19 October 2007

e-Kadaster, e-Tanah selesai kes tanah tertunggak

Utusan Online

Oleh NORLIZA ABDUL RAHMAN

PUTRAJAYA 18 Okt. – Kira-kira 500,000 kes tertunggak berkaitan hak milik tanah dan geran dijangka dapat diselesaikan apabila kerajaan melaksanakan sistem e-Kadaster dan e-Tanah mulai tahun depan.

Pelaksanaan projek yang bernilai RM287 juta itu mampu mempercepatkan sistem pengukuran hak milik tanah daripada dua tahun kepada dua bulan dan dijangka siap sepenuhnya tahun depan.

Program pantas yang pertama di Asia dan setanding dengan negara-negara maju dalam urusan pengeluaran hak milik tanah itu akan memudahkan lagi urusan Jabatan Ukur dan Pemetaan (Jupem).

Setiausaha Parlimen Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Sazmi Miah berkata, penggunaan e-Kadaster dan e-Tanah akan membantu mengurangkan masa menunggu kerana geran tanah boleh disiapkan hanya dalam sehari.

‘‘e-Kadaster dan e-Tanah ini akan membantu menyediakan pelbagai perkhidmatan yang disediakan oleh Jupem kerana ia bertanggungjawab menjalankan ukuran halus bagi lot-lot tanah dan penyediaan Pelan Akui bagi pengeluaran hak milik,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Beliau menjelaskan, pelaksanaan e-Kadaster itu dapat mewujudkan sistem Pengurusan Data Kadaster, membangunkan Pangkalan Data Ukur Strata /Stratum/Marin, menyediakan infrastruktur dan maklumat serta memanfaatkan penggunaan Teknologi Satelit (GPS) dalam pengukuran kadaster.

‘‘Selama ini kita selalu mendengar rakyat mengeluh kerana terpaksa menunggu lama untuk menyelesaikan masalah geran dan hak milik tanah. Mulai tahun depan segala-galanya akan selesai.

‘‘Projek-projek pembangunan yang sebelum ini banyak tertangguh disebabkan oleh urusan tanah juga dapat diselesaikan dan sekali gus membantu memacu ekonomi negara,’’ katanya.

E-Kadaster untuk Jupem itu dibangunkan oleh syarikat bumiputera, Precision Portal Sdn. Bhd. (Precision).

Kerja-kerja infrastruktur Kawasan Kadaster melibatkan negeri seluruh Semenanjung telah dilakukan dalam tempoh empat bulan bermula Mei lalu.

Ia melibatkan kewujudan Sistem Penentu Lokasi Global (GPS) dengan 25,000 titik cerapan di seluruh Semenanjung.

1 comment:

melakaplanter said...

How the e-kadaster works?