Kemasukan PTD jejas peluang guru
Berita Harian
MULAI bulan ini, Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) ditempatkan di semua Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) yang selama ini diurus sepenuhnya oleh guru (Pegawai Perkhidmatan Pendidikan).
Masyarakat juga sedia maklum yang semua kesatuan guru menentang kemasukan PTD ke JPN. Antara sebab utama kesatuan guru menentang kemasukan PTD adalah ia memberi beberapa implikasi kepada profesion perguruan.
Antaranya, ia akan menutup peluang guru untuk naik pangkat. Kalau semua jawatan dalam jabatan diisi oleh PTD, bagaimana peluang guru untuk naik pangkat dan mengisi jawatan dalam jabatan?
Ia akan menjatuhkan motivasi guru untuk bekerja dengan gigih dan tekun. Semangat mereka akan jatuh kerana menyedari peluang mereka naik pangkat sudah tiada disebabkan peluang untuk menjawat jawatan dalam jabatan dirampas oleh PTD.
Implikasi kedua adalah peranan guru sebagai pembuat dasar pendidikan negara akan terhapus. Ia secara tidak langsung menjatuhkan kualiti pendidikan negara sekiranya peranan itu diambil alih oleh PTD, sedangkan pihak yang layak membuat dan menggubal dasar pendidikan negara adalah guru.
Hanya guru yang memahami apa yang diperlukan dalam membentuk sesuatu modal insan. Apa PTD tahu dalam membentuk modal insan?
Gurulah yang selama ini mendidik anak bangsa. Mereka yang selama ini setiap hari mendidik anak bangsa dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) dalam kelas. Mereka juga bukan setakat mengajar, malah mengurus disiplin pelajar, mengurus bilik darjah, mengurus aktiviti kokurikulum, di samping terbabit dalam pengurusan dan kewangan sekolah.
Mereka saja yang tahu masalah sebenar di sekolah. Mereka saja yang tahu apa yang sesuai dalam membentuk dasar pendidikan negara dan layak membuat dan membentuk dasar pendidikan negara.
YANG MEMAHAMI GURU,
Batu Caves, Selangor.
1 comment:
Betul sangat pandangan yg kata peluang guru terjejas. Segelintir saja sahaja guru yang setuju PTD masuk JPN. Mereka yang setuju ini kurang jelas kesan PTD masuk JPN, malah mungkin tidak langsung faham 'bencana'yang akan diterima. Mereka jadi gurupun sebab 'terpaksa'. Sekarang ini bahang 'bencana' dah mula terasa...
Post a Comment