20 October 2007

Syor JTK ambil pekerja asing diteliti

Berita Harian

KUALA LUMPUR: Cadangan supaya Jabatan Tenaga Kerja (JTK) mengambil alih urusan kemasukan pekerja asing dan memansuhkan penggunaan ejen mampu menjimatkan kos pengambilan pekerja asing serta memelihara nama baik Malaysia daripada didakwa mengeksploitasi mereka.

Ia kerana ejen atau orang tengah itu dikatakan membawa masuk pekerja asing ke negara ini tanpa memikirkan keperluan atau kekosongan jawatan, sebaliknya berlumba-lumba mendapatkan seramai mungkin pekerja semata-mata mahu komisyen lebih tinggi.

Lambakan pekerja asing itu yang belum terjamin mendapat pekerjaan di sini memberikan gambaran negatif kepada negara kerana gagal menguruskannya dengan baik dan harus dihentikan segera.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Abdul Rahman Bakar, berkata kementerian mengakui cadangan itu memang baik, tetapi ia bergantung kepada pucuk pimpinan kerajaan dan perlu dihalusi kerana membabitkan keputusan dasar.

"Kalau kita (kementerian) diberi amanah itu, kita bersedia dan yakin boleh jalankan dengan baik kerana ia memang relevan dengan bidang tugas JTK. Kerajaan mempunyai alasan tersendiri menyerahkan urusan itu kepada Imigresen.

"JTK memang sudah faham sifat, status dan keperluannya dalam uruskan soal ini," katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau mengulas syor Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) supaya JTK mengambil alih urusan kemasukan pekerja asing dan memansuhkan penggunaan ejen bagi mengelak pelbagai masalah.

JTK mampu menguruskan kemasukan secara lebih sistematik melalui pangkalan data, rekod pemadanan keperluan guna tenaga dalam pelbagai sektor dan boleh bekerjasama dengan pihak kedutaan serta jabatan sama di negara sumber untuk bagi melengkapkan data keperluan.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif, Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Samsudin Bardan ketika dihubungi, semalam berkata ejen menjadikan urusan membawa masuk pekerja asing ke sini sebagai perniagaan begitu menguntungkan tanpa mengira kesannya dari segi lebihan tenaga kerja dan aspek sosial.

"MEF menyokong penuh jika kerajaan ambil alih urusan itu. Ketika ini, ejen berlumba-lumba mengaut untung dengan membawa seramai mungkin pekerja asing masuk ke negara ini. Soal ada kerja atau tidak, itu mereka tidak kira.

"Bagi kes pekerja Bangladesh, ejen di kedua-dua negara meraih untung kira-kira RM9,000 bagi setiap pekerja, sedangkan kos sebenar membabitkan urusan berkaitan kerajaan dan pengangkutan cuma sekitar RM2,000 hingga RM3,000," katanya.

"Jika kerajaan ambil alih, sistem pengurusan akan lebih cekap dan teratur serta boleh mengelak daripada campur tangan ejen," katanya ketika dihubungi, semalam.

Samsudin berkata, lambakan berlebihan pekerja asing yang dianggarkan kira-kira 26 peratus daripada jumlah keseluruhan 11 juta pekerja di Malaysia dianggap suatu yang serius dan perlu diberi perhatian.

"Malaysia mempunyai 2.1 juta pekerja asing berdaftar, tidak termasuk kira-kira 900 pekerja haram. Jika mereka terus dibawa masuk tanpa dikawal dan tidak mengikut keperluan, akan wujud ketidakseimbangan dalam sektor pekerjaan negara.

"Sebab itu kerajaan perlu ada sistem yang telus supaya majikan boleh berhubung terus dengan pihak berwajib," katanya.

Katanya, MEF berharap pelan kerajaan menggalakkan lebih banyak penubuhan kolej komuniti, pusat kemahiran mampu melahirkan lebih ramai generasi muda berkemahiran bagi mengisi keperluan tenaga kerja mahir sekali gus mengurangkan pengambilan pekerja asing.

No comments: