24 June 2007

Kemasukan pegawai PTD dalam JPN ditangguh

Utusan Online

Oleh: S. ANAND KUMAR

KUALA LUMPUR 23 Jun – Kementerian Pelajaran telah menangguhkan kemasukan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) Gred M48 dan M52 ke dalam Jabatan Pelajaran Negeri (JPN).

Keputusan itu dicapai dalam satu pertemuan di antara Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Noh Omar dengan 26 pemimpin Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) hari ini.

Bagaimanapun, penempatan PTD Gred M41 dan M44 di kesemua JPN sudah dimulakan sejak minggu lalu.

Mingguan Malaysia difahamkan, PTD Gred M48 dan M52 akan memegang jawatan ketua sektor manakala Gred M41 dan M44 bertugas di bahagian pengurusan, perjawatan dan pembangunan.

Perbincangan lebih dua jam yang bermula kira-kira pukul 10 pagi di Wisma NUTP itu dikatakan agak ‘panas’ apabila pelbagai pandangan diutarakan mengenai penempatan PTD dalam JPN.

Bagaimanapun, menurut Noh, perbincangan itu berlangsung dalam suasana yang harmoni.

“Setelah berbincang dengan NUTP mengenai pelbagai perkara berhubung isu berkenaan, maka kementerian bersetuju untuk menangguhkan penempatan PTD Gred M48 dan M52 dalam JPN buat sementara waktu.

“Kami di peringkat kementerian akan sentiasa mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan pihak NUTP mengenai penempatan PTD kerana mereka (NUTP) mewakili golongan pendidik di negara ini,” katanya selepas pertemuan dengan NUTP itu.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom; Presiden NUTP, Anuar Ibrahim dan Setiausaha Agung NUTP, Lok Yim Pheng.

April lalu, semua kesatuan, pertubuhan dan badan dalam perkhidmatan pelajaran menolak kemasukan PTD dalam JPN kerana ia boleh menyekat kenaikan pangkat guru.

Wakil-wakil kesatuan dan persatuan yang mempunyai kira-kira 500,000 ahli seluruh negara itu sebulat suara membantah kemasukan PTD yang disifatkan menimbulkan situasi janggal kerana pegawai berkenaan tidak berpengalaman menerajui JPN.

Pada masa sama, mereka menyifatkan kemasukan tersebut juga seolah-olah menolak keupayaan guru untuk memegang jawatan tinggi dalam JPN.

Noh seterusnya berkata, NUTP tidak mempunyai halangan dengan penempatan PTD Gred M41 yang mempunyai 78 jawatan dan M44 dengan 15 jawatan.

Katanya, keputusan untuk menangguhkan PTD Gred M48 dan M52 dilakukan kerana kesatuan itu mahu melihat perkembangan kerja yang akan dilakukan oleh PTD Gred M41 dan M44.

‘‘Selepas itu, kami (kementerian) akan mendapat pandangan daripada NUTP untuk penempatan PTD yang seterusnya. Bagi Gred M48 dan M52 sebanyak 14 jawatan ditawarkan,’’ katanya.

Sementara itu, Noh berkata, beliau akan memaklumkan kepada Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengenai penangguhan penempatan PTD Gred M48 dan M52.

No comments: