16 May 2007

Kongres mahu guru besar dapat pembelaan

Berita Harian


KEMASUKAN kakitangan daripada Perkhidmatan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) ke Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) sudah ditangguhkan Kementerian Pelajaran selepas Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengadakan pertemuan dengan beberapa wakil Kesatuan Perkhidmatan Pendidikan Kebangsaan (KPPK) bulan lalu.

Hishammuddin menyatakan keputusan seterusnya bergantung kepada hasil perbincangannya dengan pihak atasan tetapi beliau tidak menyatakan pihak atasan itu adalah Jabatan Perkhidmatan Awam atau Jabatan Perdana Menteri.

Jika Kementerian Pelajaran berkeras meneruskan kemasukan PTD (Skim M) ke JPN, Kongres Kesatuan dalam Perkhidmatan Pendidikan (Kongres) yang menaungi lapan kesatuan guru dan pegawai perkhidmatan pendidikan, sedia bertolak ansur.

Kongres menolak jawatan M52 atau M48 yang diperuntukkan kepada PTD untuk Ketua Sektor kerana guru dan pegawai perkhidmatan pendidikan tidak mahu mempunyai ketua daripada skim PTD. Presidennya, Jemali Paiman, berkata Kongres bersetuju jika Kementerian Pelajaran mahu melantik PTD pada Gred M41 atau M44, iaitu sebagai pembantu kepada ketua sektor daripada skim perkhidmatan pendidikan (skim DG). Kongres menolak jika PTD menjadi ketua sektor dan melapor terus kepada Pengarah Pelajaran Negeri.

Dalam penstrukturan semula JPN, PTD bukan saja akan dilantik sebagai Ketua Sektor Khidmat Pengurusan dan Pembangunan, bahkan keseluruhan sektor itu dianggotai tujuh lagi pegawai bawahan daripada Perkhidmatan PTD. Ketua Sektor Khidmat Pengurusan dan Pembangunan diberi Gred M52 atau M48 (bergantung kepada gred JPN), diikuti pegawai pada Gred M41 dan M44.

"Meskipun PTD diterima masuk ke JPN, ini akan menimbulkan kejanggalan kerana guru atau pegawai di JPN perlu ditemuduga oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran bagi kenaikan pangkat sedangkan kenaikan gaji PTD diproses oleh JPA atau Suruhanjaya Perkhidmatan Awam. Mereka bertugas di tempat sama tetapi dinilai oleh pihak yang berbeza," kata Jemali ketika dihubungi di Ipoh, baru-baru ini.

Keadaan itu menjadi ‘duri dalam daging’ kepada pegawai skim DG kerana jelas PTD mempunyai laluan mudah mendapat gred jawatan tinggi sedangkan penjawat skim DG perlu melalui pelbagai prosedur untuk kenaikan pangkat. Satu contoh pilih kasih untuk kenaikan pangkat ini berlaku kepada 20 pengetua sekolah menengah yang sepatutnya diberi Gred DG48 tetapi hanya memangku DG44 atau DG41 sejak enam tahun lalu.

Masalah itu bermula pada 2000 dan 2001 selepas 200 pengetua yang dilantik sebagai pengetua sekolah menengah Gred A dan Gred B. Pada 2001, Kementerian Pendidikan (ketika itu) mengisytihar semua sekolah menengah sebagai sekolah Gred A (tiada lagi sekolah menengah Gred B) sekali gus menjadikan gred pengetua sebagai DG48.

Selepas pertukaran daripada Sistem Saraan Baru (SSB) kepada Sistem Saraan Malaysia (SSM), wujud gred jawatan baru iaitu DG44 dan sebahagian besar daripada pengetua berkenaan diserap ke JPN atau Pejabat Pelajaran Daerah, manakala sebahagian lagi ditawarkan sebagai penolong kanan.

Seramai 20 pengetua yang dianggap cemerlang dikekalkan kerana mempunyai Sijil Kelayakan Kepengetuaan Kebangsaan dari Institut Aminudin Baki. Mereka dijanjikan diberi keutamaan untuk kenaikan pangkat ke Gred DG48 menerusi program 'fast track'.

Selepas enam tahun menelefon, surat-menyurat, rayuan dan perjumpaan serta mesyuarat dengan pelbagai pihak, janji tidak ditunaikan. Pengetua ini kerugian dari segi kenaikan pangkat, hak jawatan, keadilan dalam kerjaya kerana gred jawatan mereka masih pada DG41 atau DG44 walaupun semua pengetua lain pada DG48.

Akhirnya, Bahagian Sumber Manusia Kementerian Pelajaran menghantar surat kepada lapan pengetua ini mengatakan mereka memangku Gred DG44 atau DG48 berkuat kuasa 1 Mac lalu. Ini sekali gus menjadikan pengorbanan mereka sebagai pengetua sejak 2001 sia-sia kerana kenaikan gred baru hanya bermula Mac 2007.

Dua pengetua daripada kumpulan ini sudah bersara pada Gred DG41 kerana mereka enggan menduduki Penilaian Tahap Kecekapan atas alasan sudah berusia. Yang lain masih mempunyai kira-kira 10 tahun sebelum bersara dan hak mereka seolah-olah dinafikan oleh Bahagian Sumber Manusia.

Daripada kumpulan pengetua yang tidak mendapat Gred DG48 ini; di Pahang ada enam pengetua pada DG44 dan dua pada DG41; di Selangor empat pengetua DG44 dan seorang DG41; di Labuan, dua pengetua pada DG44 dan di Terengganu seorang pengetua DG44.

Bagi mereka sambutan Hari Guru setiap 16 Mei tidak menggambarkan apa-apa nilai.

Bagi mereka, impian Hari Guru yang disambut hari ini ialah pengorbanan mereka berkhidmat dalam sektor pendidikan dihargai menerusi imbuhan yang lebih setimpal.

Setiausaha Agung KPPK, Lok Yek Pheng, berkata, pihaknya sudah mengemukakan rayuan kepada Bahagian Sumber Manusia, Kementerian Pelajaran bagi pihak pengetua berkenaan mendapatkan tunggakan elaun dan gaji.

Satu lagi 'kekalutan' dalam perkhidmatan pendidikan ialah lepasan diploma yang melanjutkan pengajian di peringkat ijazah dan diterima ke Gred DG41 hilang kekananan mereka. Ini bermakna guru yang sudah berkhidmat berbelas tahun terpaksa bersaing semula dengan graduan muda yang baru tamat pengajian dan menyertai perkhidmatan pendidikan.

Gred kemasukan bagi graduan baru ialah DG41. Pengalaman guru lama dalam selok-belok pengajaran dan hal ehwal murid tidak diambil kira walaupun mereka mempunyai kekananan dalam gred jawatan sebelum ini.

Dengan kata lain, guru bekas lulusan diploma (yang kini mempunyai ijazah) berusia antara 35 hingga 45 tahun perlu bersaing dengan guru baru (berusia dalam lingkungan 25 tahun).

Jemali meminta Kementerian Pelajaran dan SPP menimbang keadaan kurang sihat yang berlaku dalam perkhidmatan pendidikan itu. Kongres juga meminta guru besar sekolah rendah kini diberi gred maksimum DG34 dipertimbang ke jawatan baru DG36, DG38 dan DG40.

Guru besar sekolah rendah dan penyelia di JPN atau PPD tidak mempunyai peluang mendapat gred lebih tinggi daripada DG34 kerana mereka tidak mempunyai ijazah. Sebaliknya, guru siswazah biasa dengan DG41 berpeluang memohon kenaikan pangkat ke DG48 atau DG52 (selepas mereka berada pada Gred DG44 secara 'time-based).

Guru siswazah boleh memohon jawatan Guru Cemerlang atau Pengetua Cemerlang tetapi Kementerian Pelajaran tidak menyediakan skim guru besar cemerlang. Kongres meminta Kementerian Pelajaran mempertimbang kenaikan gred jawatan kira-kira 7,000 guru besar sekolah rendah dan 2,297 penyelia di JPN atau PPD daripada DG34 sekarang kepada gred lebih tinggi.

No comments: