04 January 2010

JPN Tempat 535 Guru Pedalaman Kelantan

GUA MUSANG, 4 Jan (Bernama) -- Jabatan Pelajaran Negeri Kelantan (JPNK) menerima penempatan 535 orang guru baru khusus bagi menampung kekurangan guru membabitkan sebilangan besar sekolah rendah pedalaman Hulu Kelantan awal tahun ini.

Guru terbabit mulai melapor diri Ahad lalu termasuk seramai 145 orang guru lepasan Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) yang akan mengajar subjek Bahasa Inggeris dan Kemahiran Hidup. Ketua Sektor Pengurusan JPKN, Zahari Daud, berkata sebilangan besar guru terbabit ditempatkan di semua Sekolah Kebangsaan (SK) di tiga jajahan utama termasuk Gua Musang, Kuala Krai dan Jeli yang mengadapi masalah kekurangan guru tahun lepas. Beliau berkata, fokus utama pengagihan guru terbabit di SK perkampungan Orang Asli bagi menjayakan sasaran kerajaan membendung buta huruf di kalangan anak kaum itu dan mengatur kecemerlangan.

"Mulai tahun ini kita mahu lihat murid anak Orang Asli ada kemajuan terutama keputusan lebih baik dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) berbanding tahun lalu yang amat mengecewakan," katanya kepada pemberita selepas majlis perkenalan dengan guru baru dan perjumpaan dengan ibu bapa murid Orang Asli di SK Pos Tohoi, dekat sini, pagi Isnin.

Zahari berkata, pihaknya juga mempunyai dasar bagi memberi keutamaan kepada sekolah luar bandar itu untuk menempatkan guru baru sehingga ada sekolah mempunyai dua guru mengajar subjek Bahasa Inggeris.

"Kita memberi tumpuan demikian kerana tahun lalu menerima banyak aduan ibu bapa mengenai masalah kekurangan guru menyebabkan anak mereka tercicir dan tahun ini kita mahu lihat pula ada perubahannya selepas permintaan itu ditunaikan.

"Berikutan itu, kita turut melarang guru baru supaya tidak membuat surat permohonan untuk mengajar di sekolah kawasan bandar kerana kuota mereka ada untuk penempatan di luar bandar Kelantan," katanya.

Beliau berkata, pihaknya menetapkan hanya dua syarat bagi membolehkan guru terbabit membuat permohonan pertukaran termasuk mereka yang mempunyai penyakit kritikal memerlukan rawatan di hospital kawasan Kota Bharu dan anak Orang Kurang Upaya (OKU).

"Jika tidak mempunyai alasan itu, kita sama sekali tidak melayan permohonan pertukar dan wajib hadir mengajar di sekolah yang ditetapkan," katanya.



-- BERNAMA