13 August 2007

VSS bukan jalan terbaik

Utusan Online

MUKADIMAH

BARU-BARU ini, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) disaran mewujudkan Skim Pemberhentian Sukarela (VSS) bagi melepaskan “pekerja-pekerja bermasalah” daripada terus berkhidmat dalam perkhidmatan kerajaan.

Saranan yang dibuat oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd. Sidek Hassan itu sedikit sebanyak menimbulkan polemik di kalangan penjawat awam.

Bagi Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Syed Shahir Syed Mohamud, apa yang dibangkitkan tersebut bukanlah isu baru. Hakikatnya VSS telah lama dipraktikkan di sektor swasta.

Namun yang menjadi persoalan sekarang ialah sektor swasta berbeza dengan sektor awam. Dan perbezaan ini menuntut banyak kajian harus dijalankan sebelum sesuatu keputusan itu dibuat.

Apapun Syed Shahir berpendapat, VSS bukan cara terbaik untuk menyelesaikan isu “pekerja-pekerja bermasalah” baik di sektor awam mahupun di sektor swasta kerana ia akan mengundang ketidakadilan.

“Pada umumnya kita sendiri tidak bersetuju dengan VSS kecuali dalam keadaan yang betul-betul sahih atau dapat dipastikan tiada pilihan lain yang lebih baik lagi,” kata Syed Shahir kepada wartawan SITI MARIAM MD. ZAIN dan jurugambar ABDUL RASHID MAHFOF ketika ditemui di Shah Alam, Jumaat lalu.

MINGGUAN: Saranan untuk memperkenalkan VSS di kalangan kakitangan awam. Apa komen saudara?

SYED SHAHIR: Kita perlu tahu apa rasionalnya kenyataan ini dibuat - alasan dan masalah yang berlaku. Kita tidak boleh menyamakan keperluan di sektor swasta dengan sektor awam kerana peranan mereka berbeza. Dalam isu pelaksanaan VSS ini, sektor swasta mempunyai rasionalnya sendiri. Bagi hal-hal tertentu, VSS dilihat sebagai jalan keluar. Sebagai contoh, penggabungan dua buah syarikat yang membabitkan dua orang pengurus besar, sudah tentu syarikat hanya berkehendakkan seorang pengurus besar sahaja. Dalam konteks ini, VSS adalah pilihan yang ada. Ataupun jika berlaku keadaan syarikat yang benar-benar merudum, prestasi syarikat jatuh dan kerugian makin membesar, kalau tidak melakukan sesuatu, keadaan syarikat akan bertambah parah lagi, maka perlu ditawarkan skim ini. Sebab ketiga, misalnya berlaku pertukaran hak milik syarikat. Pengurusan baru kata, mereka hendak mengurangkan jumlah tenaga kerja sedia ada kerana tidak mampu menampung jumlahnya. Untuk menggelakkan tindakan penamatan pekerjaan, maka ditawarkan VSS, siapa hendak berhenti boleh melakukannya secara sukarela.

Adakah ini cara yang berkesan untuk menyingkirkan ‘‘pekerja bermasalah’’?

SYED SHAHIR: Apabila menyebut VSS, adakah ini bermaksud pihak berkenaan hendak mengambil tindakan kepada mereka yang bermasalah? VSS bererti sesiapa sahaja berhak menawarkan diri. Jadi akan wujud keadaan kalaupun benar ada pekerja bermasalah, masalah yang berlaku tidak akan selesai. Orang yang dianggap penting dan perlu, mungkin memilih untuk berhenti. Bagi saya, apabila hendak memperkenalkan VSS ini, ada banyak aspek yang perlu dilihat. Pertama, dari segi Perlembagaan Persekutuan. Kerana kakitangan awam ada takrifan tersendiri. Kedua, kita bercakap tentang perintah am (general order) selain hal-hal lain misalnya dari segi surat pekeliling yang dikeluarkan. Perkara-perkara ini sebenarnya bukan mudah. Katakanlah ia bercanggah dengan Perlembagaan dan ada kakitangan awam yang membawa perkara ini ke mahkamah, tidakkah nanti kita terpaksa berurusan dengan lebih banyak hal lain lagi? Soal tatatertib dan disiplin di sektor awam ini ada kaedah lain yang boleh diuruskan.

VSS bukan cara terbaik untuk menyelesaikan isu?

SYED SHAHIR: Bukan sama sekali malah ini akan memberi gambaran tidak baik kepada masyarakat. Tambahan lagi, kakitangan awam baru sahaja mendapat kenaikan gaji. Sekarang pula kita bercakap tentang VSS. Apa sebenarnya yang berlaku? Saya melihat ada kesan negatif jika ini diteruskan. Sepatutnya ia perlu melalui rundingan dahulu. Kita tidak boleh buat keputusan yang hanya selesa atau sesuai untuk satu pihak sahaja. Dalam konteks ini, hanya sesuai untuk kerajaan maka kita gunakan ini, sementara yang lain-lain kita tidak ikut.

Kita seharusnya berfikir dengan cara lebih rasional, terbuka dan proaktif. Soalan saya, berapa jumlah sebenarnya ‘‘mereka yang bermasalah’’ ini? Tidak dinafikan kita akan berjumpa dengan masalah begini di mana-mana organisasi, tetapi menjadi usaha dan ikhtiar kita memperbetulkan. Kita ada indeks pengukuran prestasi. Maknanya kita boleh melihat prestasi seseorang itu. Soal gaji dan elaun, soal lain. Persekitaran juga memainkan peranan. Kadang-kadang mereka melakukan kerja yang sama berterusan dan ini mempengaruhi prestasi. Tetapi seseorang yang tidak begitu tinggi prestasinya dalam bidang yang dia berada sekarang mungkin lebih berpotensi di bidang lain. Sekarang apa yang berlaku ialah kita kata prestasinya tidak begitu baik, maka diadakan skim VSS, tanpa cuba menukarkannya ke tempat lain!

Adakah kaedah VSS ini berjaya di sektor swasta?

SYED SHAHIR: Sesetengah kes memang berjaya, sesetengah kes, berlaku penganiayaan. Walaupun betul syarikat merudum dan sebagainya tetapi ada juga usaha pihak pengurusan menggunakan ini sebagai alasan untuk mengambil kesempatan mengetepikan mereka yang dianggap sebagai ‘‘bermasalah’’. Kadang-kadang ada usaha yang tidak jelas, misalnya seseorang yang dianggap tidak dikehendaki oleh pihak pengurusan, tidak diberi pekerjaan atau dalam istilah ‘cold storage’ dan sebagainya. Hal-hal ini, apabila timbul VSS, mereka kata, lebih baik saya menerimanya. Jadi VSS tidak semestinya mendapat kejayaan sepenuhnya. Kita harus faham, dalam soal ini kita berurusan dengan manusia. Manusia ada perasaan, ada naluri, cita rasa dan sebagainya. Sifat cemburu, dengki, khianat itu memang wujud. Dan ini berlaku.

Pendirian MTUC sendiri dalam isu VSS?

SYED SHAHIR: Pada umumnya kita tidak bersetuju kecuali dalam keadaan betul-betul sahih atau dipastikan tiada pilihan yang lebih baik. Itu pun kita kata, menjadi tugas majikan atau pengurusan berunding dengan pihak kesatuan dan pekerja supaya tidak timbul masalah pilih kasih, salah faham, penganiayaan dan sebagainya.

Apa aduan yang selalu diterima oleh MTUC berkaitan dengan mereka yang memilih VSS?

SYED SHAHIR: Mereka tidak puas hati terhadap cara pihak pengurusan menangani satu-satu kes. Mereka rasa kadangkala semacam telah dibuat sedemikian rupa menyebabkan mereka tiada pilihan dan terpaksa menawarkan diri menerima VSS. Apa yang berlaku lebih kepada ‘‘suka dalam paksa’’ atau ‘‘paksa rela’’. Kalau tidak buat, mereka akan terus diketepikan atau dipinggirkan.

Saya hendak beri satu contoh dalam konteks ini. Ada sebuah syarikat di utara yang tidak dapat lagi meneruskan perniagaan oleh sebab tiada tempahan. Bila tidak boleh berniaga, maka syarikat kata, apa yang patut kami buat? Salah satu cara ialah membawa pekerja dari tempat A ke tempat B yang mungkin 300 hingga 400 kilometer jaraknya. Pada waktu itu, baru kita kata okey, kalau sudah tiada jalan lain, kita patut memberi pampasan yang sewajarnya kepada pekerja. Kami berunding dan akhirnya semua bersetuju, tanggungjawab syarikat selesai. Jelas masalah boleh diselesaikan melalui perundingan.

Itu sebab saya bertanya tadi, kalau ada masalah dalam perkhidmatan awam – apa masalahnya? Berapa jumlah pekerja yang terlibat? Di mana masalah itu? Apakah telah diikhtiar untuk memperbaikinya dan bagaimana bentuk yang kita hendak misalnya memberi gambaran positif kepada masyarakat supaya mereka juga berasa yakin. Saya bimbang dalam kita rancak hendak membangunkan ekonomi negara, kenyataan-kenyataan begini akan memberi satu isyarat atau gambaran negatif. Perkhidmatan awam bukan soal menjual barang tetapi perkhidmatan.

KSN ketika membangkitkan saranan ini mengatakan untuk mengelakkan penganiayaan, tindakan yang akan diambil mesti telus dan adil?

SYED SHAHIR: Kriteria adil dan telus itu apa dia? Masalah di sektor swasta kita nampak. Justifikasinya jelas. Kita boleh melihat graf atau carta pencapaian sesebuah syarikat. Itu yang dikatakan telus. Dalam konteks perkhidmatan awam, bagaimana hendak melakukannya? Takkan hendak mengatakan jabatan kita telah merosot, tiada keuntungan, sedangkan sektor kerajaan bukannya menjual barang tetapi memberi perkhidmatan. Mana boleh mengukur dari segi untung dan rugi. Kedua, apabila hendak menambah kakitangan dalam satu-satu jabatan, bukankah ia telah melalui kajian terperinci? Maknanya tidak boleh meletakkan kesalahan kepada kakitangan itu sahaja kerana mereka hanya mengikut arahan setelah melalui proses temu duga. Mereka diambil bekerja berdasarkan keperluan tempat-tempat tertentu.

VSS juga dikatakan dapat mencegah daripada timbulnya salah laku termasuk amalan rasuah di kalangan penjawat awam. Apa komen saudara?

SYED SHAHIR: Tidak kena mengaitkan soal rasuah dengan VSS. Ia dua perkara berbeza. Secara mudah, orang bekerja apabila mendapat imbuhan lain, mereka akan berusaha dengan lebih kuat lagi. Bukan maknanya saya bersetuju dengan perbuatan ini, tetapi inilah yang berlaku. Adakah kita menganggap prestasi mereka ini lebih baik? Perkara-perkara ini akan menimbulkan banyak persoalan yang akhirnya akan menikam diri kita sendiri. Saya percaya kalau kena cara dan kaedah untuk menanganinya, prestasi perkhidmatan awam kita boleh bertambah baik.

Apakah antara masalah yang dijangka akan timbul sekiranya skim VSS ini dilaksanakan?

SYED SHAHIR: Mereka yang mengambil VSS ini apabila ke sektor swasta untuk meminta kerja, akan ditanya mengapa berhenti. Kalau kata mengambil VSS, mungkin ada stigma orang ini ‘‘orang bermasalah’’. Peluang untuk mereka masuk ke ruang-ruang pekerjaan di sektor swasta akan menjadi sukar. Mereka ini digambarkan sebagai ‘‘kayu mati’’. Ini suatu perkara yang negatif dan tentunya akan menimbulkan lebih banyak masalah sosial lain. Malah saya rasa sekarang ini mungkin ada sedikit sebanyak perasaan tidak begitu tenteram di kalangan kakitangan awam. Sedikit sebanyak persoalan akan bermain di fikiran mereka – siapa yang akan kena (VSS) atau diambil tindakan. Dan ini pada saya adalah satu cara yang boleh menurunkan prestasi dan motivasi seseorang.

Kesimpulan ringkas daripada perbincangan ini?

SYED SHAHIR: Kenyataan ini lebih banyak menimbulkan kekeliruan daripada memberikan penjelasan. Ia tidak sepatutnya dizahirkan dalam keadaan yang banyak tidak dijelaskan kerana akan menimbulkan lebih banyak tanda tanya di samping mewujudkan gambaran negatif terhadap perkhidmatan awam. Ia akan memberi satu isyarat yang tidak begitu baik bukan hanya kepada penduduk atau rakyat negara ini malah kepada orang luar termasuk para pelabur, seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena dalam perkhidmatan awam di negara kita.

1 comment:

Anonymous said...

salam boleh tak terangkan kesan VSS terhadap pekerja EON yang berprestasi baik dan pekerja yang berprestasi lemah? tq