06 August 2007

Nik Aziz tolak syor Cuepacs

Utusan Online

KOTA BHARU 4 Ogos – Menteri Besar, Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak bersetuju dengan cadangan Kongres Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) yang meminta kerajaan memendekkan waktu bekerja wanita kepada setengah hari sahaja sepanjang bulan Ramadan yang akan disambut mulai 14 September ini.

Beliau berkata, masyarakat perlu menukar persepsi bahawa Ramadan adalah bulan untuk bekerja dan beribadat bukannya masa untuk berehat.

“Ramadan sendiri didik kita untuk bekerja, sistem rehat pada bulan puasa bukan sistem Islam, ini sistem yang diterima dari orang lain.

“Saya tidak suka sekiranya untuk berehat semasa bulan puasa kerana ia sendiri mengajar kita mementingkan akhirat dan kira perlu mengorbankan masa untuk berehat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Taranum Antarabangsa dan Minggu Al-Quran di sini hari ini.

Seminar sempena sambutan pengisytiharan Kota Bharu sebagai Bandaraya Islam itu dihadiri lebih 400 peserta dari dalam dan luar negara.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan CUEPACS menyarankan supaya kerajaan memendekkan waktu bekerja kakitangan wanita kepada setengah hari sahaja sepanjang Ramadan ini.

Cadangan itu dibuat untuk memberi peluang kepada kakitangan wanita terutama yang tinggal di Lembah Klang pulang ke rumah lebih awal untuk menguruskan rumah tangga masing-masing sebelum berbuka puasa.

Sementara itu di Kuala Lumpur, Pengerusi Biro Bantuan Guaman Wanita UMNO, Datuk Kamilia Ibrahim berkata, cadangan itu tidak praktikal dan sekiranya diterima hanya akan menjejaskan produktiviti negara.

‘‘Pengurangan masa bekerja akan merencatkan produktiviti sesebuah organisasi dan ini memberi impak kepada majikan.

“Dalam kes ini, pihak majikan akan berfikir dua kali untuk mengambil pekerja wanita bekerja,’’ katanya.

No comments: