06 August 2007

NUTP saman ibu bapa buat laporan palsu


KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) mengambil keputusan menyaman ibu bapa yang membuat laporan palsu mengenai salah laku guru di sekolah kepada media sehingga menjejaskan imej dan maruah guru.

Ini berikutan NUTP mengesan tiga kes palsu di Kedah membabitkan guru di Sekolah Menengah (SM) Bakar Arang, Sungai Petani; Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SRJKT) Tun Sambanthan, Bukit Lembu dan SRJKT Kalaimagal yang dituduh tanpa bukti kukuh.

Setiausaha Agung NUTP, Lok Yim Pheng, berkata keputusan itu dibuat Jawatankuasa Kerja NUTP kelmarin bertujuan menegakkan kebenaran dan melindungi guru daripada tuduhan tidak berasas ibu bapa.

Beliau juga menuntut ibu bapa terbabit memohon maaf secara terbuka.

Lok yang yakin banyak lagi kes sedemikian dilaporkan kepada media berkata, tindakan tidak bertanggungjawab ibu bapa itu menyebabkan guru sentiasa bimbang dan resah untuk melakukan tugas mereka.

“Kini didapati ramai guru menjadi mangsa tuduhan ibu bapa sehingga guru dan keluarga mereka terpaksa menanggung malu.

“Seperti kes di SJKT Kalaimagal, kehidupan guru terbabit sangat terjejas dan keluarganya juga mendapat malu kerana ia mendapat liputan meluas media.

“Ibu bapa tidak seharusnya memberi tunjuk ajar kepada anak mereka dengan cara memalsukan fakta dan menuduh tanpa bukti kerana pada akhirnya, anak itu juga akan menerima kesan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Pada 24 Julai lalu, seorang suri rumah mendakwa guru di SRKJT Kalaimagal merotan anak perempuannya berusia tujuh tahun di kaki, perut, tangan dan belakang badan serta mencekiknya sebagai hukuman kerana tidak membaca dengan kuat.

Dalam kes di SM Bakar Arang, April lalu, ibu bapa seorang pelajar berusia 16 tahun mendakwa anaknya dipukul, ditendang dan ditolak oleh guru disiplin sekolah terbabit sehingga patah tangan dan lebam seluruh badan.

Lok berkata, ibu bapa sepatutnya menggunakan kaedah yang betul dengan melaporkan sesuatu kejadian kepada pihak sekolah terlebih dulu dan melanjutkan ke Jabatan Pendidikan jika masih tidak dapat diselesaikan sebelum menyampaikannya kepada media.

“Media seharusnya digunakan sebagai jalan terakhir jika merasakan mereka tidak mendapat pembelaan sewajarnya dan biarlah fakta yang diberikan itu tepat. Selidik dulu kesahihan setiap maklumat mereka,” katanya.

Beliau menganggap keadaan itu (melaporkan kepada media) kini menjadi ‘trend terkini’ ibu bapa.

No comments: