengan setiap aspek diperhalusi agar kerajaan sendiri tidak rugi akibat kehilangan kakitangan berkualiti.

No comments: