Showing posts with label JPN. Show all posts
Showing posts with label JPN. Show all posts

04 January 2010

JPN Tempat 535 Guru Pedalaman Kelantan

GUA MUSANG, 4 Jan (Bernama) -- Jabatan Pelajaran Negeri Kelantan (JPNK) menerima penempatan 535 orang guru baru khusus bagi menampung kekurangan guru membabitkan sebilangan besar sekolah rendah pedalaman Hulu Kelantan awal tahun ini.

Guru terbabit mulai melapor diri Ahad lalu termasuk seramai 145 orang guru lepasan Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) yang akan mengajar subjek Bahasa Inggeris dan Kemahiran Hidup. Ketua Sektor Pengurusan JPKN, Zahari Daud, berkata sebilangan besar guru terbabit ditempatkan di semua Sekolah Kebangsaan (SK) di tiga jajahan utama termasuk Gua Musang, Kuala Krai dan Jeli yang mengadapi masalah kekurangan guru tahun lepas. Beliau berkata, fokus utama pengagihan guru terbabit di SK perkampungan Orang Asli bagi menjayakan sasaran kerajaan membendung buta huruf di kalangan anak kaum itu dan mengatur kecemerlangan.

"Mulai tahun ini kita mahu lihat murid anak Orang Asli ada kemajuan terutama keputusan lebih baik dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) berbanding tahun lalu yang amat mengecewakan," katanya kepada pemberita selepas majlis perkenalan dengan guru baru dan perjumpaan dengan ibu bapa murid Orang Asli di SK Pos Tohoi, dekat sini, pagi Isnin.

Zahari berkata, pihaknya juga mempunyai dasar bagi memberi keutamaan kepada sekolah luar bandar itu untuk menempatkan guru baru sehingga ada sekolah mempunyai dua guru mengajar subjek Bahasa Inggeris.

"Kita memberi tumpuan demikian kerana tahun lalu menerima banyak aduan ibu bapa mengenai masalah kekurangan guru menyebabkan anak mereka tercicir dan tahun ini kita mahu lihat pula ada perubahannya selepas permintaan itu ditunaikan.

"Berikutan itu, kita turut melarang guru baru supaya tidak membuat surat permohonan untuk mengajar di sekolah kawasan bandar kerana kuota mereka ada untuk penempatan di luar bandar Kelantan," katanya.

Beliau berkata, pihaknya menetapkan hanya dua syarat bagi membolehkan guru terbabit membuat permohonan pertukaran termasuk mereka yang mempunyai penyakit kritikal memerlukan rawatan di hospital kawasan Kota Bharu dan anak Orang Kurang Upaya (OKU).

"Jika tidak mempunyai alasan itu, kita sama sekali tidak melayan permohonan pertukar dan wajib hadir mengajar di sekolah yang ditetapkan," katanya.



-- BERNAMA

23 July 2008

JPN kurang lawat kawasan Penan

Berita Harian Online

MIRI: Isu MyKad membabitkan ribuan suku kaum Penan di Sarawak tidak akan berakhir, jika kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak lebih kerap turun padang.

Walaupun JPN ada mengadakan lawatan untuk mendaftarkan suku kaum Penan yang tidak memiliki MyKad dan sijil kelahiran, namun usaha itu belum mencukupi.

Jurucakap Sahabat Alam Malaysia (SAM), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang banyak memperjuangkan masalah Penan di negeri ini berkata, pada masa ini lawatan kakitangan JPN ke kawasan Penan agak jarang sekali.

"Jika inilah keadaannya sampai bila pun JPN tidak akan dapat menyelesaikan isu MyKad di kalangan masyarakat Penan di Sarawak, terutama di Baram dan Limbang," katanya kepada Berita Harian, di sini, semalam.

Sebahagian besar suku kaum Penan di Sarawak menetap di pedalaman Hulu Baram dan Limbang di utara Sarawak.

Kebanyakan mereka juga tidak lagi mengamalkan corak kehidupan nomad, cuma segelintir kecil yang tinggal di Tutoh Magoh dan berhampiran Taman Negara Mulu masih mengamalkan cara kehidupan ini dengan berburu dan mencari sumber hutan untuk keperluan hidup.

Jurucakap SAM itu berkata, JPN wajar memperbanyakkan operasi mendaftarkan MyKad untuk suku kaum ini supaya masalah itu dapat dikurangkan.

"Suku kaum Penan memerlukan MyKad untuk mencari pekerjaan seperti dengan syarikat pembalakan dan perladangan.

"Kita akui banyak masalah dalam berurusan dengan suku kaum Penan, namun ia bukan alasan kerana banyak cara boleh difikirkan untuk mengatasi masalah ini," katanya.

04 June 2008

JPN jawab kursus vokal Afundi

Utusan Online

SAYA ingin merujuk aduan bertajuk Wajarkah kursus vokal untuk kakitangan JPN? daripada 'Afundi, JPN Putrajaya.' di ruangan ini pada 23 Mei lalu.

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan serta hasrat beliau bagi penambahbaikan dan mempertingkatkan sistem penyampaian perkhidmatan jabatan ini.

Memiliki anggota kerja yang komited, berpengalaman, mahir dan profesional merupakan salah satu teras JPN dalam Pelan Perancangan Strategik JPN 2007 -2016.

Pelbagai pendekatan digunakan bagi mengubah minda kakitangan JPN. Ia penting bagi melahirkan warga JPN yang bermotivasi, kreatif, inovatif dan berdaya saing untuk mencapai visi jabatan.

Setiap program/aktiviti yang dijalankan adalah bertujuan memupuk sikap kekitaan dan semangat cintakan jabatan dan bukannya sebagai suatu pembaziran.

Bagi JPN, setiap anggota merupakan aset penting kepada jabatan. Oleh itu, antara program yang dijalankan adalah pelaksanaan program latihan, learning organisation dan juga aktiviti kebajikan dan sosial. Aktiviti/program seumpama inilah yang memberi impak yang besar dan telah berjaya mengubah minda warga JPN dan seterusnya meletakkan JPN sebagai sebuah organisasi yang unggul dan disegani pada hari ini.

Pendekatan ini mungkin tidak diguna pakai oleh pihak pengurusan di organisasi yang lain, tetapi adalah menjadi harapan dan hasrat JPN agar setiap anggotanya mempunyai semangat kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada organisasi di samping berasa bangga menjadi warga JPN yang mempunyai pelbagai kemahiran atau versatile.

Untuk makluman, faktor-faktor inilah yang akan menyumbang kepada peningkatan kualiti sistem penyampaian perkhidmatan yang sering ditekankan oleh kerajaan. Usaha yang berterusan ini adalah bagi merealisasikan visi jangka panjang Jabatan untuk muncul sebagai Jabatan Perkhidmatan Kaunter Terbaik di dunia seperti yang digariskan dalam Pelan Perancangan Strategik JPN 2007-2016.

Wajarkah kursus vokal untuk kakitangan JPN? Pihak JPN berpendapat, kursus vokal tersebut tidak dilihat sebagai 'nyanyian' semata-mata tetapi sebaliknya dapat membantu dalam mendedahkan warga JPN yang terlibat kepada teknik-teknik pengawalan suara (intonasi dan sebutan), kawalan emosi ketika berinteraksi dalam keadaan tertekan dan cara menunjukkan ekspresi wajah yang sepatutnya semasa berhadapan dengan pelanggan.

JPN sentiasa berusaha secara berterusan bagi mempertingkatkan kualiti sistem penyampaian perkhidmatan.

23 May 2008

Wajarkah kursus vokal untuk kakitangan JPN?

Utusan Online

LAZIMNYA, apabila bercakap tentang Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang sering terpacul di fikiran kita adalah kad pengenalan bermutu tinggi - MyKad.

Sebagai sebuah jabatan yang sinonim dengan perkhidmatan pelanggan, pastinya JPN mendapat perhatian besar masyarakat.

Silap sedikit sahaja pasti mengundang kritikan. Contohnya isu mengadakan cabutan nombor bertuah yang menawarkan hadiah kereta untuk menggalakkan orang ramai menukar kad pengenalan lama kepada MyKad yang menimbulkan kontroversi tidak lama dulu.

Isu tersebut mengundang campur tangan menteri dan program cabutan bertuah itu akhirnya dibatalkan. Tidak silap saya, kereta berkenaan masih terbiar begitu sahaja.

Ini seharusnya diambil iktibar oleh pihak-pihak berkenaan untuk meminimumkan segala ketidakwajaran dan kepincangan.

Terbaru, kursus vokal selama empat hari? Saya difahamkan, warga JPN diwajibkan mengikuti tiga kursus dalam usaha meningkatkan mutu perkhidmatan mereka.

Kursus-kursus itu ialah perkhidmatan pelanggan, bina insan serta anjakan paradigma dan pemikiran positif. Saya tidak tahu, kursus vokal tersebut jatuh dalam kategori yang mana satu? Ini bukan Akademi Fantasia.

Sudahlah begitu, kursus berkenaan yang dianjurkan di Dewan JPN yang didatangkan dengan pakej penginapan di hotel berdekatan, mengambil dua hari waktu bekerja mulai hari ini (Khamis).

Yang syoknya, para peserta kursus terbabit yang terdiri daripada seramai lebih kurang 30 orang dari ibu pejabat boleh mengambil ganti cuti pada hari Isnin untuk berehat. Bukankah ini hanya merugikan tenaga kerja sahaja?

Saya tidak nampak, di manakah kewajarannya pengurusan tinggi JPN mengadakan kursus vokal ini untuk disesuaikan dengan visi merealisasikan JPN bagi memenuhi matlamat melahirkan perkhidmatan berkualiti bertaraf dunia seperti diuar-uarkan.

Tiada pula misi dan visi JPN yang dipampang menyatakan bahawa 'memantapkan vokal kakitangan' sebagai salah satu agendanya.

Bukan apa, sebagai seorang rakyat yang prihatin dan diberikan kuasa untuk menegur, kalau boleh saya tidak mahu wang kerajaan dan rakyat serta masa kerja dikorbankan tidak tentu hala.

Jangan sampai nanti agensi strategik yang ditubuhkan sebagai salah satu langkah menangani keselamatan, itu dipandang rendah oleh rakyat.

Kepada kakitangan JPN terbabit yang sedang menjalani kursus vokal yang dimaksudkan, diucapkan selamat berkursus.

Semoga selepas ini kalian kembali dengan lebih bersemangat untuk memberikan perkhidmatan yang lebih cekap, tepat dan mesra pelanggan kelas pertama, demi keselamatan dan kesejahteraan negara.

AFUNDI JPN

Putrajaya

11 January 2008

Ibu sedih layanan petugas kaunter JPN

Utusan Online

BARU-BARU ini saya telah pergi ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) daerah Jelebu bagi urusan penukaran nama anak. Untuk pengetahuan umum anak saya telah diberi nama yang maknanya kurang baik di sisi agama Islam.

Setibanya di pejabat JPN tersebut saya dapati terdapat ramai pelanggan sedang berurusan di kuanter. Seperti biasa saya terus pergi mendapatkan nombor giliran untuk urusan penukaran nama.

Dari pemerhatian saya cuma terdapat dua kakitangan yang sedang bertugas pada hari tersebut, seorang lelaki dan seorang lagi perempuan.

Kakitangan lelaki dilihat tekun melayani pelanggan yang berurusan dengannya. Sesekali terlihat kakitangan tersebut tersenyum kepada pelanggan dengan penuh mesra. Kakitangan perempuan itu pula sedang bercakap telefon dengan nada yang agak kuat. Sesekali dia ketawa dan dari pendengaran saya, perbualan terbabit adalah bersifat peribadi.

Setelah lebih kurang 20 minit berbual, kakitangan perempuan terbabit datang ke kaunter dan memulakan tugas beliau kembali. Lebih kurang 10 minit selepas itu nombor saya dipanggil oleh kakitangan tersebut.

Alangkah sedihnya saya tanpa senyuman dan pelawaan untuk duduk seperti yang diamalkan oleh rakan sekerjanya di sebelah, saya disergah oleh kakitangan perempuan terbabit tentang apa tujuan saya datang ke pejabat JPN. Perbuatan ini pada saya sungguh biadap, namun saya pendamkan sahaja.

Setelah menerangkan tujuan saya datang untuk menukar nama anak saya, tiba-tiba air muka dan nada suara kakitangan wanita terbabit berubah. Dalam nada suara seperti memperli saya, kakitangan tersebut mempertikaikan tujuan saya ini.

Yang paling tidak dapat diterima oleh saya, kakitangan tersebut menyatakan bahawa “Cik ni menyusahkan saya sajalah...saya dah lah banyak kerja. Dulu nak sangat nama tu.’’

Saya menjadi terkedu dan saya memandang kepada kakitangan lelaki di sebelah yang seolah-olah terpinga-pinga dengan jawapan rakannya itu.

Saya mengambil keputusan untuk terus keluar dari pejabat tersebut kerana malu. Saya mengambil keputusan untuk membuat permohonan pertukaran nama anak di Seremban. Kakitangan lelaki JPN Jelebu tersebut cuba meminta maaf kepada suami saya tetapi kami tidak salahkan beliau.

Saya menghantar e-mel ini dengan harapan pihak Utusan Malaysia dapat menyiarkan bagaimana biadapnya sesetengah kakitangan awam kepada orang ramai dan dengan harapan kakitangan wanita tersebut berubah sikap.

Akhir sekali kepada Ketua Pengarah dan pegawai atasan JPN, tolong pantau anak-anak buah anda dan tempatkan pegawai dan kakitangan muda yang berbudi bahasa di kuanter JPN.

– INTAN AMIA ALI,

Kuala Klawang,

Negeri Sembilan.

18 July 2007

Berita Nasional: Hishammuddin minta guru sabar

Berita Harian



Kementerian dengan kerjasama JPA, SPP tangani masalah 8,000 guru DGA41

KUALA KANGSAR: Kementerian Pelajaran akan menggunakan ‘pendekatan khas’ bagi menangani masalah guru bukan siswazah yang mendakwa menerima gaji lebih rendah apabila dinaikkan ke gred DGA41 selepas menamatkan pengajian pada peringkat ijazah.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata kementerian kini bekerjasama rapat dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) untuk menangani masalah 50,000 guru terbabit.

Beliau meminta semua guru terbabit bersabar kerana isu itu memerlukan perbincangan dan penelitian oleh ketiga-tiga pihak berkaitan serta tidak mungkin dapat diputuskan dalam tempoh terdekat.

"Isu ini agak unik kerana ia hanya berlaku terhadap segolongan guru yang berada dalam tempoh peralihan iaitu daripada skim diploma kepada skim siswazah, justeru memerlukan pendekatan unik juga untuk diselesaikan.

"Kita tidak pernah menolak keinginan guru yang ingin terus belajar dan bagi mereka yang sudah memperoleh kejayaan lebih besar, takkanlah kita mahu menidakkannya.

“Justeru, dakwaan mengatakan guru terbabit tertindas atau teraniaya selepas pengumuman kenaikan gaji kakitangan awam oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, baru-baru ini, adalah tidak berasas," katanya kepada pemberita selepas mengiringi lawatan Perdana Menteri New Zealand, Helen Clark ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Perempuan Kelsom di sini, semalam.

Kelmarin, akhbar ini dalam laporan khasnya menyiarkan kekecewaan guru yang berkhidmat hampir 10 tahun dan menyambung pelajaran pada peringkat ijazah mendapat gaji lebih rendah berbanding guru bukan graduan yang dinaikkan ke gred DGA32 secara ‘time based’ (tempoh masa) selepas 10 tahun perkhidmatan.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Anuar Ibrahim, dilaporkan berkata kira-kira 50,000 guru dilantik dalam skim DGA41 (Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah) menerima gaji jauh lebih rendah berbanding guru yang tidak menyambung pelajarannya tetapi mendapat kenaikan gred secara ‘time based,’ sedangkan tempoh perkhidmatan kedua-duanya sama.

Hishammuddin berkata, maklumat yang beliau peroleh menunjukkan jumlah guru terbabit hanya 8,000 dan bukan 50,000 seperti dakwaan NUTP.

“Walaupun bilangannya tidak sebesar yang didakwa NUTP, kita tetap prihatin dan meneliti kaedah terbaik agar masalah teknikal itu dapat ditangani,” katanya.

Sementara itu, Hishammuddin berkata, pihaknya membuat keputusan pegawai Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PTD) yang sudah ditempatkan di semua Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dikekalkan sementara waktu sehingga keputusan muktamad berhubung kedudukan mereka dapat dicapai.

“Saya prihatin dengan rayuan NUTP dan kerajaan membuat keputusan kemasukan pegawai PTD ke Kementerian Pelajaran ditangguhkan sementara waktu,” katanya.

Akhbar semalam melaporkan NUTP menolak sama sekali langkah Kementerian Pelajaran meletakkan pegawai PTD bagi semua gred dalam JPN.

06 July 2007

Guru patut diberi peluang mengurus

Berita Harian

UMUMNYA, semua kesatuan guru menentang kemasukan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) ke Jabatan Pelajaran Negeri (JPN). Secara tidak langsungnya, ia memberi beberapa kesan dan impak kepada profesion perguruan.

Apa yang kita maklumi dasar Kementerian Pelajaran adalah untuk memartabatkan profesion perguruan dengan meningkatkan kualiti guru, kerjaya guru dan kebajikan guru. Oleh itu, pengurusan di JPN seharusnya dipikul oleh golongan guru yang memahami tugas dalam bidang perguruan.

Matlamat kementerian adalah untuk menjadikan profesion perguruan dihormati dan dipandang tinggi sesuai dengan amanah yang dipikul dalam pembinaan generasi masa depan negara. Semestinya guru perlu diberi pendedahan dalam segenap lapisan pengurusan termasuk pengurusan di JPN.

Pengurusan di JPN sudah tentu akan memantapkan kerjaya guru, menambah baik persekitaran kerja dan kebajikan guru, memantapkan perancangan dan pengurusan dalam hal berkaitan dengan guru.

Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) menyatakan bahawa bagi memantapkan kerjaya guru dan menambah baik perjawatan guru dengan menambahkan perjawatan dan peluang naik pangkat.

Secara peribadi, saya juga tidak bersetuju kemasukan PTD ke JPN, tetapi beberapa perkara perlu ditekankan supaya pengurusan berjalan lancar, efisien dan bersistematik.

Sebagai penjawat awam, semestinya utamakan bekerja dengan lebih sistematik dan mesra pelanggan. Jangan ada kritikan dan pelbagai aduan pelanggan terhadap mutu kerja.

Budaya ‘senyum selalu’ dan mesra pelanggan perlulah diamalkan supaya kualiti kerja dapat ditingkatkan. Perlu ada usaha meningkatkan mutu perkhidmatan dari semasa ke semasa dan peka suasana tempat kerja.

Elakkan menggunakan waktu kerja di tempat minum dengan menggunakan masa yang lama. Keadaan ini masih menjadi budaya dan amalan seharian.

Kurangkan kerenah birokrasi apabila pelanggan berurusan. Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, pernah menyuarakan supaya dikurangkan kerenah birokrasi dan amalkan budaya kerja dengan lebih sistematik dan teratur.

Perkembangan dan perubahan yang berlaku dalam bidang pendidikan hari ini haruslah seiring dengan gerak kerja yang berkualiti serta kemantapan pengurusan.

Masyarakat juga sedia maklum kesungguhan dan tanggungjawab guru dalam mendidik anak bangsa amat tinggi. Sudah tentu ini akan meningkatkan persepsi masyarakat terhadap profesion perguruan, sekali gus memartabatkan profesion ini.

AFNAN ADNAN,
Gombak, Selangor.

Usah perbesar isu PTD ke JPN

Berita Harian

SAYA merujuk komen ‘Yang Memahami Guru’ dari Batu Caves, Selangor menerusi ruangan ini pada 4 Julai lalu. Sepatutnya kita semua berfikiran positif dalam menyelami isu ini kerana tujuan Kementerian Pelajaran amat baik.

Jika guru masih mencari pelbagai alasan dan sebab untuk menolak kemasukan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD), selama-lamanya tahap pendidikan negara tidak akan berkembang.

Menteri Pelajaran beberapa kali memberi jaminan bahawa guru tidak perlu risau mengenai kenaikan pangkat kerana kementerian akan menambahkan bilangan jawatan sedia ada untuk menjamin peluang itu.

Jika perkara ini sentiasa dibangkitkan oleh guru sebagai alasan, saya ingin bertanya apakah mereka tidak mempercayai atau tidak yakin dengan jaminan yang dibuat oleh Menteri Pelajaran.

Saya berharap isu ini tidak lagi diperbesarkan kerana apa yang kita perlu buat adalah tunggu dan lihat perubahan yang bakal dilaksanakan pegawai PTD yang diserapkan ke Jabatan Pelajaran Negeri (JPN).

D ari segi pentadbiran, kita mungkin tidak akan mendengar lagi keluhan guru yang baru bertugas tidak mendapat gaji selama enam bulan, isu pelantikan, kenaikan pangkat serta pertukaran dan sebagainya.

Isu peruntukan tidak cukup, keadaan sekolah daif serta surat menyurat hilang sepatutnya tidak timbul lagi pada alaf baru ini. Sama-samalah kita fikirkan.

ORANG TENGAH,
Sungai Buloh, Selangor.

04 July 2007

Kemasukan PTD jejas peluang guru

Berita Harian

MULAI bulan ini, Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) ditempatkan di semua Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) yang selama ini diurus sepenuhnya oleh guru (Pegawai Perkhidmatan Pendidikan).

Masyarakat juga sedia maklum yang semua kesatuan guru menentang kemasukan PTD ke JPN. Antara sebab utama kesatuan guru menentang kemasukan PTD adalah ia memberi beberapa implikasi kepada profesion perguruan.

Antaranya, ia akan menutup peluang guru untuk naik pangkat. Kalau semua jawatan dalam jabatan diisi oleh PTD, bagaimana peluang guru untuk naik pangkat dan mengisi jawatan dalam jabatan?

Ia akan menjatuhkan motivasi guru untuk bekerja dengan gigih dan tekun. Semangat mereka akan jatuh kerana menyedari peluang mereka naik pangkat sudah tiada disebabkan peluang untuk menjawat jawatan dalam jabatan dirampas oleh PTD.

Implikasi kedua adalah peranan guru sebagai pembuat dasar pendidikan negara akan terhapus. Ia secara tidak langsung menjatuhkan kualiti pendidikan negara sekiranya peranan itu diambil alih oleh PTD, sedangkan pihak yang layak membuat dan menggubal dasar pendidikan negara adalah guru.

Hanya guru yang memahami apa yang diperlukan dalam membentuk sesuatu modal insan. Apa PTD tahu dalam membentuk modal insan?

Gurulah yang selama ini mendidik anak bangsa. Mereka yang selama ini setiap hari mendidik anak bangsa dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) dalam kelas. Mereka juga bukan setakat mengajar, malah mengurus disiplin pelajar, mengurus bilik darjah, mengurus aktiviti kokurikulum, di samping terbabit dalam pengurusan dan kewangan sekolah.

Mereka saja yang tahu masalah sebenar di sekolah. Mereka saja yang tahu apa yang sesuai dalam membentuk dasar pendidikan negara dan layak membuat dan membentuk dasar pendidikan negara.

YANG MEMAHAMI GURU,
Batu Caves, Selangor.

24 June 2007

Kemasukan pegawai PTD dalam JPN ditangguh

Utusan Online

Oleh: S. ANAND KUMAR

KUALA LUMPUR 23 Jun – Kementerian Pelajaran telah menangguhkan kemasukan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) Gred M48 dan M52 ke dalam Jabatan Pelajaran Negeri (JPN).

Keputusan itu dicapai dalam satu pertemuan di antara Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Noh Omar dengan 26 pemimpin Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) hari ini.

Bagaimanapun, penempatan PTD Gred M41 dan M44 di kesemua JPN sudah dimulakan sejak minggu lalu.

Mingguan Malaysia difahamkan, PTD Gred M48 dan M52 akan memegang jawatan ketua sektor manakala Gred M41 dan M44 bertugas di bahagian pengurusan, perjawatan dan pembangunan.

Perbincangan lebih dua jam yang bermula kira-kira pukul 10 pagi di Wisma NUTP itu dikatakan agak ‘panas’ apabila pelbagai pandangan diutarakan mengenai penempatan PTD dalam JPN.

Bagaimanapun, menurut Noh, perbincangan itu berlangsung dalam suasana yang harmoni.

“Setelah berbincang dengan NUTP mengenai pelbagai perkara berhubung isu berkenaan, maka kementerian bersetuju untuk menangguhkan penempatan PTD Gred M48 dan M52 dalam JPN buat sementara waktu.

“Kami di peringkat kementerian akan sentiasa mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan pihak NUTP mengenai penempatan PTD kerana mereka (NUTP) mewakili golongan pendidik di negara ini,” katanya selepas pertemuan dengan NUTP itu.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom; Presiden NUTP, Anuar Ibrahim dan Setiausaha Agung NUTP, Lok Yim Pheng.

April lalu, semua kesatuan, pertubuhan dan badan dalam perkhidmatan pelajaran menolak kemasukan PTD dalam JPN kerana ia boleh menyekat kenaikan pangkat guru.

Wakil-wakil kesatuan dan persatuan yang mempunyai kira-kira 500,000 ahli seluruh negara itu sebulat suara membantah kemasukan PTD yang disifatkan menimbulkan situasi janggal kerana pegawai berkenaan tidak berpengalaman menerajui JPN.

Pada masa sama, mereka menyifatkan kemasukan tersebut juga seolah-olah menolak keupayaan guru untuk memegang jawatan tinggi dalam JPN.

Noh seterusnya berkata, NUTP tidak mempunyai halangan dengan penempatan PTD Gred M41 yang mempunyai 78 jawatan dan M44 dengan 15 jawatan.

Katanya, keputusan untuk menangguhkan PTD Gred M48 dan M52 dilakukan kerana kesatuan itu mahu melihat perkembangan kerja yang akan dilakukan oleh PTD Gred M41 dan M44.

‘‘Selepas itu, kami (kementerian) akan mendapat pandangan daripada NUTP untuk penempatan PTD yang seterusnya. Bagi Gred M48 dan M52 sebanyak 14 jawatan ditawarkan,’’ katanya.

Sementara itu, Noh berkata, beliau akan memaklumkan kepada Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengenai penangguhan penempatan PTD Gred M48 dan M52.

Keberkesanan letak PTD akan dinilai: Noh

Berita Harian


Penempatan pegawai M52, M48 ditangguh untuk lihat maklum balas

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran semalam memutuskan untuk menangguhkan sementara penempatan Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) gred M52 dan M48 bagi menjawat jawatan kanan di Jabatan Pelajaran Negeri (JPN).

Timbalan Menterinya, Datuk Noh Omar, bagaimanapun berkata perbincangan dengan wakil 26 kesatuan perguruan serta pendidikan, semalam mencapai kata sepakat membenarkan PTD gred M44 dan M41 ditempatkan di JPN serta bertugas di beberapa negeri sejak seminggu lalu.

Beliau berkata, keputusan sama ada membenarkan PTD gred M52 dan M48 ditempatkan di JPN akan diputuskan selepas pihaknya menilai keberkesanan penempatan PTD M44 dan M41 di jabatan berkenaan.

“Kita setuju dan tiada halangan membenarkan PTD gred M44 dan M41 ditempatkan di JPN. Bagi PTD gred M48 dan M52 pula, kita bersetuju menangguhkan keputusan dan melihat dulu perkembangan penempatan PTD gred M44 dan M41 di JPN.

“Kementerian Pelajaran besar dan memiliki warga pendidik yang ramai; penempatan PTD gred M44 dan M41 ini langkah pertama dan kita akan melihat bagaimana mereka dapat memahami suasana dan keadaan pentadbiran dan pengurusan di JPN sebelum kita mengambil langkah seterusnya,” katanya ketika mengumumkan hasil perbincangan dua hala dua jam di Wisma NUTP, di sini, semalam.

Noh berkata, pihaknya akan sentiasa berbincang dengan kesatuan perguruan bagi mengenal pasti keberkesanan atau masalah yang timbul menerusi penempatan PTD gred M41 atau M44 sebelum membuat keputusan sama ada PTD gred M52 dan M48 dapat ditempatkan di JPN.

Penempatan penjawat PTD gred M44 dan M41 di JPN sudah dilakukan sejak awal bulan ini.

Kementerian Pelajaran pada Februari lalu mengumumkan PTD akan ditempatkan di JPN dalam penstrukturan semula jabatan berkenaan secara berperingkat.

Dalam penstrukturan semula JPN, jawatan tertinggi untuk perkhidmatan PTD di JPN ialah Ketua Sektor Khidmat Pengurusan dan Pembangunan (gred M52 atau M48), diikuti beberapa pegawai pada gred M41.

Keputusan itu dibantah kesatuan perguruan dan perkhidmatan pendidikan yang menyifatkan tindakan itu akan menjejaskan peluang kenaikan pangkat guru selain dikhuatiri PTD yang dihantar tidak berpengalaman dalam selok-belok pengurusan dan pentadbiran JPN.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Anuar Ibrahim, berkata pihaknya menyambut baik keputusan penangguhan itu dan akan melihat perkembangan penempatan PTD gred M44 dan M41 di JPN.

“Jika ia tidak dapat diterima, kita akan mengadakan perbincangan untuk membuat penambahbaikan,” katanya.

22 June 2007

Penempatan PTD dibantah

Berita Harian


KUALA LUMPUR: Penempatan pegawai tadbir diplomatik (PTD) di beberapa Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) sejak minggu lalu, menerima bantahan kesatuan guru yang menyangka langkah berkenaan ditangguhkan hingga persetujuan dicapai dengan Kementerian Pelajaran.

Difahamkan, PTD terbabit dilantik ke jawatan Ketua Sektor (gred M52 dan M48) di JPN Johor, Perak dan Selangor, manakala M48 di Terengganu serta Kelantan, beberapa hari lalu.

Sementara itu, dua PTD turut ditempatkan di JPN seluruh negara bagi mengisi jawatan Ketua Unit (M41), minggu lalu.

Presiden Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Sabri Mohd Arshad, berkata kementerian sebelum ini memaklumkan penangguhan sementara kemasukan PTD ke JPN, selain meminta kerjasama kesatuan supaya tidak membuat kenyataan akhbar.

Katanya, bagaimanapun PTD sudah mula ditempatkan ke JPN mula minggu lalu dan ia memberi gambaran guru hanya layak mengajar di kelas dan bukan memegang jawatan pengurusan dan pentadbiran.

16 May 2007

Kongres mahu guru besar dapat pembelaan

Berita Harian


KEMASUKAN kakitangan daripada Perkhidmatan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) ke Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) sudah ditangguhkan Kementerian Pelajaran selepas Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengadakan pertemuan dengan beberapa wakil Kesatuan Perkhidmatan Pendidikan Kebangsaan (KPPK) bulan lalu.

Hishammuddin menyatakan keputusan seterusnya bergantung kepada hasil perbincangannya dengan pihak atasan tetapi beliau tidak menyatakan pihak atasan itu adalah Jabatan Perkhidmatan Awam atau Jabatan Perdana Menteri.

Jika Kementerian Pelajaran berkeras meneruskan kemasukan PTD (Skim M) ke JPN, Kongres Kesatuan dalam Perkhidmatan Pendidikan (Kongres) yang menaungi lapan kesatuan guru dan pegawai perkhidmatan pendidikan, sedia bertolak ansur.

Kongres menolak jawatan M52 atau M48 yang diperuntukkan kepada PTD untuk Ketua Sektor kerana guru dan pegawai perkhidmatan pendidikan tidak mahu mempunyai ketua daripada skim PTD. Presidennya, Jemali Paiman, berkata Kongres bersetuju jika Kementerian Pelajaran mahu melantik PTD pada Gred M41 atau M44, iaitu sebagai pembantu kepada ketua sektor daripada skim perkhidmatan pendidikan (skim DG). Kongres menolak jika PTD menjadi ketua sektor dan melapor terus kepada Pengarah Pelajaran Negeri.

Dalam penstrukturan semula JPN, PTD bukan saja akan dilantik sebagai Ketua Sektor Khidmat Pengurusan dan Pembangunan, bahkan keseluruhan sektor itu dianggotai tujuh lagi pegawai bawahan daripada Perkhidmatan PTD. Ketua Sektor Khidmat Pengurusan dan Pembangunan diberi Gred M52 atau M48 (bergantung kepada gred JPN), diikuti pegawai pada Gred M41 dan M44.

"Meskipun PTD diterima masuk ke JPN, ini akan menimbulkan kejanggalan kerana guru atau pegawai di JPN perlu ditemuduga oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran bagi kenaikan pangkat sedangkan kenaikan gaji PTD diproses oleh JPA atau Suruhanjaya Perkhidmatan Awam. Mereka bertugas di tempat sama tetapi dinilai oleh pihak yang berbeza," kata Jemali ketika dihubungi di Ipoh, baru-baru ini.

Keadaan itu menjadi ‘duri dalam daging’ kepada pegawai skim DG kerana jelas PTD mempunyai laluan mudah mendapat gred jawatan tinggi sedangkan penjawat skim DG perlu melalui pelbagai prosedur untuk kenaikan pangkat. Satu contoh pilih kasih untuk kenaikan pangkat ini berlaku kepada 20 pengetua sekolah menengah yang sepatutnya diberi Gred DG48 tetapi hanya memangku DG44 atau DG41 sejak enam tahun lalu.

Masalah itu bermula pada 2000 dan 2001 selepas 200 pengetua yang dilantik sebagai pengetua sekolah menengah Gred A dan Gred B. Pada 2001, Kementerian Pendidikan (ketika itu) mengisytihar semua sekolah menengah sebagai sekolah Gred A (tiada lagi sekolah menengah Gred B) sekali gus menjadikan gred pengetua sebagai DG48.

Selepas pertukaran daripada Sistem Saraan Baru (SSB) kepada Sistem Saraan Malaysia (SSM), wujud gred jawatan baru iaitu DG44 dan sebahagian besar daripada pengetua berkenaan diserap ke JPN atau Pejabat Pelajaran Daerah, manakala sebahagian lagi ditawarkan sebagai penolong kanan.

Seramai 20 pengetua yang dianggap cemerlang dikekalkan kerana mempunyai Sijil Kelayakan Kepengetuaan Kebangsaan dari Institut Aminudin Baki. Mereka dijanjikan diberi keutamaan untuk kenaikan pangkat ke Gred DG48 menerusi program 'fast track'.

Selepas enam tahun menelefon, surat-menyurat, rayuan dan perjumpaan serta mesyuarat dengan pelbagai pihak, janji tidak ditunaikan. Pengetua ini kerugian dari segi kenaikan pangkat, hak jawatan, keadilan dalam kerjaya kerana gred jawatan mereka masih pada DG41 atau DG44 walaupun semua pengetua lain pada DG48.

Akhirnya, Bahagian Sumber Manusia Kementerian Pelajaran menghantar surat kepada lapan pengetua ini mengatakan mereka memangku Gred DG44 atau DG48 berkuat kuasa 1 Mac lalu. Ini sekali gus menjadikan pengorbanan mereka sebagai pengetua sejak 2001 sia-sia kerana kenaikan gred baru hanya bermula Mac 2007.

Dua pengetua daripada kumpulan ini sudah bersara pada Gred DG41 kerana mereka enggan menduduki Penilaian Tahap Kecekapan atas alasan sudah berusia. Yang lain masih mempunyai kira-kira 10 tahun sebelum bersara dan hak mereka seolah-olah dinafikan oleh Bahagian Sumber Manusia.

Daripada kumpulan pengetua yang tidak mendapat Gred DG48 ini; di Pahang ada enam pengetua pada DG44 dan dua pada DG41; di Selangor empat pengetua DG44 dan seorang DG41; di Labuan, dua pengetua pada DG44 dan di Terengganu seorang pengetua DG44.

Bagi mereka sambutan Hari Guru setiap 16 Mei tidak menggambarkan apa-apa nilai.

Bagi mereka, impian Hari Guru yang disambut hari ini ialah pengorbanan mereka berkhidmat dalam sektor pendidikan dihargai menerusi imbuhan yang lebih setimpal.

Setiausaha Agung KPPK, Lok Yek Pheng, berkata, pihaknya sudah mengemukakan rayuan kepada Bahagian Sumber Manusia, Kementerian Pelajaran bagi pihak pengetua berkenaan mendapatkan tunggakan elaun dan gaji.

Satu lagi 'kekalutan' dalam perkhidmatan pendidikan ialah lepasan diploma yang melanjutkan pengajian di peringkat ijazah dan diterima ke Gred DG41 hilang kekananan mereka. Ini bermakna guru yang sudah berkhidmat berbelas tahun terpaksa bersaing semula dengan graduan muda yang baru tamat pengajian dan menyertai perkhidmatan pendidikan.

Gred kemasukan bagi graduan baru ialah DG41. Pengalaman guru lama dalam selok-belok pengajaran dan hal ehwal murid tidak diambil kira walaupun mereka mempunyai kekananan dalam gred jawatan sebelum ini.

Dengan kata lain, guru bekas lulusan diploma (yang kini mempunyai ijazah) berusia antara 35 hingga 45 tahun perlu bersaing dengan guru baru (berusia dalam lingkungan 25 tahun).

Jemali meminta Kementerian Pelajaran dan SPP menimbang keadaan kurang sihat yang berlaku dalam perkhidmatan pendidikan itu. Kongres juga meminta guru besar sekolah rendah kini diberi gred maksimum DG34 dipertimbang ke jawatan baru DG36, DG38 dan DG40.

Guru besar sekolah rendah dan penyelia di JPN atau PPD tidak mempunyai peluang mendapat gred lebih tinggi daripada DG34 kerana mereka tidak mempunyai ijazah. Sebaliknya, guru siswazah biasa dengan DG41 berpeluang memohon kenaikan pangkat ke DG48 atau DG52 (selepas mereka berada pada Gred DG44 secara 'time-based).

Guru siswazah boleh memohon jawatan Guru Cemerlang atau Pengetua Cemerlang tetapi Kementerian Pelajaran tidak menyediakan skim guru besar cemerlang. Kongres meminta Kementerian Pelajaran mempertimbang kenaikan gred jawatan kira-kira 7,000 guru besar sekolah rendah dan 2,297 penyelia di JPN atau PPD daripada DG34 sekarang kepada gred lebih tinggi.

17 April 2007

30 bekas pengarah bantah PTD

Sumber : Utusan Online


Pendapat
KAMI yang menandatangani surat ini berasa terdesak dan terpanggil untuk menyuara perasaan dukacita kami atas isu cadangan Kementerian Pelajaran membawa masuk Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) ke dalam Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).

Isu ini menjadi kontroversi besar dan telah ditolak oleh persatuan dan badan-badan perguruan yang mewakili lebih 500,000 orang guru-guru seluruh negara.

Kami sangat faham dan simpati dengan mereka kerana kami adalah pegawai-pegawai kanan yang pernah mentadbir dan mengurus pendidikan selama puluhan tahun, baik sebagai ketua pengarah atau timbalan ketua pengarah, pengarah bahagian di kementerian ataupun sebagai pengarah-pengarah jabatan negeri. Oleh itu kami bukanlah bercakap mengikut sumber kedua atau ketiga tetapi daripada pengalaman yang meluas dan mendalam dalam soal pengurusan pendidikan secara hand-on di tanah air.

Sejak 50 tahun pentadbiran sistem pelajaran negara telah diurus dengan cekap dan berkesan diterajui bersama di kementerian dan sepenuhnya di negeri oleh pegawai pelajaran dan hasilnya diakui UNESCO sebagai sistem bertaraf dunia dan dijadikan contoh kepada negara lain. Hakikat ini menafikan persepsi PTD bahawa pihak pegawai pelajaran kurang cekap dalam bidang pengurusan, kewangan dan pembangunan pelajaran dan belum pernah satu kajian empirikal dilakukan untuk menguatkan hujah negatif PTD ini.

Kementerian Pendidikan merupakan sebuah kementerian yang integrated atau bersepadu dalam erti kata ia ditadbir oleh dua kelompok perkhidmatan pengurusan iaitu pentadbiran am oleh PTD dan pengurusan profesional oleh pegawai pelajaran (PP). Ada lain-lain kementerian yang juga berbentuk kementerian integrated antaranya, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pertanian. Dari rekod pengalaman sejak zaman Allahyarham Aminuddin Baki lagi, operasi kementerian integrated ini khasnya Kementerian Pendidikan tidak berjalan secara memuaskan. Sering timbul pergeseran di antara PTD dan kumpulan PP dalam soal-soal perbezaan cara perlaksanaan dasar, perspektif pengurusan dan usaha perluasan sayap PTD mengambil alih jawatan-jawatan empuk yang dipegang PP.

Di samping itu, PP selalu berasa pegawai-pegawai PTD bersikap meninggi diri dan memandang rendah walaupun gred jawatan kadang-kadang tidak seberapa apabila melayani pegawai-pegawai kanan bahagian profesional. Ini disebabkan pegawai-pegawai PTD ini tahu bahawa mereka memegang kuasa di dalam bidang kewangan, sumber manusia dan mereka mendapat sokongan daripada agensi pusat. Sikap ‘‘Superiority Complex’’ PTD inilah yang selalu mengeruh hubungan di antara dua golongan itu.

Bidang kewangan dan sumber manusia merupakan portfolio yang amat penting dan amat strategik dalam sesuatu organisasi dan penyandangnya memegang kuasa dan pengaruh yang amat besar. Oleh itu, berdasarkan carta yang dicadangkan kita menjangka pengarah pendidikan akan terpaksa tunduk kepada pegawai-pegawai PTD yang akan cuma menerima arahan daripada KSU ataupun JPA. Ini kerana mereka tahu peningkatan karier mereka atau masa depan periuk nasi mereka bergantung di situ. Dengan cara bypassing pengarah pendidikan, mereka akan melemahkan JPN dan seterusnya kredibiliti pengarah sendiri akan terhakis. Jelas di sini, kita seolah-olah tidak belajar daripada pengalaman suasana ketidakharmonian yang wujud dalam kementerian apabila kerajaan memanjangkan bentuk dan sistem itu ke negeri dengan menjadikan JPN seolah-olah satu mini kementerian bersepadu dengan segala masalah-masalahnya.

Mengembangkan

Usaha PTD mengembangkan sayapnya di kementerian dan Jabatan Pendidikan sudah digerakkan sejak 1970-an lagi, tetapi telah dibantah keras oleh pihak PP. Puluhan memo telah dikirim kepada kerajaan, walaupun beberapa jawatan penting terpaksa kehilangan juga seperti bahagian biasiswa, bahagian luar negeri, jabatan penuntut-penuntut seberang laut, bahagian buku teks dan akhir-akhir sekali (paling buruk dan mendukacitakan) Wakil Tetap UNESCO. Usaha-usaha mengembang sayap ke JPN telah berjaya disanggah sehingga hari ini. Anehnya, semua jawatan yang PTD mahu rebut daripada perkhidmatan profesional adalah jawatan-jawatan naik pangkat ataupun jawatan-jawatan yang dicadang untuk dinaik pangkat. Juga apabila PTD masuk berkhidmat semua pegawai dan staf sokongan akan turut diperuntukkan sebagai pegawai penyokong. Umpamanya, dalam struktur baru JPN, dengan melonggokkan beban tugas yang dulu dijalankan oleh PP, segala pegawai sokongan telah diletakkan termasuk pegawai akauntan sebagai menjustifikasi naik pangkat bagi PTD. Dari segi pandangan kami, cara ini tidaklah adil kerana dengan perjawatan yang lengkap seperti itu, Jabatan Pendidikan tidak perlu mempunyai seorang pegawai PTD. Malahan seorang pegawai kanan pendidikan yang arif mengenai pengurusan pendidikan dan juga mendapat latihan yang secukupnya dan tahu berkenaan environment kerja dapat menjalankan kerja itu dengan lebih licin.

Tentang kedudukan jawatan-jawatan naik pangkat bagi pegawai-pegawai pendidikan adalah tidak benar mengatakan kemasukan pegawai-pegawai PTD tidak merugikan peluang naik pangkat bagi pegawai PP. Sebenarnya, peluang naik pangkat bagi PP amat kecil sekali apabila dibandingkan dengan nisbah naik pangkat pegawai PTD kerana bilangan pegawai PP begitu besar sekali.

Akhir sekali, kami meminta kerajaan tidak harus memandang ringan seruan dan suara hati masyarakat guru yang bilangannya dan kepentingannya begitu besar. Mereka memain peranan penting dalam masyarakat, dan telah menjadi penyokong yang setia kepada kerajaan dan parti kerajaan. Sekarang ini pun, ramai daripada mereka, baik yang berkhidmat mahupun yang bersara memendam perasaan ‘‘kecil hati’’ dan dukacita yang amat atas beberapa program baru dalam pelaksanaan dasar pendidikan kebangsaan. Kami berharap hasrat kerajaan terkini ini tidak akan menambah luka di hati mereka.

* KUMPULAN 30 bekas Pengarah Pelajaran Kementerian dan Negeri diketuai oleh Datuk Omar Hashim, bekas Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran

09 April 2007

Polemik kemasukan PTD dalam JPN perlu diselesai

Sumber : Berita Harian


POLEMIK mengenai kemasukan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) ke dalam sistem Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) perlu diselesaikan menerusi rundingan. Moral guru dan pegawai dalam perkhidmatan pendidikan (Skim DG) kini pada tahap terendah selepas Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Ahamad Sipon memaklumkan pengambilan PTD di JPN bermula bulan ini.


Dr Ahamad sebagai jurutera yang memasuki Skim DG (menerusi Bahagian Teknikal dan Vokasional) dilihat tidak peka dengan pengorbanan guru di seluruh negara. Skim DG membabitkan lebih 330,000 guru di kira-kira 9,500 sekolah dan pegawai di Pejabat Pelajaran Daerah serta Jabatan Pelajaran Negeri. Mereka inilah yang menentukan kelancaran sistem pendidikan rendah dan menengah yang kini meliputi kira-kira 5.2 juta pelajar.

Kongres Kesatuan Sekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta Kementerian Pelajaran terutama Dr Ahamad dan Ketua Setiausahanya, Datuk Dr Zukurnain Awang mengadakan pertemuan dengan semua kesatuan yang mewakili guru. Presiden Cuepacs, Omar Osman, berkata tindakan kementerian itu yang tidak mendapatkan pandangan kesatuan sebelum memutuskan untuk memasukkan PTD (Skim M) ke dalam JPN menyebabkan bantahan menyeluruh daripada guru.

“Jika keputusan ini dirunding dengan kesatuan terlebih dulu, tentu tidak timbul masalah,” katanya. Kesatuan Perkhidmatan Pendidikan Kebangsaan (NUTP) pula menerima kenyataan Dr Ahamad untuk tidak menangguhkan, sebaliknya meneruskan pengambilan PTD bermula bulan ini sebagai hak pihak atasan dalam pentadbiran.

Bagaimanapun, Presiden NUTP, Anuar Ibrahim menyifatkan tindakan itu sebagai ‘tidak sayang cikgu’. Beliau menerima beratus-ratus Sistem Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) pada Rabu lalu, ketika kenyataan Dr Ahamad disiarkan akhbar. Semua SMS berkenaan menyatakan kekecewaan mereka dengan keputusan Dr Ahamad.

Pengarah Pelajaran Perak, Datuk Mohammed Zakaria Mohd Noor, berkata usaha memartabatkan pendidikan di negara ini memerlukan perubahan, perancangan sistematik dan menyeluruh.

“Bagi menghadapi cabaran yang kian mendesak, amat wajar kerjasama di kalangan semua pihak digembleng seperti yang terkandung dalam Pelan Tindakan Pembangunan Pendidikan,” katanya di Ipoh, Perak.

Namun, statistik sebelum ini menunjukkan penjawat Skim DG kehilangan banyak peluang kenaikan pangkat, walaupun sebelum JPN distruktur semula. Kehilangan jawatan untuk pegawai perkhidmatan pendidikan berlaku ketika perubahan daripada Sistem Saraan Baru (SSB) kepada Skim Saraan Malaysia (SSM) pada 1993.

Antaranya jawatan di Bahagian Biasiswa, Bahagian Pembangunan dan Bekalan serta Bahagian Sumber Manusia. Selepas tahun berkenaan, empat jawatan dikhaskan untuk PTD di Lembaga Peperiksaan Malaysia membabitkan Gred M44 (dua penjawat), M48 dan 52. Ia menyebabkan kehilangan 11 peluang kenaikan pangkat bagi penjawat Skim DG (daripada gred 44 hingga 52).

Jemaah Nazir, satu lagi jabatan di bawah Kementerian Pelajaran juga ditembusi penjawat M44, M48 dan M52 selepas SSM diperkenal. Sebelum ini, semua jawatan berkenaan hanya terbuka untuk Skim DG. Beberapa jawatan dalam skim DG sekali lagi dilupuskan selepas Kementerian Pendidikan dipecahkan kepada dua pada 2004, menerusi penubuhan Kementerian Pengajian Tinggi.

Pegawai Perkhidmatan Pendidikan bimbang jika PTD menguasai JPN, selepas ini penjawat Skim M juga diberi peluang dalam Pejabat Pelajaran Daerah dan dilantik sebagai Pengetua sekolah menengah. Pengalaman sebelum ini menunjukkan PTD yang memasuki Lembaga Pertubuhan Peladang ‘dihalau’ kerana mereka didapati tidak mempunyai pengetahuan dalam aspek pertanian.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) juga pernah merangka untuk memasukkan PTD sebagai Pengarah Hospital di seluruh negara, tetapi impian mereka berkubur selepas pegawai perubatan memboikot semua penjawat Skim M sedia ada di Kementerian Kesihatan. Seorang penjawat awam memaklumkan, PTD sudah mempunyai pelbagai ‘kemewahan’ dalam perkhidmatan mereka seperti cuti bergaji penuh jika melanjutkan pengajian di luar negara, ditambah pula dengan biasiswa kerajaan.

Penjawat M41 juga akan mendapat kenaikan pangkat ke M48 selepas lima hingga tujuh tahun berkhidmat dan akhirnya bersara pada DG52 atau Jawatan Utama Sektor Awam (Jusa). Tetapi, guru yang mempunyai ijazah sarjana muda (dengan kepujian) hanya pencen dengan DG48 selepas berkhidmat selama 30 tahun.

Kebolehan pentadbiran dan pengurusan pegawai perkhidmatan pendidikan dari Skim DG tidak sepatutnya dipertikai kerana selain pengalaman di sekolah, kebanyakan mereka mempunyai ijazah lanjutan. Pegawai ini memiliki ilmu terkini menerusi kelayakan ijazah sarjana dan ijazah doktor falsafah (PhD) dalam pelbagai pengkhususan.

19 March 2007

PTD ke JPN: NUTP perlu positif

Sumber : Utusan Online

Oleh: HASNURUL MOHAMED

JOHOR BAHRU 18 Mac – Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) perlu bersikap positif berhubung cadangan penstrukturan semula Jabatan Pelaja- ran Negeri (JPN) yang bakal diterajui pegawai Perkhidmatan Tadbir Diplomatik (PTD).

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Noh Omar menegaskan, kemasukan pegawai PTD ke dalam JPN tidak akan menghalang kenaikan pangkat mana-mana Pengarah Pelajaran Negeri ataupun menggugat masa depan lebih 350,000 guru di negara ini.

‘‘NUTP perlu rasional dalam soal ini kerana penstrukturan JPN sudah dicadangkan sejak bertahun-tahun lamanya. Ia hanya akan terlaksana di bawah Menteri Pelajaran sekarang dan dibuat secara serentak di seluruh negara,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan NUTP yang akan menghantar memorandum bantahan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berhubung cadangan meletakkan pegawai PTD menerajui JPN.

Noh ditemui selepas majlis penutupan Ekspo Pendidikan Negeri Johor 2007 di Plaza Angsana di sini hari ini.

Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sumber Manusia, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Zainal Abidin Osman serta Ahli Parlimen Parit Sulong merangkap Pengerusi Gerakan Belia 4B Negeri Johor, Syed Hood Syed Edros.

Noh seterusnya berkata, NUTP juga tidak harus melihat kepada jumlah pegawai PTD yang akan diletakkan dalam JPN, sebaliknya kesatuan itu perlu melihat dari aspek keperluan penstrukturan semula di jabatan-jabatan pelajaran negeri.

Katanya, apa yang pasti ialah bilangan guru akan melebihi pegawai PTD, malah penstrukturan semula itu akan membuka lebih banyak peluang kenaikan pangkat.

‘‘Apabila pegawai PTD berada dalam JPN, hal-hal berkaitan pengurusan dan kewangan akan dilakukan oleh mereka (PTD) kerana mereka lebih arif dan profesional dalam bidang tersebut.

‘‘Saya menyeru kepada NUTP supaya melihat kebaikan yang bakal dinikmati kelak dan bukannya melihat dari aspek apa yang pegawai PTD dapat,” ujarnya.

Menurut Noh, jika usaha penstrukturan semula JPN itu memerlukan pindaan akta, pihak Kementerian Pelajaran akan melakukannya.

06 March 2007

‘PPN, PPD kekal diketuai pegawai pendidikan‘

PUTRAJAYA: Akta Pendidikan 1996 akan dipinda bagi menetapkan jawatan Pengarah Pelajaran Negeri (PPN) dan Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) diketuai pegawai perkhidmatan pendidikan atau guru, kata Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Beliau berkata, pindaan yang akan dibentangkan di Parlimen tahun ini adalah bagi menjelaskan lagi peraturan yang termaktub dalam carta struktur organisasi JPN yang sudah diluluskan kerajaan.

"Jawatan Pengarah Pelajaran Negeri dan Pegawai Pendidikan Daerah terus kekal diketuai pegawai perkhidmatan pendidikan atau guru... tidak akan wujud sebarang perubahan dalam perkara ini," katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Baru-baru ini, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) membantah tindakan Kementerian Pelajaran melantik Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) ke jawatan tinggi di Jabatan Pelajaran Negeri (JPN).

Setiausaha Agung NUTP, Lok Yim Pheng, menganggap kemasukan PTD mengetuai sektor perkhidmatan pengurusan dan pembangunan dengan gred M52 dan diletakkan di bawah Pengarah Pelajaran negeri, sebagai tidak wajar.

Awal Februari lalu, Kementerian Pelajaran mengumumkan penambahan 518 jawatan baru pegawai siswazah di JPN dan buat pertama kali membuka perjawatan JPN kepada PTD.



Hishammuddin berkata, Kementerian Pelajaran juga dalam proses melaksanakan penstrukturan fasa kedua JPN bagi mewujudkan keseragaman arahan dan kawalan serta memberi tanggungjawab penuh kepada Pengarah dan Timbalan Pengarah JPN.

Katanya, tiada pegawai boleh dikeluarkan daripada JPN dalam proses penstrukturan fasa kedua itu yang turut membabitkan jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma (PPPLD)/Guru dan kakitangan sokongan lain.

"Dalam proses penstrukturan semula ini pegawai terbabit boleh dipindahkan ke sektor dan unit lain atau kekal secara pentadbiran di jawatan lama sehingga berlakunya kekosongan bagi jawatan tertentu.

"Pengecualian diberikan kepada mana-mana pegawai yang ingin berpindah atas pilihan sendiri, perpindahan kerana kenaikan pangkat atau pegawai yang dikenalpasti tidak menunjukkan prestasi yang baik," katanya.

Sehubungan itu, Hishammuddin meminta warga pendidik menghubungi terus Bahagian Sumber Manusia Kementerian Pelajaran atau KPN jika mempunyai sebarang pertanyaan atau kemusykilan berhubung proses penstrukturan itu.

"Kita tidak mahu ada pihak yang terkeliru dengan andaian dan spekulasi yang dibuat tanpa berasaskan fakta," katanya.