Perspektif: Acuan luar biasa pacu sekolah kluster
Berita Harian
Bersama Saifuddin Abdullah
saifuddin61yahoo.com
Pengetua hebat perlu miliki k-pemimpin, k-pekerja laksana pengurusan kondusif
BERMULA 13 Oktober lalu hingga 8 Disember ini, 27 pengetua sekolah mengikuti kursus kepemimpinan di Kings College, London. Keupayaan mereka, kata Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein akan diuji dalam kursus itu, sekali gus mempengaruhi penempatan ke sekolah kluster nanti.
Kursus sebegini memang penting bagi meningkatkan prestasi pengetua kerana mereka bukan saja memimpin organisasi biasa, tetapi memimpin organisasi pendidikan. Pengetua adalah k-pemimpin, iaitu pemimpin berasaskan keilmuwan, tapi bukannya sebagai k-pemimpin biasa, sebaliknya sebagai k-pemimpin pendidikan.
Walaupun pengetua adalah k-pemimpin, dari sudut pengurusan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), mereka mungkin dilihat sebagai k-pekerja, iaitu pekerja berasaskan keilmuwan. Ini tidak salah.
Dalam konteks ini, pengetua perlu dilihat sebagai inovator, pereka cipta serta pemasar produk dan perkhidmatan yang ditawarkan KPM. Pengetua adalah strategis, eksekutif dan pakar yang idea dan kerjanya amat mempengaruhi kejayaan KPM yang amat bergantung kepada mereka. Oleh itu, mereka perlu diberi imbuhan lebih tinggi sesuai dengan peranannya berbanding golongan pekerja lain.
Menurut pemikir pengurusan ilmu terkemuka, Thomas H Davenport (2005) dalam bukunya Thinking for a Living, banyak organisasi gagal memaksimumkan produktiviti k-pekerjanya kerana menggunakan sistem pengurusan 'sama bagi semua' (one-size-fits-all) yang ternyata tidak efektif.
K-pekerja, katanya amat berbeza dengan pekerja lain dari segi motivasi, sikap dan keperluan terhadap autonomi, dan kerana itu memerlukan pendekatan pengurusan yang tidak konvensional bagi memastikan mereka lebih produktif.
Pada masa sama, satu daripada tekanan yang dihadapi pengetua hari ini ialah keperluan untuk menjadi ketua pegawai eksekutif (CEO) sekolah.
Jika di United Kingdom dan beberapa negara lain, terutama mulai dekad 1980-an, iaitu akibat kesan langsung daripada langkah memberikan sekolah lebih autonomi. Kini, di samping peranan sebagai 'ketua pendidikan', pengetua juga dikehendaki menjadi 'ketua pengurusan'.
Sebagai ketua pendidikan, peranan utama ialah berkaitan dengan akademik, sahsiah dan kokurikulum, walaupun mereka juga terbabit dalam menyediakan kerangka pengurusan yang kondusif untuk proses pendidikan berjalan dengan licin dan lancar, manakala sebagai ketua pengurusan, peranan utamanya ialah berkaitan pengurusan sekolah sebagai sebuah organisasi, merancang, mengarah dan mengkoordinasi sumber dan aktiviti secara sistematik.
Tidak dinafikan bahawa pengetua perlu memainkan kedua-dua peranan itu sekali gus. Tetapi, ia mestilah dilaksanakan dengan memberikan penekanan lebih terhadap peranannya sebagai ketua pendidikan.
Apa yang dibimbangi ialah jika peranannya sebagai ketua pengurusan diberikan penekanan lebih berbanding peranannya sebagai ketua pendidikan. Keadaannya lebih kritikal bagi pengetua sekolah kluster.
Adalah dicadangkan agar di samping jawatan Penolong Kanan Akademik, Hal Ehwal Murid dan Kokurikulum yang sedia ada kini, perlu diwujudkan satu jawatan baru, iaitu Penolong Kanan Pentadbiran/Kewangan, bagi meringankan beban kerja pengurusan seseorang pengetua.
Hari ini, k-pekerja dan k-pemimpin wujud dalam pelbagai sektor dan tidak terhad dalam sektor pendidikan saja. Tetapi, sektor pendidikan tidak boleh disamakan dengan sektor lain. Kerana itu, tidak semua k-pekerja dan k-pemimpin layak dan sesuai berada dalam sektor pendidikan.
Sektor pendidikan memerlukan kelayakan dan kesesuaian yang khusus kerana sebagai k-pemimpin pendidikan, pengetua (dan pegawai KPM) bukan saja diharapkan menjadi k-pemimpin dalam erti kata 'ketua' saja, tetapi sebenarnya diharapkan menjadi 'pemimpin transformasional'.
Menguruskan sekolah tidak sama dengan menguruskan organisasi lain. Ia memerlukan penguasaan tinggi terhadap visi dan nilai tertentu, tradisi sekolah, kepercayaan, kerja sepasukan secara collegial, pengajaran dan pembelajaran (P&P) dan sebagainya.
Dalam konteks sekolah kluster yang diberikan autonomi, pengetua berpeluang menjadi lebih kreatif, inovatif dan mengoptimumkan potensi sebagai k-pemimpin pendidikan.
Sekolah kluster adalah projek bercita-cita tinggi. Mesti ada keazaman politik serta ketulusan dan ketelusan untuk membenarkan sekolah kluster menjadi cemerlang mengikut acuan dan pacuannya sendiri serta menepis sebarang tekanan yang ingin menjadikannya sebaliknya.
Elakkan paradoks, iaitu dari satu segi, mahu sekolah itu menjadi yang terbaik, hatta yang unggul, tetapi dari segi yang lain, seolah-olah menghalangnya daripada menjadi yang terbaik, jauh sekali menjadi yang terulung.
Cita-cita yang tinggi ini akan hanya dapat direalisasikan sekiranya semua pihak memfasilitasi dan memotivasi pelaksanaannya, termasuklah dalam pemilihan pengetua.
Sesekali, kita akan bertemu pengetua yang luar biasa kecemerlangannya. Pengetua begini perlu disambung khidmatnya apabila sampai masa persaraannya. Walaupun ia belum pernah berlaku, tetapi ia boleh dimulakan, terutamanya bagi sekolah kluster. Lagipun ia lazim berlaku di kalangan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD).
Contoh pengetua begini ialah Tengku Azuan Tengku Mohamed, yang sejak 16 November 2005, menjadi Pengetua Cemerlang (Jusa C) Kolej Tunku Kurshiah (TKC), iaitu sekolah berasrama penuh (SBP) perempuan tertua dan sebuah sekolah kluster. Sebelum itu, beliau pernah menjadi pengetua Sekolah Seri Puteri (SSP), iaitu sebuah SBP premier.
Kecemerlangan Tengku Azuan bukan saja terhad sebagai pengetua di sekolahnya, tetapi diiktiraf di luar. Beliau pakar rujuk kepemimpinan dan profesionalisme sekolah, kepemimpinan instruksional, audit akademik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan sistem rumah.
Beliau juga Bendahari Majlis Pengetua Kanan Kebangsaan, Pengerusi Majlis Pengetua SBP Zon Selatan, Ketua Fasilitator Headcount KPM, Ahli Jawatankuasa Pengurusan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) Bahagian Pendidikan Guru dan Panel Penilaian Pencalonan Pengetua Kanan.
Dalam tempoh tidak sampai dua tahun di TKC, Tengku Azuan telah memulakan transformasi mengembalikan keunggulan dan kegemilangan TKC dalam semua bidang, terutamanya tradisi TKC yang menyeimbangkan akademik dan kokurikulum.
Beliau komited terhadap sekolah kluster dan telah memulakan dengan amat baik kerja tinggal landasnya (take off), malahan sebahagiannya, terutama tiga kebitaraan TKC, iaitu kepemimpinan, bahasa antarabangsa dan penyelidikan dan pembangunan (R&D), dilaksanakan dengan jayanya.
Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Persatuan Murid Tua (OGA) TKC akrab dan memberikannya sokongan padu dan telah memohon supaya khidmatnya sebagai Pengetua TKC disambung demi kesinambungan, kelicinan dan kejayaan TKC.
Menurut sumber yang boleh dipercayai, tokoh politik dan profesional KPM amat memahami permohonan itu. Tetapi malangnya, ia disekat oleh sistem dan birokrasi. Tengku Azuan bersara wajib pada 9 Oktober lalu � satu kerugian besar bagi semua khususnya pelajar TKC.
Datuk Saifuddin Abdullah ialah Pengerusi Akademi Belia yang juga bekas Presiden Majlis Belia Malaysia (1998-2002)
No comments:
Post a Comment