06 March 2007

‘PPN, PPD kekal diketuai pegawai pendidikan‘

PUTRAJAYA: Akta Pendidikan 1996 akan dipinda bagi menetapkan jawatan Pengarah Pelajaran Negeri (PPN) dan Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) diketuai pegawai perkhidmatan pendidikan atau guru, kata Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Beliau berkata, pindaan yang akan dibentangkan di Parlimen tahun ini adalah bagi menjelaskan lagi peraturan yang termaktub dalam carta struktur organisasi JPN yang sudah diluluskan kerajaan.

"Jawatan Pengarah Pelajaran Negeri dan Pegawai Pendidikan Daerah terus kekal diketuai pegawai perkhidmatan pendidikan atau guru... tidak akan wujud sebarang perubahan dalam perkara ini," katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Baru-baru ini, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) membantah tindakan Kementerian Pelajaran melantik Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) ke jawatan tinggi di Jabatan Pelajaran Negeri (JPN).

Setiausaha Agung NUTP, Lok Yim Pheng, menganggap kemasukan PTD mengetuai sektor perkhidmatan pengurusan dan pembangunan dengan gred M52 dan diletakkan di bawah Pengarah Pelajaran negeri, sebagai tidak wajar.

Awal Februari lalu, Kementerian Pelajaran mengumumkan penambahan 518 jawatan baru pegawai siswazah di JPN dan buat pertama kali membuka perjawatan JPN kepada PTD.



Hishammuddin berkata, Kementerian Pelajaran juga dalam proses melaksanakan penstrukturan fasa kedua JPN bagi mewujudkan keseragaman arahan dan kawalan serta memberi tanggungjawab penuh kepada Pengarah dan Timbalan Pengarah JPN.

Katanya, tiada pegawai boleh dikeluarkan daripada JPN dalam proses penstrukturan fasa kedua itu yang turut membabitkan jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma (PPPLD)/Guru dan kakitangan sokongan lain.

"Dalam proses penstrukturan semula ini pegawai terbabit boleh dipindahkan ke sektor dan unit lain atau kekal secara pentadbiran di jawatan lama sehingga berlakunya kekosongan bagi jawatan tertentu.

"Pengecualian diberikan kepada mana-mana pegawai yang ingin berpindah atas pilihan sendiri, perpindahan kerana kenaikan pangkat atau pegawai yang dikenalpasti tidak menunjukkan prestasi yang baik," katanya.

Sehubungan itu, Hishammuddin meminta warga pendidik menghubungi terus Bahagian Sumber Manusia Kementerian Pelajaran atau KPN jika mempunyai sebarang pertanyaan atau kemusykilan berhubung proses penstrukturan itu.

"Kita tidak mahu ada pihak yang terkeliru dengan andaian dan spekulasi yang dibuat tanpa berasaskan fakta," katanya.

No comments: