Showing posts with label JUSA. Show all posts
Showing posts with label JUSA. Show all posts

10 December 2009

Lantikan Bekas Pegawai Tinggi K'jaan Sbg Pengerusi Dalam Organisasi Perlu Dihadkan - Dewan Negara

KUALA LUMPUR, 10 Dis (Bernama) -- Kerajaan Khamis disaran supaya mengehadkan jumlah jawatan pengerusi yang dipegang oleh seseorang bekas pegawai tinggi kerajaan dalam organisasi dan agensi kerajaan.

Beberapa senator Dewan Negara berkata pihak-pihak lain yang berkelayakan, termasuk anggota Dewan Negara perlu diberi peluang untuk memegang jawatan tersebut.

Senator Datuk Ridzuan Abd Hamid semasa membahaskan Rang Undang-Undang Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Peruntukan Khas)(Pindaan) 2008 pada persidangan Dewan Negara di sini mendakwa terdapat bekas Ketua Setiausaha Negara dan juga bekas ketua setiausaha (KSU) kementerian yang dilantik sebagai pengerusi 30 hingga 40 syarikat milik kerajaan.

Beliau berkata walaupun tidak menjadi kesalahan untuk melantik bekas pegawai tinggi kerajaan menjawat jawatan pengerusi di sesebuah syarikat, bagaimanapun tempoh mereka berkhidmat hendaklah tidak terlalu panjang dan tidak memegang jawatan pengerusi yang terlalu banyak.

"Jangan bagi terlalu lama, dua tahun hendak sambung setahun lagi oklah, bagi pada orang lain pulak. Banyak lagi bekas KSU yang menunggu, bagi kat seorang sampai 30 ke 40 syarikat tak munasabah," katanya.

"Sudah lama kita perkatakan (perkara ini)," katanya dan turut bertanya adakah orang lain tidak sehebat bekas pegawai tinggi kerajaan dan turut mendakwa penjawat awam telah menikmati pelbagai ganjaran daripada kerajaan.

Sementara itu Senator Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata pelantikan pegawai tinggi kerajaan dalam jawatan tersebut dilihat terlalu ramai sehingga mengetepikan golongan lain yang juga berkemampuan.

Malah, ada bekas pegawai tinggi ini umur mereka sudah mencapai 60 tahun tetapi diberi "lagi penambahan kontrak hingga empat atau lima tahun, dan lepas itu bagi pulak menjadi pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC)," dakwanya.

Persidangan dewan disambung Isnin.



-- BERNAMA

04 July 2008

Kadar dua imbuhan naik

Berita Harian

KUALA LUMPUR: Kerajaan menaikkan kadar Imbuhan Tetap Gred Khas dan Imbuhan Tetap Keraian bagi jawatan Gred Khas dalam perkhidmatan awam Persekutuan untuk diseragamkan dengan imbuhan diperoleh pegawai Jawatan Utama Sektor Awam (Jusa) berkuat kuasa 1 Julai lalu.

Surat pekeliling perkhidmatan bilangan 10 bertarikh 17 Jun 2008 disiarkan di laman web rasmi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menyatakan, dengan berkuat kuasanya surat pekeliling itu, kadar Imbuhan Tetap Jawatan Gred Khas seperti dalam Pekeliling Perkhidmatan Bil 9 Tahun 1991 dan kadar Imbuhan Tetap Keraian bagi jawatan Gred Khas dalam Pekeliling Perkhidmatan Bil 4 Tahun 1996 terpinda.

Kadar baru imbuhan tetap jawatan Gred Khas yang ditetapkan adalah bagi jawatan Gred Khas A, imbuhan tetap gred khas dinaikkan kepada RM2,500, manakala imbuhan tetap keraian dinaikkan kepada RM4,000.

Bagi Gred Khas B, kadar imbuhan tetap gred khas dinaikkan kepada RM1,500, manakala imbuhan tetap keraian dinaikkan kepada RM3,050 dan Gred Khas C menerima imbuhan tetap gred khas RM1,000, manakala imbuhan tetap keraian dinaikkan kepada RM2,500.

04 June 2008

Kenderaan rasmi untuk ke kebun

Berita Harian

SEBAGAI kakitangan kerajaan, saya sedih melihat tindakan segelintir ketua jabatan dan agensi kerajaan Pahang menyalahgunakan kemudahan kenderaan rasmi kerajaan untuk kepentingan peribadi.

Kemudahan kenderaan bersama pemandu digunakan untuk menghantar anak ke sekolah, pergi pasar, malah ke kebun turut menggunakan kenderaan kerajaan. Tindakan ini menyalahi peraturan yang ditetapkan dalam arahan kegunaan rasmi kerajaan.

Jabatan terpaksa menanggung kos minyak untuk kegunaan bukan kepentingan kerajaan, manakala pemandu pula terpaksa datang awal ke rumah ketua jabatan untuk menghantar anaknya ke sekolah dan pada tengah hari mengambilnya pula.

Saya berharap, kerajaan dapat mengeluarkan pekeliling terbaru mengenai arahan kegunaan rasmi kenderaan jabatan kerajaan bagi mengelakkan penyelewengan berterusan.

TEROPONG KERAJAAN,
Kuantan, Pahang.

09 April 2007

Polemik kemasukan PTD dalam JPN perlu diselesai

Sumber : Berita Harian


POLEMIK mengenai kemasukan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) ke dalam sistem Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) perlu diselesaikan menerusi rundingan. Moral guru dan pegawai dalam perkhidmatan pendidikan (Skim DG) kini pada tahap terendah selepas Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Ahamad Sipon memaklumkan pengambilan PTD di JPN bermula bulan ini.


Dr Ahamad sebagai jurutera yang memasuki Skim DG (menerusi Bahagian Teknikal dan Vokasional) dilihat tidak peka dengan pengorbanan guru di seluruh negara. Skim DG membabitkan lebih 330,000 guru di kira-kira 9,500 sekolah dan pegawai di Pejabat Pelajaran Daerah serta Jabatan Pelajaran Negeri. Mereka inilah yang menentukan kelancaran sistem pendidikan rendah dan menengah yang kini meliputi kira-kira 5.2 juta pelajar.

Kongres Kesatuan Sekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta Kementerian Pelajaran terutama Dr Ahamad dan Ketua Setiausahanya, Datuk Dr Zukurnain Awang mengadakan pertemuan dengan semua kesatuan yang mewakili guru. Presiden Cuepacs, Omar Osman, berkata tindakan kementerian itu yang tidak mendapatkan pandangan kesatuan sebelum memutuskan untuk memasukkan PTD (Skim M) ke dalam JPN menyebabkan bantahan menyeluruh daripada guru.

“Jika keputusan ini dirunding dengan kesatuan terlebih dulu, tentu tidak timbul masalah,” katanya. Kesatuan Perkhidmatan Pendidikan Kebangsaan (NUTP) pula menerima kenyataan Dr Ahamad untuk tidak menangguhkan, sebaliknya meneruskan pengambilan PTD bermula bulan ini sebagai hak pihak atasan dalam pentadbiran.

Bagaimanapun, Presiden NUTP, Anuar Ibrahim menyifatkan tindakan itu sebagai ‘tidak sayang cikgu’. Beliau menerima beratus-ratus Sistem Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) pada Rabu lalu, ketika kenyataan Dr Ahamad disiarkan akhbar. Semua SMS berkenaan menyatakan kekecewaan mereka dengan keputusan Dr Ahamad.

Pengarah Pelajaran Perak, Datuk Mohammed Zakaria Mohd Noor, berkata usaha memartabatkan pendidikan di negara ini memerlukan perubahan, perancangan sistematik dan menyeluruh.

“Bagi menghadapi cabaran yang kian mendesak, amat wajar kerjasama di kalangan semua pihak digembleng seperti yang terkandung dalam Pelan Tindakan Pembangunan Pendidikan,” katanya di Ipoh, Perak.

Namun, statistik sebelum ini menunjukkan penjawat Skim DG kehilangan banyak peluang kenaikan pangkat, walaupun sebelum JPN distruktur semula. Kehilangan jawatan untuk pegawai perkhidmatan pendidikan berlaku ketika perubahan daripada Sistem Saraan Baru (SSB) kepada Skim Saraan Malaysia (SSM) pada 1993.

Antaranya jawatan di Bahagian Biasiswa, Bahagian Pembangunan dan Bekalan serta Bahagian Sumber Manusia. Selepas tahun berkenaan, empat jawatan dikhaskan untuk PTD di Lembaga Peperiksaan Malaysia membabitkan Gred M44 (dua penjawat), M48 dan 52. Ia menyebabkan kehilangan 11 peluang kenaikan pangkat bagi penjawat Skim DG (daripada gred 44 hingga 52).

Jemaah Nazir, satu lagi jabatan di bawah Kementerian Pelajaran juga ditembusi penjawat M44, M48 dan M52 selepas SSM diperkenal. Sebelum ini, semua jawatan berkenaan hanya terbuka untuk Skim DG. Beberapa jawatan dalam skim DG sekali lagi dilupuskan selepas Kementerian Pendidikan dipecahkan kepada dua pada 2004, menerusi penubuhan Kementerian Pengajian Tinggi.

Pegawai Perkhidmatan Pendidikan bimbang jika PTD menguasai JPN, selepas ini penjawat Skim M juga diberi peluang dalam Pejabat Pelajaran Daerah dan dilantik sebagai Pengetua sekolah menengah. Pengalaman sebelum ini menunjukkan PTD yang memasuki Lembaga Pertubuhan Peladang ‘dihalau’ kerana mereka didapati tidak mempunyai pengetahuan dalam aspek pertanian.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) juga pernah merangka untuk memasukkan PTD sebagai Pengarah Hospital di seluruh negara, tetapi impian mereka berkubur selepas pegawai perubatan memboikot semua penjawat Skim M sedia ada di Kementerian Kesihatan. Seorang penjawat awam memaklumkan, PTD sudah mempunyai pelbagai ‘kemewahan’ dalam perkhidmatan mereka seperti cuti bergaji penuh jika melanjutkan pengajian di luar negara, ditambah pula dengan biasiswa kerajaan.

Penjawat M41 juga akan mendapat kenaikan pangkat ke M48 selepas lima hingga tujuh tahun berkhidmat dan akhirnya bersara pada DG52 atau Jawatan Utama Sektor Awam (Jusa). Tetapi, guru yang mempunyai ijazah sarjana muda (dengan kepujian) hanya pencen dengan DG48 selepas berkhidmat selama 30 tahun.

Kebolehan pentadbiran dan pengurusan pegawai perkhidmatan pendidikan dari Skim DG tidak sepatutnya dipertikai kerana selain pengalaman di sekolah, kebanyakan mereka mempunyai ijazah lanjutan. Pegawai ini memiliki ilmu terkini menerusi kelayakan ijazah sarjana dan ijazah doktor falsafah (PhD) dalam pelbagai pengkhususan.