Pulih cara VSS
Utusan Online
PADA 2 Ogos 2007, kakitangan kerajaan dikejutkan dengan satu pengumuman oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd. Sidek Hassan mengenai kemungkinan pelaksanaan Skim Pelepasan Sukarela atau Voluntary Separation Scheme (VSS).
Tujuan utama VSS diperkenalkan adalah untuk memastikan kelompok bermasalah dalam perkhidmatan awam dapat dipisahkan dari jentera kerajaan dengan harapan sistem penyampaian perkhidmatan awam di Malaysia dapat ditingkatkan ke tahap yang terbaik.
Pengumuman tersebut menimbulkan rasa kurang senang di kalangan kakitangan awam yang bimbangkan kebajikan mereka terabai andainya diarahkan menerima VSS. Pihak CUEPACS serta-merta menyuarakan pandangan serta memohon jasa baik dan pertimbangan kerajaan untuk mengadakan perbincangan telus dengan persatuan sebelum melaksanakan apa-apa keputusan berkaitan VSS.
Memang diakui VSS membawa stigma negatif kerana ia hanyalah satu bentuk penjenamaan semula kepada ‘membuang pekerja’ atau lebih kasar lagi ‘pemecatan’. Dari perspektif ekonomi secara umumnya, tindakan kerajaan menawarkan VSS memberi petunjuk negara sedang mengalami kegawatan ekonomi yang akhirnya akan meningkatkan kadar pengangguran.
Pada pendapat saya, pendekatan VSS yang diamalkan oleh pihak swasta tidak seharusnya diterima dan dipraktikkan secara ‘total’ oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA). Kerajaan harus bertanggungjawab terhadap masa depan kakitangan yang dilepaskan dari perkhidmatan. Apa akan terjadi kepada keluarga mereka ataupun tanggungan mereka sekiranya mereka dikenakan VSS?
Keadaan akan menjadi lebih parah jika kakitangan berkenaan terikat dengan pelbagai hutang seperti kereta, rumah, pinjaman peribadi ataupun kad kredit. Kerajaan juga harus mengambil kira pelbagai faktor yang menyumbang kepada prestasi kerja yang tidak memuaskan di kalangan kakitangan contohnya persekitaran kerja dan masalah kepimpinan dalam organisasi.
Adalah lebih baik sekiranya VSS tidak tertumpu kepada memisahkan kakitangan bermasalah daripada jentera kerajaan tetapi menjurus kepada memisahkan mereka dari jabatan atau organisasi sedia ada dan menempatkan mereka di jabatan atau organisasi lain di bawah kawalan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam. Dengan cara ini, kedua-dua pihak saling memberi dan menerima peluang untuk memperbaiki prestasi.
Seharusnya mereka diberi peluang kerana setiap insan tidak terlepas dari melakukan kesilapan atau kesalahan. Pisahkan mereka dari jabatan sedia ada dan bantulah mereka memulakan ‘buku baru’ di jabatan atau organisasi lain. Sekiranya peluang kedua yang diberi tidak dimanfaatkan sepenuhnya oleh kakitangan tersebut, maka pada waktu itu, pihak kerajaan berhak melaksanakan Mandatory Separation Scheme (MSS).
– Mokthar Ismail,
Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS).
No comments:
Post a Comment