11 August 2007

LHDN perlu tingkat kutipan

Utusan Online

Oleh: JAMDI NASIR

KOTA KINABALU 10 Ogos – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terus menggiatkan usaha dan meningkatkan kecekapan bagi membantu mengukuhkan kedudukan kewangan kerajaan.

Perdana Menteri berkata, prestasi agensi itu dengan pencapaian kutipan hasil sebanyak RM41 bilion setakat pertengahan Julai lalu menunjukkan peningkatan 11.5 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Jumlah kutipan cukai itu, kata Abdullah, cukup membanggakan.

‘‘Walaupun prestasi semasa memberangsangkan, saya berharap LHDN akan terus berusaha ke arah meningkatkan kecekapan jentera pentadbirannya selaras dengan kehendak kerajaan meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan awam.

‘‘Ini adalah penting untuk memastikan kedudukan kewangan kerajaan terus kukuh dan pada masa yang sama menyokong pertumbuhan sektor swasta yang mapan.

‘‘Demi kesejahteraan rakyat, warga LHDN perlu sentiasa berusaha meningkatkan kutipan hasil negara dengan menggiatkan aktiviti pemungutan cukai, penguatkuasaan undang-undang, pemantauan pematuhan dan penganjuran pendidikan cukai,” katanya ketika berucap merasmikan Wisma Hasil Kota Kinabalu di sini hari ini.

Bangunan setinggi 11 tingkat yang dibina dengan kos RM41.8 juta itu siap sepenuhnya pada awal tahun lalu.

Turut hadir ialah Datin Seri Jeanne Abdullah: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman; Pengerusi Lembaga Pengarah LHDN, Datuk Dr. Wan Abdul Aziz Wan Abdullah; dan Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Hasmah Abdullah.

Perdana Menteri juga meminta semua pihak terus memberi sokongan dan kerjasama kepada agensi itu kerana hasil kutipan cukai LHDN dapat membantu kerajaan memastikan pembangunan dapat dilaksanakan secara lebih pesat dan menyeluruh.

Beliau menambah, penambahbaikan sistem pendidikan dan program pembangunan modal insan tidak mungkin dapat dilaksanakan sekiranya kemajuan ekonomi dan kestabilan kewangan tidak dicapai.

‘‘Dalam hal ini, LHDN memainkan peranan yang amat penting sebagai salah satu penyumbang utama hasil negara yang dapat menjana pembangunan negara secara berterusan.

‘‘Dalam konteks ini, warga kerja LHDN sendiri perlu memainkan peranan dengan mempertingkatkan tahap pengetahuan dan kecekapan masing-masing untuk mencapai tahap perkhidmatan lebih cemerlang,” jelas beliau.

Sementara itu, Wan Abdul Aziz memberitahu, LHDN menyasarkan kutipan cukai tahun ini sebanyak RM69 bilion berbanding RM65.74 bilion pada 2006.

Bagi meningkatkan kecekapan agensi itu, beliau berkata, pihaknya merancang membina enam buah lagi cawangan LHDN termasuk di Sandakan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Pada masa ini agensi itu mempunyai 10 buah bangunan sendiri di seluruh negara.

No comments: