24 June 2007

Keberkesanan letak PTD akan dinilai: Noh

Berita Harian


Penempatan pegawai M52, M48 ditangguh untuk lihat maklum balas

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran semalam memutuskan untuk menangguhkan sementara penempatan Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) gred M52 dan M48 bagi menjawat jawatan kanan di Jabatan Pelajaran Negeri (JPN).

Timbalan Menterinya, Datuk Noh Omar, bagaimanapun berkata perbincangan dengan wakil 26 kesatuan perguruan serta pendidikan, semalam mencapai kata sepakat membenarkan PTD gred M44 dan M41 ditempatkan di JPN serta bertugas di beberapa negeri sejak seminggu lalu.

Beliau berkata, keputusan sama ada membenarkan PTD gred M52 dan M48 ditempatkan di JPN akan diputuskan selepas pihaknya menilai keberkesanan penempatan PTD M44 dan M41 di jabatan berkenaan.

“Kita setuju dan tiada halangan membenarkan PTD gred M44 dan M41 ditempatkan di JPN. Bagi PTD gred M48 dan M52 pula, kita bersetuju menangguhkan keputusan dan melihat dulu perkembangan penempatan PTD gred M44 dan M41 di JPN.

“Kementerian Pelajaran besar dan memiliki warga pendidik yang ramai; penempatan PTD gred M44 dan M41 ini langkah pertama dan kita akan melihat bagaimana mereka dapat memahami suasana dan keadaan pentadbiran dan pengurusan di JPN sebelum kita mengambil langkah seterusnya,” katanya ketika mengumumkan hasil perbincangan dua hala dua jam di Wisma NUTP, di sini, semalam.

Noh berkata, pihaknya akan sentiasa berbincang dengan kesatuan perguruan bagi mengenal pasti keberkesanan atau masalah yang timbul menerusi penempatan PTD gred M41 atau M44 sebelum membuat keputusan sama ada PTD gred M52 dan M48 dapat ditempatkan di JPN.

Penempatan penjawat PTD gred M44 dan M41 di JPN sudah dilakukan sejak awal bulan ini.

Kementerian Pelajaran pada Februari lalu mengumumkan PTD akan ditempatkan di JPN dalam penstrukturan semula jabatan berkenaan secara berperingkat.

Dalam penstrukturan semula JPN, jawatan tertinggi untuk perkhidmatan PTD di JPN ialah Ketua Sektor Khidmat Pengurusan dan Pembangunan (gred M52 atau M48), diikuti beberapa pegawai pada gred M41.

Keputusan itu dibantah kesatuan perguruan dan perkhidmatan pendidikan yang menyifatkan tindakan itu akan menjejaskan peluang kenaikan pangkat guru selain dikhuatiri PTD yang dihantar tidak berpengalaman dalam selok-belok pengurusan dan pentadbiran JPN.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Anuar Ibrahim, berkata pihaknya menyambut baik keputusan penangguhan itu dan akan melihat perkembangan penempatan PTD gred M44 dan M41 di JPN.

“Jika ia tidak dapat diterima, kita akan mengadakan perbincangan untuk membuat penambahbaikan,” katanya.

No comments: